Categories
Berita Semasa

3 Buah Rumah Rakyat Palestin di Beit Hanina dirobohkan.

Selasa, 13/10/2026 – Tentera pendudukan Israel (IOF) merobohkan tiga buah rumah milik keluarga Shawamreh di kawasan kejiranan Al-Ashqariya, Beit Hanina, utara Baitulmaqdis yang diduduki, pada Ahad. Tindakan ini berlaku ketika pihak berkuasa Israel terus melaksanakan dasar perobohan yang mengancam hak rakyat Palestin untuk terus menetap di kediaman mereka, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko pengusiran paksa dari kota tersebut.

Perobohan ini berlaku di tengah-tengah sekatan ketat terhadap pembinaan dan pemilikan rumah oleh rakyat Palestin, sedangkan peluasan penempatan haram Israel terus berlangsung di Baitulmaqdis yang diduduki serta kawasan sekitarnya.

Pihak berkuasa Israel lazimnya memberikan alasan bahawa rumah-rumah tersebut dibina tanpa permit. Namun, rakyat Palestin berdepan pelbagai halangan untuk mendapatkan kelulusan pembinaan daripada pihak berkuasa perbandaran Baitulmaqdis yang dikawal oleh Israel.

Keadaan ini meletakkan keluarga Palestin dalam dilema yang amat menyakitkan. Mereka terpaksa memilih antara merobohkan rumah sendiri bagi mengelakkan denda yang tinggi serta kos perobohan, atau menunggu jentolak Israel meranapkan kediaman mereka sebelum dikenakan pula bayaran tambahan bagi kerja-kerja perobohan tersebut.

IOF MEMAKSA RAKYAT PALESTIN MEROBOHKAN RUMAH SENDIRI

Menurut Gabenor Baitulmaqdis, jentolak Israel telah merobohkan ketiga-tiga buah rumah di kawasan kejiranan Al-Ashqariya, Beit Hanina, pada Ahad.

Perobohan tersebut menyusuli satu lagi kejadian pada Sabtu, apabila pihak berkuasa Israel memaksa seorang penduduk Palestin, Fadl Al-Rajabi, merobohkan rumahnya sendiri di kawasan yang sama atas alasan ketiadaan permit pembinaan.

Tindakan memaksa pemilik rumah merobohkan kediaman sendiri memberikan tekanan kewangan dan emosi yang amat berat kepada rakyat Palestin. Mereka dipaksa memusnahkan rumah yang dibina dengan titik peluh sendiri, hasil usaha bertahun-tahun demi menyediakan tempat berlindung untuk keluarga.

Namun, kesan daripada tindakan ini jauh melangkaui kehilangan harta benda semata-mata.

Keluarga Palestin bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah terpaksa menanggung beban kewangan, menghadapi risiko pengusiran dan berdepan gangguan terhadap kehidupan sosial serta hubungan komuniti mereka. Perobohan yang berulang turut mengancam keupayaan mereka untuk terus bertahan dan menetap di tanah kelahiran sendiri.

Kemusnahan rumah-rumah rakyat Palestin yang berterusan ini semakin menimbulkan kebimbangan bahawa sekatan perancangan dan pembinaan oleh Israel digunakan sebagai alat untuk menyingkirkan penduduk Palestin dari Baitulmaqdis yang diduduki. Apabila rumah yang dibina dengan penuh pengorbanan boleh dirobohkan, yang musnah bukan sekadar dinding dan bumbung. Turut terancam ialah rasa selamat, kesinambungan kehidupan keluarga dan hak rakyat Palestin untuk terus tinggal di tanah air mereka sendiri.

Penterjemah : Ezatul