Mereka Yang Dilupakan(MYDL) : Burj al-Barajneh (Part #4)


Oleh Maszlee Malek(kolumnis Palestinkini)

Arkib Artikel MYDL
Part#1
Part#2
Part#3

Jika di dalam bahagian yang lepas kita telah diperkenalkan kepada statistik pelarian Palestin di Lubnan, latar belakang mereka, keadaan dan juga situasi mereka, dalam bahagian kali ini kita akan melihat terus kepada kondisi yang lebih terperinci di dalam sebuah kem pelarian Palestin di Luban iaitu Burj al-Barajneh yang terletak di timur Beirut. Pertubuhan ?Waqfiyyah al-Ghauth? yang dikendalikan oleh Talal berpusat di sini.

Di samping mempunyai cawangan-cawangan mereka di 10 kem pelarian yang mereka beroperasi di dalaamnya, pejabat di Burj al-Barajneh merupakan ibu pejabat mereka. Di ibu pejabat tersebut kami ditunjukkan dengan gambar-gambar yang mempamerkan aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan. Bermula dengan aktiviti-aktiviti yang bercorak amal kebajikan sehinggalah kepada aktiviti-aktiviti keagamaan dan juga pendidikan.

Encik Talal (kanan), pemuda berwawasan jauh yang menekankan aspek pendidikan untuk membela nasib pelarian Palestin

Ibu pejabat tersebut bukanlah sebuah bangunan yang tersergam indah seperti PWTC di Kuala Lumpur. Ianya hanya sebahagian daripada bangunan-bangunan sempit yang wujud di antara rumah-rumah di dalam kawasan perkhemahan kem Burj al-Barajneh. Apabila kita memasuki ke dalam ibu pejabat tersebut, seakan-akan kedua mata tidak akan membenarkan bentuk fizikal luaran bangunan ibu pejabat itu dengan apa yang berada di dalamnya. Dengan hiasan yang ala kadar, tetapi cukup untuk menjadi sebuah ibu pejabat utama kepada sebuah pertubuhan kebajikan yang menyelenggarakan kerja-kerja kebajikan bagi pelarian-pelarian Palestin di seluruh Lubnan. Semoga Allah S.W.T. menanjarkan usaha-usaha mereka dengan pahala yang berlipat ganda.

Saya sempat melihat gambar-gambar aktiviti pendidikan mereka. Mereka menganjurkan kelas-kelas fardhu ain, kelas tahfiz al-Quran, perkhemahan, lawatan-lawatan, pertandingan-pertandingan ilmiah, kelas-kelas tiusyen, kursus-kursus motivasi, kelas-kelas bimbingan dan sebagainya. Mereka juga terlibat dalam membina tadika-tadika yang berteraskan pendidikan Islam, sekolah-sekolah agama dan juga pembiayaan anak-anak yatim dan juga keluarga-keluarga yang miskin. Terfikir saya alangkah baiknya jika kita di Malaysia ini dapat berkongsi kepakaran dan teknik-teknik pendidikan terkini untuk membimbing guru-guru mereka. Ini semua merupakan sebahagian daripada jihad secara tidak langsung yang boleh dicurahkan oleh rakyat Malaysia untuk yang berminat kepada kerja-kerja amal. Teringat pula, mungkin halangan utama kepada usaha itu adalah masalah bahasa. Ianya, walau bagaimanapun akan dapat diatasi jika para ustaz dan ustazah kita yang berkebolehan berbahasa Arab dan berkemahiran tinggi dalam teknik dan skil pembelajaran dan psikologi dapat terlibat dalam usaha ini. Segera Hj. Azhari, rakan saya catatkan sebagai projek masa hadapan yang boleh dijalankan oleh JIM dalam usaha membantu para pelarian ini sepulangnya kami ke Malaysia nanti.

Selesai perbincangan kami di pejabat, dan setelah termeterainya Mou di antara Waqfiyyah al-Ghauth dan JIM, kami dibawa oleh Talal untuk meninjau keadaan ?sebenar? kem pelarian Palestin di Lubnan. ?Apa yang anda lihat di kem Burj al-Barajneh merupakan model kepada kem-kem lain yang terdapat di Lubnan?, kata Talal. Kami dibawa menyusuri lorong-lorong sempit di antara bangunan-bangunan (baca: rumah-rumah) di dalam kem tersebut. Inilah ?lebuh raya? di kem Burj al-Barajneh dengan nada bergurau sambil menunjukkan ke arah lorong yang jaraknya kurang dari dua meter dan merupakan jalan utama di dalam kawasan kem tersebut. ?Jika ada kematian, mayat tidak boleh dibawa dengan keranda kerana tidak muat. Kami hanya membungkuskan mayat-mayat dengan selimut dan membawanya keluar untuk dibawa ke kawasan perkuburan yang terletak jauh daripada kawasan kem?. Satu kenyataan yang terlalu sedih untuk kita mendengarnya.

