Categories
Berita Semasa

Rakyat Palestin terbunuh dan cedera ketika Israel terus melanggar gencatan senjata di Gaza

Jumaat, 24/07/2026 – Tentera penjajah Israel terus melancarkan serangan terhadap orang awam di seluruh Semenanjung Gaza meskipun mendakwa mematuhi perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025.

Tiga rakyat Palestin terbunuh pada petang Isnin selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah pusat perlindungan di Hospital Al-Yemen Al-Saeed di utara Gaza.

Kemudian pada malam yang sama, tiga lagi rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah dron Israel menyerang sebuah jip berhampiran Hospital British di barat daya kawasan Al-Mawasi, Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza.

Terdahulu pada hari itu, sebuah dron jenis quadcopter milik Israel meletup berhampiran Shams Chalet di kawasan Al-Mawasi, Rafah, menyebabkan seorang wanita cedera.

Pada pagi Isnin, pesawat pejuang Israel menyasarkan sebuah kenderaan awam berhampiran Persimpangan Al-Ghafri di tengah Bandar Gaza, mengorbankan seorang rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.

Sumber daripada perkhidmatan ambulans dan kecemasan Bandar Gaza berkata seorang rakyat Palestin terbunuh manakala 13 yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak, cedera dalam serangan terhadap kenderaan tersebut di Jalan Al-Jalaa.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaklumkan bahawa pasukannya telah memindahkan tujuh mangsa ke Hospital Medan Al-Saraya milik persatuan itu, termasuk tiga yang berada dalam keadaan kritikal, susulan serangan Israel ke atas kenderaan awam berhampiran Persimpangan Al-Ghafri.

Kemudian, empat rakyat Palestin, termasuk seorang yang cedera parah, turut cedera apabila sebuah dron quadcopter Israel yang membawa bahan letupan meletup di Jalan Al-Rashid, utara Masjid Muawiya di kawasan Al-Mawasi, Rafah.

Di Khan Yunis, beberapa rakyat Palestin cedera selepas tentera penjajah Israel melepaskan tembakan ke arah Kem Shukri Al-Sufi berhampiran Bir 19, di barat daya bandar tersebut.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pada Isnin bahawa tiga rakyat Palestin terbunuh dan 22 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan berterusan Israel.

Dalam laporan statistik hariannya, kementerian itu menyatakan bahawa jumlah korban sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025 telah meningkat kepada 1,158 orang terbunuh dan 3,756 orang cedera. Ia turut memaklumkan bahawa 802 lagi mayat mangsa telah berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan sepanjang tempoh yang sama.

Menurut kementerian itu, jumlah keseluruhan korban akibat pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 73,283 rakyat Palestin terbunuh, manakala 173,864 lagi cedera.

Tentera penjajah Israel kini telah melanggar perjanjian gencatan senjata untuk hari ke-284 berturut-turut melalui tembakan, serangan udara dan bedilan artileri, sambil terus memperluaskan apa yang dikenali sebagai “Garis Kuning” (Yellow Line) di dalam Semenanjung Gaza.

Penterjemah : Norshuhada Samudin