
Selasa, 11/08/2026 – UNRWA memberi amaran bahawa sebarang tindakan pihak berkuasa Israel untuk menutup atau merampas Kolej Latihan Qalandia akan menafikan hak pelarian Palestin untuk menerima pendidikan dan latihan kemahiran yang disediakan agensi itu di bawah mandat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Amaran itu disampaikan dalam satu pertemuan menerusi Zoom bersama Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Tebing Barat, Roland Friedrich, yang diadakan sempena lawatan lapangan anjuran pihak kolej pada Selasa bagi memberi gambaran kepada sekumpulan wartawan mengenai keadaan institusi tersebut serta ancaman berterusan yang dihadapinya daripada pihak Israel.
Friedrich berkata, Kolej Latihan Qalandia merupakan institusi latihan vokasional pertama dan tertua yang ditubuhkan oleh UNRWA lebih 70 tahun lalu. Beliau berkata, kolej itu telah melahirkan ribuan graduan dalam kalangan pelarian Palestin yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan di peringkat tempatan dan serantau.
Menurut beliau, kolej tersebut menerima ratusan pelajar pelarian Palestin dari seluruh Tebing Barat yang diduduki setiap tahun serta menyediakan pendidikan dan latihan vokasional secara percuma, khususnya ketika pelarian berdepan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin sukar.
Friedrich menjelaskan bahawa kolej itu telah berdepan ancaman berterusan daripada pihak berkuasa Israel sejak beberapa bulan lalu, termasuk cubaan untuk menutup operasi dan merampas premisnya. Beliau menegaskan bahawa tindakan tentera Israel memasuki kawasan kolej tanpa kebenaran terlebih dahulu merupakan pelanggaran terhadap keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada PBB serta agensi-agensinya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kolej tersebut telah diserbu sebanyak lima kali sejak awal tahun ini. Serbuan terbaharu berlaku pada 27 Julai lalu apabila tentera Israel menahan kira-kira 80 pelajar dan 45 kakitangan di dalam kawasan kolej serta menghalang mereka daripada keluar tanpa mengemukakan sebarang dokumen atau notis rasmi.
Kolej Latihan Qalandia terletak di utara Baitulmaqdis yang diduduki, bertentangan dengan Kem Pelarian Qalandia.
Pada Oktober 2024, Knesset Israel meluluskan dua undang-undang yang menyasarkan operasi UNRWA. Salah satunya melarang agensi itu beroperasi di kawasan yang disifatkan Israel sebagai berada di bawah “kedaulatannya”, manakala satu lagi mengehadkan hubungan rasmi antara pihak berkuasa Israel dengan UNRWA.
Penterjemah : Ezatul