
Jumaat, 24/07/2026 – Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata pada hari Ahad bahawa pasukan penjajah Zionis telah melakukan 3,795 pelanggaran perjanjian gencatan senjata setakat hari ke-280 sejak ia berkuat kuasa.
Menurut pejabat itu, pelanggaran tersebut telah mengakibatkan pembunuhan 1,168 rakyat Palestin, kecederaan 3,734 yang lain, dan penahanan 149 orang dalam tempoh yang sama.
Dalam satu laporan, pejabat itu berkata hanya 59,613 trak bantuan kemanusiaan telah memasuki Semenanjung Gaza, daripada 168,000 trak yang dijangka tiba pada ketika ini di bawah perjanjian itu, mewakili kadar pematuhan sebanyak 35%.
Laporan itu juga mengatakan pihak Zionis hanya membenarkan 9,268 pelancong meninggalkan Gaza melalui lintasan sempadan Rafah, berbanding 24,600 pelancong yang dijangka dibenarkan melintas memandangkan lintasan itu dijadualkan dibuka semula di bawah perjanjian gencatan senjata. Ini mewakili kadar pematuhan sebanyak 37%.
Pejabat Media Kerajaan mengutuk dasar Zionis yang menyasarkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, dan menganggap penjajah Zionis bertanggungjawab sepenuhnya atas situasi kemanusiaan yang semakin merosot dan pembunuhan berterusan rakyat Palestin.
Ia menyeru para pengantara dan penjamin perjanjian gencatan senjata untuk mengambil tindakan bagi memaksa pihak Zionis melaksanakan semua peruntukan perjanjian dan menamatkan pelanggaran Zionis yang berterusan.
Penterjemah : Ameen