Mereka yang rabun sejarah dalam memahami isu Palestin.

Berdamai dengan Israel ?
Pejuang Palestin keras kepala tidak mahu berdamai ?
Israel membuka pintu perundingan ?
Di mana penyelesaian konflik Palestin-Israel ?
Kolumnis Palestinkini , saudara Maszlee Malek mengupas persoalan ini.

Menjelang pilihanraya pemilihan presiden PA di Gaza dan Tebing Barat, pihak media pro Israel dan juga pihak lobi zionis antarabangsa semakin giat mencanangkan slogan damai. Bagi mereka kematian Arafat merupakan satu petanda yang baik. Diktator tua yang degil dan pro keganasan itu perlu mati dan segera digantikan dengan mereka yang lebih terbuka, sederhana dan pro kedamaian. Alasan mereka, kedamaian di rantau tersebut hanya akan boleh dicapai jika pihak Palestin semata-mata sanggup tunduk dan memberhentikan aktiviti keganasan mereka.

Dendangan mereka ini disambut baik pula oleh sesetengah pemimpin dunia Arab dan Islam. Tidak ketinggalan juga mereka yang menelan bulat-bulat dendangan tersebut adalah sesetengah jurnalis dan penggiat media muslim dan Arab. Bagi mereka, Arafatlah penghalang kedamaian, Arafatlah penyebab kegagalan segala pelan-pelan damai yang dianjurkan oleh AS dan rejim Zionis Israel. Kematian Arafat menjanjikan terbitnya fajar baru yang lebih cerah ke arah timur tengah yang lebih aman dan damai.

Benarkah seperti apa yang didakwa?

Ternyata AS dan Zionis merupakan pembohong nombor wahid di dalam dunia kontemporari ini. Ternyata juga pihak Arab dan muslim yang turut mengalunkan dendangan keroncong mereka, samada mereka (arab dan muslim) itu naif ataupun rabun sejarah.

Adakah benar Arafat anti perdamaian dan pro keganasan ?, adakah benar rejim Zionis pro kedamaian dan pihak Palestin merupakan penganjur keganasan ?, adakah benar juga kedamaian anjuran AS satu-satunya jalan penyelesaian konflik di rantau tersebut ?

Biarkan sejarah menjadi kayu ukur sejauhmana kebenaran dakwaan-dakwaan tersebut ?

Apakah benar Arafat anti kedamaian ?, tohmahan ini merupakan tuduhan yang paling tidak berasas dan hanya mereka yang bahlol sahaja akan mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Bagi sesiapa yang mengiyakannya juga, ternyata mereka rabun jika tidak buta sejarah!

Mengapa tidak?, bukankah jasa paling besar Arafat terhadap usaha damai anjuran AS dan rejim Zionis ialah apabila beliau bersetuju menerima perjanjian Oslo tahun 1993. Perjanjian tersebut telah menyaksikan bagaimana Arafat telah memilih untuk menggadaikan perjuangan rakyat Palestin dan umat Islam untuk membebaskan bumi tersebut semenjak 1948 di meja rundingan. Bukan sekadar perjuangan umat digadaikan, malah bumi Palestin telah dilelong secara borong. Sebagai ganjarannya, beliau telah mendapat jawatan presiden pihak berkuasa tempatan Palestin dengan kuasa autonomi yang amat terhad. Tidak cukup sekadar itu, rejim Zionis yang telah dilabel sebagai gerakan Apartheid pada tahun 1975 dan perkauman telah dikhatankan menjadi sebuah gerakan yang halal, bersih dan suci lagi menyucikan yang lain. Kita yakin Arafat ikhlas dan telus dalam usahanya meneroka usaha diplomatik dan pro “kedamaian” versi AS dan Zionis. Usaha pengkhianatan beliau ini telah membuahkan hasil, pada tahun 1994 beliau dihadiahkan hadiah nobel keamanan.

