
Selasa, 18/08/2026 – Euro-Med Human Rights Monitor berkata Israel terus memutarbelitkan fakta dalam usaha untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kebuluran yang dialami orang awam di Semenanjung Gaza. Israel secara terpilih dan mengelirukan menggunakan data yang diterbitkan oleh Kluster Pemakanan UNICEF pada tahun 2026 untuk menafikan petunjuk kebuluran yang dikenal pasti oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) pada tahun 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Euro-Med Monitor berkata angka 0.5% yang diketengahkan oleh Israel adalah berdasarkan secara eksklusif kepada petunjuk “berat mengikut ketinggian” (weight-for-height) yang digunakan untuk mengukur malnutrisi akut, sambil mengetepikan petunjuk lain yang lebih menyeluruh. Data berdasarkan ukur lilit pertengahan lengan atas (MUAC) menunjukkan kadar sebanyak 1.3%, iaitu kadar yang sama diperoleh apabila kedua-dua petunjuk tersebut digabungkan. Menurut organisasi itu, perkara ini mencerminkan percubaan yang disengajakan untuk mengaburkan keseluruhan dapatan dan mengetengahkan angka terendah sebagai hasil muktamad kajian tersebut.
Organisasi itu menjelaskan bahawa angka 1.3% tersebut secara efektif bermaksud bahawa seorang daripada setiap 77 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami malnutrisi akut dalam tempoh yang diliputi oleh kajian berkenaan. Ia menegaskan bahawa data tersebut hanya mencerminkan tempoh yang terhad dan tidak merangkumi kes yang berlaku sebelum atau selepas kajian, mahupun kanak-kanak yang mengalami episod malnutrisi berulang.
Penterjemah : Norshuhada Samudin