Categories
Berita Semasa

Dua rumah dan kenderaan di Jalud dan Al-Mughayyir dibakar

Jumaat, 02/10/2026 – Pada pagi Selasa, peneroka melancarkan serangan meluas ke atas bandar Jalud, selatan Nablus, dan Al-Mughayyir, timur Ramallah, mengakibatkan pembakaran rumah dan kenderaan Palestin, kemusnahan harta benda, dan penulisan slogan perkauman di dinding beberapa buah rumah.

Di Jalud, peneroka menyasarkan rumah keluarga Tubasi, membakar dua buah rumah dan sebuah kenderaan, sejurus selepas ahli keluarga itu pulang ke rumah mereka mengikut keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Israel.

Warga Mahmoud Al-Toubasi berkata sekumpulan peneroka menyerang rumah keluarga itu dan membakarnya, serta membakar sebuah kenderaan, selepas ahli keluarga itu kembali ke kawasan yang terpaksa mereka pindahkan kira-kira dua bulan lalu.

Al-Tubasi menjelaskan bahawa kedua-dua rumah itu milik anak lelakinya, Wael dan Qais, dan keputusan mahkamah Israel telah membenarkan keluarga itu kembali kepada mereka. Beliau menambah bahawa pada petang Isnin, keluarga itu menerima pemberitahuan daripada pejabat perhubungan Palestin untuk kembali ke rumah-rumah tersebut diiringi oleh pasukan tentera Israel, tetapi peneroka menyerang mereka sebaik sahaja mereka tiba.

Beliau menegaskan bahawa pasukan pendudukan tidak campur tangan untuk mencegah serangan atau berhadapan dengan peneroka, yang mendorong ahli keluarga meninggalkan kawasan itu, sebelum penyerang terus membakar dua rumah dan kenderaan itu serta merosakkan isinya.

Serangan peneroka telah memaksa keluarga Al-Tubasi mengosongkan dua rumah mereka kira-kira dua bulan lalu, sebelum Mahkamah Agung Israel membenarkan mereka kembali ke rumah tersebut.

Tentera Israel mengakui bahawa peneroka telah membakar bangunan, kenderaan dan harta benda Palestin di kampung Jalud, sambil mendakwa bahawa lebih 100 rakyat Israel telah menyekat jalan raya di kampung itu, membakar tayar dan membaling batu ke arah pasukannya.

Di Wilayah Ramallah dan Al-Bireh, peneroka menyerang kampung Al-Mughayyir dan membakar rumah tahanan Fikri Musa Abu Aliya, bersama dua kenderaan milik Jihad Al-Naasan Abu Walid dan Imad Awda Abu Aliya.

Serangan-serangan ini berlaku di tengah-tengah serangan peneroka yang semakin meningkat ke atas bandar dan kampung Palestin di Tebing Barat, yang termasuk membakar rumah, kenderaan dan ladang, menyerang penduduk dan merosakkan harta benda.

Penterjemah : Juhari