Sistem saliran air yang sangat menyedihkan

Kami ditunjukkan juga kepada sistem bekalan air di dalam kem. Sememangnya tiada sistem bekalan air yang tersusun seperti kita di Malaysia. Air yang dibekalkan pun tidaklah sebersih air yang kita gunakan di Malaysia, hatta lebih teruk dari kekeruhan air di kawasan negeri Selangor yang terkenal dengan kekotorannya dan benar-benar ?Puas?. Untuk air minum, mereka terpaksa membeli air yang ditapis dan dijual samada di keadi-kedai runcit ataupun oleh kedai-kedai yang menjalankan perniagaan air ?bersih?. Jaringan air yang terdiri daripada paip-paip PVC keras yang menyalurkan air ke rumah-rumah di dalam kawasan kem bagaikan wayar telefon yang berselirat di seluruh kawasan kem. Lebih menakutkan lagi ianya berselang-seli dengan wayar-wayar eletrik dan kadang-kala saling bertindih. Keadaan seperti itu pernah mengakibatkan litar pintas dan juga gangguan eletrik jika berlaku kebocoran pada kedua-dua wayar tersebut. Sambil bergurau Talal mengatakan :?inilah ?jaringan internet? di kawasan kem? dan menunjukkan ke arah wayar-wayar air dan eletrik yang berselirat di atas kepala-kepala kami.

Yang pasti di dalam kawasan kem tersebut tidak terdapat sistem perparitan yang merupakan satu keperluan asasi di mana kawasan perumahan di dalam dunia ini. Ke mana airnya mengalir ?, itu merupakan satu aksi silap mata yang hanya boleh dijawab oleh penduduk kem-kem pelarian Palestin di Lubnan. Air terbiar mengalir dan terkumpul di kawasan-kawasan yang rendah dan dibiarkan kering oleh cahaya terik matahari. Jika tiada matahari ?, ataupun di musim sejuk yang sering hujan turun ?, apa yang akan terjadi?…soalan yang berlegar di kotak pemikiran penulis sehingga kini.

Perjalanan kami menyusuri lorong-lorong sempit itu telah menemukan kami dengan pelbagai benda. Restoran, supermarket, kedai runcit, kedai buku, kedai kaset, kedai internet, pusat snuker dan macam-macam lagi. Semuanya didirikan di antara bangunan-bangunan yang dipisahkan oleh lorong-lorong sempit dan jalan-jalan yang tidak rata. Usah terbayangkan restoran sebesar kedai-kedai mamak di ibu kota. Jauh lagi membayangkan super market seperti ?Giant?, Jaya Jusco, Carre foure dan sebagainya. Semua yang telah disebutkan tadi hanyalah ruang-ruang kecil yang dipenuhi dengan pekakas-pekakas yang membolehkan ianya digelar restoran, kedai runcit, super market, pusat internet dan juga apa sahaja nama yang selaras dengan kewujudan alat-alat yang mendominasi setiap ruang yang ada.

Sukar hendak dibayangkan jika ianya dibawa di dalam lembaran-lembaran novel, barisan-barisan ayat di dada-dada akhbar ataupun penghuraian seseorang di corong-corong radio. Rasanya gambar-gambar yang dipersembahkan di dalam ruangan ini pun belum tentu lagi dapat memberikan gambaran sebenar keadaan dan suasana yang terdapat di kem pelarian ini. Mungkin perbandingan yang boleh kita berikan di antara apa yang terdapat di kem ini dengan apa yang terdapat di kawasan perumahan di ibu kota seperti di Taman Tun Dr Ismail, Bandar Utama, Sri Damansara dan juga Ampang Jaya adalah seumpama langit ke tujuh dengan lapisan mantel bumi. Yang pastinya, berat mata yang melihat, berat lagi bahu yang memikul.

Saya memberanikan diri menanyakan kepada Talal satu soalan yang agak sensitif, ?Bilakah ini semua akan berakhir ??, Talal tersenyum seraya menjawab, ?Wallahua?lam, mungkin apabila Yahudi Zionis pula akan menggantikan kami sebagai penghuni kem-kem pelarian di sini!?. Kami gelak besar dengan gurauan yang mempunyai makna yang amat mendalam dan juga wawasan yang amat jauh.