Categories
Berita Semasa

Israel terus menyasarkan petani dan tanah mereka di Tebing Barat

Selasa, 03/11/2026 – Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan tujuh serangan yang dilakukan oleh tentera pendudukan Israel dan peneroka haram di empat wilayah di Tebing Barat hari ini, dengan menyasarkan petani, tanah serta harta benda pertanian mereka, serta terus meningkat sepanjang musim memetik buah zaitun.

Menurut laporan suruhanjaya itu, serangan berkenaan berlaku antara pukul 6 pagi hingga 6 petang, melibatkan pelbagai bentuk tindakan, termasuk meratakan tanah pertanian, mencabut pokok buah-buahan, merobohkan struktur pertanian dan memusnahkan tangki air. Serangan itu turut melibatkan penahanan petani ketika memetik buah zaitun, tindakan menghalang petani lain daripada memasuki tanah pertanian mereka serta melepaskan ternakan milik peneroka ke kawasan kebun zaitun.

Di wilayah Jenin, tentera Israel memulakan kerja-kerja meratakan tanah pertanian di bahagian timur laut Kampung Tura, berhampiran tembok pemisah di barat daya wilayah berkenaan. Tanah yang menjadi sasaran itu dimiliki oleh Khader Faris Qabha, Faisal Abadi, Ayman Abadi dan Mansour Abadi. Kawasan tersebut mempunyai pokok zaitun berusia ratusan tahun serta kawasan pertanian yang luas. Pemilik tanah berkenaan mengesahkan bahawa mereka tidak menerima sebarang notis awal berhubung tindakan meratakan tanah tersebut.

Penterjemah : Farah Najwa