Categories
Berita Semasa

Pihak Berkuasa Israel Larang Wartawan Palestin Memasuki Masjid Al Aqsa

Selasa, 21/07/2026 – Pihak berkuasa Israel pada hari Ahad mengeluarkan perintah yang melarang wartawan Palestin dari Baitulmaqdis, Ahmad Al-Safadi, daripada memasuki Masjid al-Aqsa selepas beliau ditahan di kediamannya di Baitulmaqdis yang diduduki.

Al-Safadi, yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Tindakan Kebangsaan di Baitulmaqdis yang diduduki, ditahan selepas tentera Israel menyerbu rumahnya.

Menurut sumber tempatan, beliau kemudian dibawa ke Balai Polis Al-Qishla di Kota Lama Baitulmaqdis sebelum diserahkan perintah larangan memasuki Masjid al-Aqsa.

Dalam satu laporan, Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis memaklumkan bahawa pihak berkuasa Israel terus mengeluarkan perintah larangan terhadap jemaah, aktivis dan tokoh masyarakat Baitulmaqdis daripada memasuki Masjid al-Aqsa sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan kehadiran rakyat Palestin di dalam dan sekitar kawasan suci itu.

Menurut pentadbiran tersebut, dasar itu merupakan sebahagian daripada kempen berterusan Israel yang menyasarkan aktivis, jemaah dan tokoh Baitulmaqdis melalui perintah larangan, di samping memperketat sekatan terhadap rakyat Palestin yang ingin memasuki Masjid al-Aqsa serta meningkatkan pencerobohan oleh pendatang Israel ke dalam kawasan masjid dengan perlindungan pasukan keselamatan Israel.

Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis menegaskan bahawa semua langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha lebih luas Israel untuk mewujudkan realiti baharu di kawasan Masjid al-Aqsa.

Penterjemah : Ezatul