Isnin , 08/03/2010 – Akhbar berbahasa Ibrani, Herts menjangkakan rundingan tidak langsung antara kerajaan Zionis dengan pihak berkuasa Ramallah yang diketuai oleh Mahmud Abbas (yang sudah tamat tempoh pemerintahannya) mungkin bermula lebih awal, pada hari Ahad akan datang, setelah Abbas menerima persetujuan beberapa buah negara Arab untuk memulakannya.
Akhbar itu mengatakan utusan Amerika di Timur Tengah, George Mitchell akan tiba ke Israel pada petang Sabtu akan datang, sambil mengisyaratkan bahawa pentadbiran Amerika berharap kedua-dua pihak mengisytiharkan pada pagi keesokannya bahawa rundingan tidak langsung itu akan bermula, iaitu sebelum ketibaan Joe Biden, Naib Presiden Amerika ke Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, Saluran 10 televisyen Zionis memaklumkan rundingan Zionis-Palestin-Itali akan berlangsung di Rom pada 22 April akan datang dengan disertai oleh Presiden Israel Simon Perez, Ketua Pentadbiran Ramallah Mahmud Abbas dan Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir