Categories
Berita Semasa

Jenazah 99 rakyat Palestin ditemukan di bawah runtuhan rumah di selatan Bandar Gaza

Isnin, 03/08/2026 – Pasukan penyelamat di Semenanjung Gaza berjaya menemukan jenazah 99 rakyat Palestin pada Isnin dari bawah runtuhan sebuah rumah milik keluarga Abu Sharia dan Al-Hasayna di kawasan kejiranan Sabra, selatan Bandar Gaza. Penemuan itu dibuat susulan operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan dalam keadaan kemanusiaan serta situasi di lapangan yang amat sukar.

Pasukan penyelamat memaklumkan bahawa rumah tersebut telah dibedil dalam beberapa siri serangan udara Israel yang berlaku pada waktu berbeza, termasuk pada 7 Jun 2025 dan satu lagi pada Oktober 2023. Serangan-serangan itu mengorbankan puluhan penduduk, manakala ramai lagi tertimbus di bawah runtuhan.

Menurut mereka, usaha mencari dan mengeluarkan mangsa terus berdepan cabaran besar akibat kemusnahan yang meluas kesan serangan udara, selain kekurangan peralatan, jentera berat dan sumber yang diperlukan untuk mengesan serta mengeluarkan mangsa yang masih hilang.

Mereka turut memaklumkan bahawa ribuan mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di seluruh Semenanjung Gaza. Pada masa yang sama, banyak lokasi yang menjadi sasaran serangan masih tidak dapat diakses berikutan tahap kemusnahan yang teruk serta keadaan di lapangan yang terus mencabar.

Menurut angka rasmi, kira-kira 8,000 orang masih tertimbus di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza. Pasukan penyelamat terus berusaha mengeluarkan mangsa walaupun berdepan kekangan sumber serta keperluan mendesak terhadap jentera berat dan peralatan khusus.

Penterjemah : Norshuhada Samudin