
Isnin, 12/10/2026 – Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, berkata genosid Israel di Semenanjung Gaza belum berakhir, tiga tahun selepas ia bermula, sambil memberi amaran bahawa skala kemusnahan, kebuluran yang berterusan dan keadaan yang semakin buruk di seluruh wilayah Palestin yang diduduki memerlukan tindakan yang melangkaui kecaman diplomatik.
Dalam satu temu bual dengan Agensi Anadolu, Albanese berkata situasi di Gaza adalah “katastropik” dan di luar apa yang boleh digambarkan dengan kata-kata. Beliau memberi amaran bahawa kemusnahan yang berterusan menimbulkan persoalan serius mengenai tindak balas komuniti antarabangsa, khususnya kerajaan-kerajaan yang terus menyokong Israel.
Albanese berkata merujuk kepada rakyat Palestin sebagai “mangsa yang terselamat daripada genosid” boleh memberi gambaran yang salah bahawa bahaya telah berlalu, sambil menyatakan bahawa sekitar 70% Semenanjung Gaza berada di bawah kawalan Israel manakala kemusnahan secara meluas terus berlaku.
Amaran beliau itu bertepatan dengan kenyataan Pelapor Khas PBB mengenai hak kepada makanan, Sofía Monsalve Suárez, yang berkata bantuan kemanusiaan masih tidak memasuki Gaza secara bebas atau pada skala yang diperlukan, menyebabkan rakyat Palestin terperangkap dalam ketidakjaminan makanan yang teruk.
Penterjemah : Norshuhada Samudin