Tentera rejim Zionis tahan 3 wanita dan anak-anaknya

Isnin, 24/05/2010 – Tentera rejim Zionis (IOF) pada petang Selasa lepas menahan 3 orang wanita Palestin dan anak-anak salah seorangnya atas alasan kononnya mendapati mereka berada berdekatan dengan tanah yang dihuni pendatang haram Yahudi. Kawasan tanah itu dikenali sebagai Mabo Dota dan terletak berhampiran Bandar Araba, selatan Jenin di utara Tebing Barat.

Wanita-wanita tersebut sedang memetik daun-daun pokok yang menjalar ketika IOF melakukan rondaan di kawasan itu dan terus membawa mereka dan dua kanak-kanak ke penempatan haram Yahudi di mana mereka disoal-siasat selama beberapa jam. Agensi berita SAFA melaporkan bahawa IOF memberi amaran kepada wanita-wanita dan kanak-kanak itu supaya tidak menghampiri kawasan penempatan haram Yahudi lagi.

Sumber memaklumkan bahawa mereka yang ditahan kemudiannya dibebaskan hari ini. Mereka yang ditahan adalah Neveen Irsheid, 45, anak-anaknya Tulin, Naden, dan Ahmed, serta 2 lagi penduduk Palestin iaitu Kefaya Daqa, 40, dan Jehan Sa’abna, 42.

IOF dan pendatang haram Yahudi cuba menjadikan kawasan sekeliling penempatan haram Yahudi sebagai kawasan larangan kepada penduduk Palestin yang sebenarnya merupakan tuan tanah tersebut dengan tujuan menghalau mereka kelak. IOF dan pendatang haram Yahudi sering menyerang penduduk Palestin yang bekerja di atas tanah mereka sendiri hanya kerana kawasan itu terletak berdekatan kawasan penempatan haram Yahudi.

sumber : The Palestine Telegraph
penterjemah :  salwa