Categories
Berita Semasa

Ancaman Terhadap Masjid Al-aqsa Semakin Meningkat.

Rabu, 21/10/2026 – Penyelidik hal ehwal Baitulmaqdis, Ziad Ibhais, memberi amaran bahawa ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa semakin meningkat berikutan usaha pertubuhan-pertubuhan Temple Mount untuk membolehkan puak Israel menceroboh masuk ke kompleks masjid itu pada setiap hari Sabtu. Menurut beliau, kelewatan kerajaan Israel mengemukakan maklum balas terhadap permohonan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan masih dalam pertimbangan.

Ibhais menjelaskan bahawa Asaf Fried, jurucakap Union of Temple Mount Organizations dan pengerusi Jawatankuasa Membuka Temple Mount pada Hari Sabtu, memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara Israel telah memohon lanjutan masa daripada Mahkamah Agung untuk mengemukakan jawapan kerajaan terhadap petisyen yang menuntut agar peneroka Israel dibenarkan menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu.

Beliau berkata, kes berkenaan telah ditangguhkan buat kali kedua, dengan lanjutan terbaharu dijangka diberikan selama 30 hari.

Menurut Ibhais, pertubuhan-pertubuhan Temple Mount menggunakan prosiding mahkamah itu untuk mempromosikan tuntutan mereka kepada masyarakat Israel, selain melancarkan kempen tekanan secara berperingkat bagi mencapai matlamat tersebut, meskipun cadangan itu belum tentu dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan seumpama itu sebelum ini pernah ditolak dengan segera atas alasan keselamatan. Sebagai contoh, permohonan untuk mengadakan upacara korban haiwan di Masjid Al-Aqsa pada tahun 2012 telah ditolak.

Bagaimanapun, kelewatan kerajaan memberikan maklum balas kali ini menimbulkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa Israel mungkin sedang mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan tersebut.

Ibhais turut menyatakan bahawa Menteri Kehakiman Israel merangkap Timbalan Perdana Menteri, Yariv Levin, sebelum ini pernah membayangkan sokongannya terhadap langkah berkenaan ketika menghadiri sambutan Hanukkah di luar Pintu Mughrabi pada 21 Disember 2025.

Beliau menambah bahawa Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, secara terbuka berjanji untuk membenarkan peneroka Israel menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu. Kenyataan itu dibuat ketika beliau sendiri menceroboh masuk ke kawasan masjid berkenaan pada 31 Ogos 2026.

Ibhais seterusnya berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Agung Israel untuk mendengar kes tersebut mencerminkan peluasan campur tangan badan kehakiman Israel dalam hal ehwal Masjid Al-Aqsa. Perkembangan ini berpotensi menjejaskan status quo sejarah yang sekian lama dipertahankan di tapak suci berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa mahkamah itu telah mendengar kes-kes berkaitan Masjid Al-Aqsa sejak tahun 1993, dan jumlah kes sedemikian semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Ibhais menegaskan bahawa usaha untuk memperluas pembahagian waktu akses di Masjid Al-Aqsa serta membenarkan pencerobohan peneroka Israel pada hari Sabtu merupakan perkembangan serius yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya cadangan tersebut diluluskan, langkah itu boleh membuka jalan untuk menjadikan hari Sabtu sebagai hari tetap bagi pencerobohan peneroka ke kompleks Masjid Al-Aqsa setiap minggu, dengan berselindung di sebalik alasan keagamaan.

Sehubungan itu, Ibhais menyeru agar kehadiran umat Islam di Masjid Al-Aqsa dipertingkatkan, khususnya pada pagi hari Sabtu. Menurut beliau, peningkatan jumlah jemaah serta kehadiran umat Islam secara berterusan di kompleks masjid itu amat penting bagi mengekang usaha pihak tertentu untuk mengubah keadaan sedia ada dan memaksakan realiti baharu di tapak suci tersebut.

Penterjemah : Ezatul