Natijah yang pahit dari kedamaian

Sayangnya, beliau rabun sejarah. Beliau hanya mengikuti nafsu akalnya sahaja didalam merasionalkan perdamaiannya dengan rejim pengganas Zionis. Beliau lupa bahawa bangsa Yahudi bukanlah bangsa yang mengenal erti ketulusan dan kejujuran. Sudahlah rakyat Palestin hilang negara secara sah melalui Oslo, mereka terus mengungkiri perjanjian tersebut dengan menggiatkan usaha pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Gaza. Penggalian terowong di bawah masjid al-Aqsa semakin hebat, penempatan Arab di Baitul Maqdis semakin pupus, pelarian Palestin tidak diberikan jaminan untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang diperuntukkan melalui ketetapan 194 Majlis Umum PBB, kawasan-kawasan di Tebing Barat dibahagi-bahagikan dengan sekatan-sekatan jalan dan pos-pos kawalan tentera Zionis. Ini semua terus berjalan selepas Oslo, namun Arafat yang telah diikat tangan dan kakinya dengan Oslo tetap tunduk dan patuh dengan Oslo. Lebih menarik lagi beliau telah memberikan khidmat yang tidak ternilai harganya apabila menjadi rakan setia Zionis untuk menangkap para pejuang Palestin di Gaza dari fraksi penentangan seperti HAMAS dan Jihad Islamiyy (Lihat tulisan: Dr Muhsen Salleh, Palestine issue: from the year 1948-2000, Falcon Publisher, Malaysia). Jika ada yang masih lagi mengatakan Arafat dan rakyat Palestin tidak pernah mencuba jalan damai dan diplomatik, ternyata mereka silap!

Rakyat Palestin dihina sesuka hati oleh rejim Zionis


Persoalannya apakah pula yang menyebabkan beliau menerima kembali cap mohor sebagai pengganas dan anti kedamaian ?

Inilah bukti sikap sebenar rejim Zionis. Arafat yang cuba untuk husnul zan dan bersikap optimis akhirnya telah mempelajari satu pelajaran yang amat berharga: “Rejim Zionis tidak mengenal erti kedamaian dan kejujuran”. Amat bodohlah sesiapa yang masih lagi menyeru agar usaha berdamai dengan Zionis diteruskan. Bagi Zionis, berdamai dengan mereka bererti berikan pisau dan tadahkan leher kepada mereka untuk disembelih!

Melalui perundingan di Camp David pada bulan Julai 2000, pertemuan tiga penjuru telah diadakan. Clinton mewakili AS sebagai moderator, Ehud Barak mewakili Israel (rejim Zionis) dan Arafat mewakili PA. Dua persoalan utama yang tidak dapat dikompromikan oleh Arafat yang menyebabkan beliau kembali dinobatkan sebagai pengganas dan terpaksa menjalani perintah tahanan rumah di Ramallah. Yang pertamanya berkaitan kedudukan Baitul Maqdis sebagai milik rakyat Palestin dan ibu negara Palestin yang berdaulat (Israel menuntut hak mereka ke atas Baitul Maqdis yang disifatkan oleh Barak sebagai ibu Negara Israel sepanjang hayat, Clinton pula mencadangkan agar rakyat Palestin memindahkan Masjid al-Aqsa ke satu tempat lain di Tebing Barat yang mereka namakan sebagai Baitul Maqdis juga demi menjaga keamanan rantau tersebut) dan juga hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka melalui resolusi majlis umum PBB 194. Dua perkara yang menjadi penghalang kejayaan rundingan yang mengambil masa dua minggu tersebut sekurang-kurangnya telah menjadi aset kepada Arafat untuk mendapatkan kembali sokongan dari rakyat Palestin dan juga kepercayaan dari umat Islam dari seluruh dunia.

Bagi pihak Zionis, berdamai dengan mereka bererti rakyat Palestin hendaklah melucutkan senjata mereka, menghentikan perlawanan dan juga mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat. Berdamai juga menurut mereka adalah penyerahan diri rakyat Palestin kepada Zionis dan menurut apa sahaja yang mereka lakukan tanpa banyak bicara, walau apapun yang rejim tersebut lakukan ke atas mereka. Sebab itulah apabila Arafat menolak permintaan mereka yang keterlaluan (terutamanya untuk memindahkan Masjid al-Aqsa) dan juga boleh dilihat sebagai penggadaian maruah yang terbesar mereka, mereka anggap Arafat sebagai pengganas dan anti perdamaian. Perdamaian versi apakah ini?

Sekadar meminjam kata-kata Dr Azzam Tamimi dari UK, penggiat isu Palestin di peringkat antarabangsa: ?Mereka yang menyuruh rakyat Palestin berdamai dengan pengganas Israel dan melucutkan senjata mereka adalah seupama seseorang menyuruh wanita yang sedang dirogol agar tidak melawan, tetapi memberikan ciuman di mulut perogol itu agar dia berpuas hati?

