
Rabu, 04/11/2026 – Suruhanjaya Penentang Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan 15 serangan oleh tentera penjajah Israel dan pendatang haram terhadap petani Palestin dan tanah pertanian di seluruh Tebing Barat yang diduduki secara haram dalam tempoh hanya 12 jam pada Isnin, termasuk membakar dan mencabut pokok zaitun, meratakan tanah dengan jentolak, memusnahkan sumber air, mencuri tanaman, menangkap petani dan merampas kenderaan.
Suruhanjaya itu berkata serangan berlaku antara jam 6 pagi hingga 6 petang, melibatkan wilayah Salfit, Nablus, Ramallah dan al-Bireh, Bethlehem, Qalqilya, dan al-Khalil.
Peningkatan serangan itu berlaku serentak dengan pihak berkuasa Israel memulakan pembinaan tembok konkrit baharu di sepanjang tanah pertanian milik kampung Marda, di utara Salfit.Pokok zaitun dibakar dan tanah pertanian diratakan
Di wilayah Salfit, pendatang Yahudi membakar tanah pertanian dan pokok zaitun berusia ratusan tahun di kawasan al-Badoun, kampung Iskaka, timur Salfit.Serangan itu adalah sebahagian daripada siri serangan di kawasan Wadi al-Shaer, antara Salfit dan pekan al-Lubban al-Sharqiya, selepas tentera Israel merobohkan pos penempatan haram yang berulang kali cuba didirikan oleh pendatang di atas tanah Palestin.
Pendatang juga membakar tayar di jalan raya, menyekat lebuh raya utama, dan membaling batu ke arah kenderaan Palestin, mengganggu lalu lintas dan membahayakan pemandu.
Di Marda, pihak berkuasa Israel mula membina tembok konkrit di sepanjang lebuh raya penempatan Trans-Samaria, sambil pada masa yang sama meratakan tanah pertanian dengan jentolak dan mencabut ratusan pokok zaitun matang yang berbuah.
Suruhanjaya itu memberi amaran bahawa tembok tersebut mengancam untuk memencilkan lebih banyak kawasan pertanian dan menghalang pemilik tanah Palestin daripada mengakses hartanah mereka.
Penterjemah : Norshuhada Samudin