Categories
Berita Semasa

Para ibu-ibu merangka penyelesaian mudah untuk menghadapi musim panas di khemah-khemah Gaza

Rabu, 19/08/2026 – Di Gaza, penderitaan ibu-ibu yang tinggal di khemah perlindungan bermula seawal pagi apabila bahang matahari mula menyerap masuk melalui fabrik khemah. Suhu yang semakin meningkat serta pengudaraan yang terhad menyebabkan keadaan menjadi semakin sesak dan tidak selesa, terutama bagi kanak-kanak. Kehadiran lalat dan serangga turut menambah kesukaran kepada keluarga yang terpaksa bertahan dalam keadaan serba kekurangan.

Dengan cuaca panas yang semakin terik, khemah berubah menjadi ruang yang amat bahang dan sukar didiami. Para ibu terpaksa mencari pelbagai penyelesaian menggunakan bahan yang ada di sekeliling, bukan untuk mendapatkan keselesaan, tetapi sekadar memastikan anak-anak mereka mempunyai ruang untuk tidur dan berehat terlindung daripada pancaran matahari.

Bagi ibu-ibu berkenaan, waktu siang terasa panjang ketika mereka berada di dalam khemah, khususnya apabila suhu meningkat dan pergerakan udara semakin terbatas.

Tanpa kemudahan penyejukan atau bahan penebat yang sesuai, kebanyakan keluarga terpaksa menggunakan apa sahaja yang tersedia, termasuk kayu, kain penutup dan plastik. Mereka turut membuka bahagian sisi khemah serta membina teduhan tambahan di sekelilingnya dalam usaha mengurangkan bahang dan memberi sedikit perlindungan kepada anak-anak daripada cuaca panas.

Penterjemah : Farah Najwa