Tentu masih segar lagi diingatan masyarakat dunia bagaimana Syeikh Ahmad Yassin, mantan pemimpin spiritual HAMAS yang syahid dibedil tentera Zionis pernah menawarkan untuk melakukan gencatan senjata bersama dengan rejim Zionis tanpa syarat selama 15 tahun untuk membina semula Palestin. Natijahnya, Syeikh yang lumpuh tersebut telah dibedil dengan tiga roket yang dilancarkan dari helicopter Apache sewaktu pulang dari solat Subuh pada 22 Mac 2004 yang lalu. Kedamaian apakah yang diinginkan dari spesis manusia sekejam ini. Perdamaian dan perjanjian damai yang diinginkan oleh Zionis perlu difahami oleh dunia dan oleh mereka-mereka yang rabun sejarah adalah perdamaian dengan 1001 syarat ke atas pihak Palestin dan tiada apa-apa syarat dikenakan ke atas mereka. Jika ada sesiapa lagi yang melaungkan agar usaha diplomasi digunakan untuk berhadapan dengan Zionis Israel, ternyata mereka terlalu bebal dan bengap untuk memahami sejarah!

Seperti al-Syahid Dr. Abdul Aziz al-Rantisi pernah mengatakan di dalam salah satu rapat umumnya selepas kematian Syeikh Ahmad Yassin, ?Zionis tidak memahami apa-apa bahasa mengenai kedamaian, mereka hanya mengenal satu bahasa sahaja, iaitu ?Bahasa Peperangan?!?. Beliau bukanlah beremosi sewaktu melaungkan kata-kata tersebut, tetapi kata-katanya itu berasas. Lihatlah jalan-jalan diplomasi dan perundangan yang dilakukan ke atas mereka, semuanya mereka langgari dan mereka tolak ketepi. Mereka jugalah yang menyalahi segala ketetapan-ketetapan majlis umum PBB berkaitan isu Palestin. Contohnya seperti resolusi 194 yang membenarkan rakyat Palestin untuk pulang ke negara mereka.

Penentangan bersenjata bukan caranya!

Mungkin ada yang bersikap skeptikal, siri-siri peperangan yang sekian lama ini tidak membuahkan hasil. Sekali lagi kenyataan seperti ini datangnya dari mereka yang rabun sejarah. Mengapa tidaknya. Tidakkah mereka lihat betapa rejim Zionis Israel telah menjadi semakin lemah kerana penentangan dan kekalahan mereka di dalam pertempuran. Sebagai contoh, siri-siri penentangan rakyat Palestin dan sukarelawan Muslim dari seluruh dunialah yang telah berjaya menghalang pihak Zionis dari mendapatkan kekuasaan di seluruh bumi Palestin sebelum tahun 1948, tetapi apabila PBB masuk campur dengan sokongan kuasa-kuasa besar dunia terutamanya AS, dan dari sesetengah para penguasa Islam sendiri pada masa itu, mereka telah berjaya mewujudkan entiti haram Israel melalui resolusi 181 pada 29 September 1947. Sayangnya, negara-negara Islam bersama pemimpin-pemimpin mereka yang pengecut tidak segera bangkit dan membantu rakyat Palestin membersihkan bumi mereka dari golongan Zionis. Apa yang berlaku, mereka tunduk dan akur kepada keputusan PBB yang telah membawa kepada tertubuhnya negara haram Israel pada 14 Mei 1948. Lebih menyayat hati lagi ialah apabila para pemimpin negara-negara Arab, seperti Jeneral Gamal Abdul Naser telah menangkap tentera-tentera mereka yang telah berjuang menentang Zionis dan membunuh mereka. Alasan yang mereka kemukakan ialah, mereka-mereka ini adalah pengganas. Jika tidak kerana para pemimpin-pemimpin tersebut, nescaya Israel tidak akan wujud di muka bumi ini. Contoh yang lain pula, peperangan Karamah pada 21 Mac 1967 di Jordan yang telah berjaya membendung kemaraan tentera Zionis dari memasuki dan menguasai keseluruhan Jordan. Begitu juga dengan kejayaan tentera Hizbollah mengusir keluar tentera Zionis dari selatan Lubnan pada tahun 2000. Ianya bukan melalui rundingan damai ataupun melalui saluran diplomasi, ianya melalui peperangan. Begitu juga dengan keadaan Israel selepas intifadah 1987, jika tidak kerana Arafat dan PLO bersetuju untuk berkerjasama dengan rejim Zionis, nescaya masa depan yang lebih cerah telah dapat disaksikan dunia pada tahun-tahun 90?an, sayangnya melalui saluran diplomatiklah para pemimpin PA (Pihak berkuasa tempatan Palestin) di bawah pimpinan Arafat telah menangkap dan memenjarakan para pejuang Palestin dan sekaligus membantutkan perjuangan mereka. Intifadah 2000 pun telah menunjukkan kepada dunia ia berjaya memberikan impak yang kuat. Lihatlah pengunduran rejim Zionis dari Gaza pada tahun hadapan seperti yang telah diumumkanoleh Sharon. Adakah ianya kerana perjanjian damai?, tidak, ianya adalah kerana serangan-serangan para pejuang terhadap para tentera Zionis setiap hari yang telah mengorbankan banyak nyawa tentera mereka. Tiada sesiapa yang memaksa mereka (tentera Zionis) untuk berundur, tiada sesiapa yang berunding dengan mereka, tiada sesiapa yang merayu kepada mereka?semuanya kerana perlawanan dan penentangan bersenjata. Hanya jika Mahmud Abbas, bakal presiden PA menjadi presiden, ternyata pihak Zionis akan mengenakan beberapa syarat ke atas PA untuk pengunduran yang sememangnya akan berlaku samada PA bersetuju ataupun tidak? (tambahan pula Mahmud Abbas merupakan di kalangan mereka yang pernah bersetuju dengan cadangan untuk memberikan Zionis hak sepenuhnya ke atas Baitul Maqdis lewat Oslo)

Ada juga di kalangan mereka yang rabun sejarah telah memberikan contoh-contoh kejayaan usaha diplomasi dalam mendapatkan kemerdekan sesebuah Negara. Malaysia dijadikan contoh, India dijadikan contoh, dan pelbagai lagi contoh yang tidak ada langsung dasar untuk disamakan di antara isu-isu tersebut dengan isu Palestin. Kebanyakan mereka memberikan kiasan terhadap pendudukan British di Negara-negara komanwel yang berakhir dengan diplomasi tanpa melihat kepada tabiat penjajahan British di Negara-negara tersebut. Kedatangan mereka adalah untuk menghisap kekayaan Negara-negara yang dijajah dan bukannya untuk menduduki dan mendiami Negara-negara tersebut. Pegawai-pegawai dan tentera-tentera British yang datang ke negara-negara yang dijajah tidak pernah bermimpi untuk menjadi warga negara tersebut. Yang penting bagi British ialah mengaut kekayaan dna membawanya pulang ke negara mereka. Fenomena ini berlainan dengan penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin, mereka datang ke Palestin untuk mendudukinya dan menghalau penduduk asal bumi tersebut. Mereka mendakwa hak mereka ke atas tanah Palestin dan menafikan hak pri bumi. Mereka ingin mendiami dan tidak sekali-kali meninggalkannya seperti yang telah dilakukan oleh mana-mana penjajah Eropah yang hanya mendiami sesebuah tanah jajahan mereka hanya untuk menghisap kekayaan dan bukannya untuk mendudukinya. Oleh kerana perbezaan inilah kita menyaksikan bagaimana era penjajahan (kolonialisme) kuasa-kuasa barat di Asia dan Afrika segera berakhir menjelang pertengahan kurun ke-20 yang lepas, tetapi tidak Israel. Bagi Zionis mereka tidak menjajah Palestin, mereka hanya pulang sebagai rakyat asal tanah tersebut yang sekian lama berada di luar. Perbezaan ini telah disinggung oleh Martin Buber di dalam surat terbukanya kepada Mathma Gandhi apabila Ghandi cuba menegur rejim Zionis sebelum itu.

Kerabunan di dalam membaca sejarah hanya akan menyebabkan seseorang itu tersalah di dalam memberikan pandangan dan kritikan terhadap sesuatu isu yang mempunyai sejarahnya yang panjang dan pelbagai. Sayangnya ramai penulis, pemikir dan penganalisis konflik Palestin-Zionis yang terdiri dari kalangan orang Islam sendiri tidak mahu mengaku kerabunan mereka. Mereka tetap dengan kerabunan mereka sehinggakan tanpa disedari mereka mendendangkan irama yang dialunkan oleh Zionis dan AS yang langsung tidak menguntungkan pihak yang dianiaya!