Alhamdulillah, Kami Akhirnya Berlayar Ke Gaza

Jumaat, 28/05/2010 – Selepas tertangguh selama 2 hari, kapal Mavi Marmara akhirnya meninggalkan Pelabuhan Yeni Antalya tepat jam 00:30 pagi (5:30 pagi waktu Kuala Lumpur) menuju ke Laut Mediterranean. Suasana di atas kapal penuh ceria, di mana peserta bersorak dan bertasbih sambil melaungkan takbir. Sesungguhnya masa menunggu selama 2 hari adalah terlalu lama bagi kami yang sekian lama bersiap sedia untuk melihat bumi Gaza.

Perjalanan daripada Kepez Arena bermula dari jam 5 petang lagi. Puluhan buah bas membawa peserta-peserta konvoi yang diiringi oleh kereta-kereta dan kibaran bendera. Kanak-kanak, remaja dan warga emas, semua melambai-lambai tangan kepada rombongan bas ini, ada yang menjerit-jerit dengan kata-kata sokongan, ada yang menitiskan airmata. Bandar Antalya bagaikan menyambut satu pesta perayaan, sehinggakan bunga-bungaan ditabur sepanjang perjalanan daripada Kepez Arena hingga ke Pelabuhan Yeni.

Sambutan di Pelabuhan Yeni begitu meriah sekali. Pelbagai lapisan rakyat menyambut ketibaan bas membawa peserta konvoi dalam suasana penuh sesak. Jalan masuk ke pelabuhan dipenuhi dengan kibaran bendera dan tembakan bunga kertas bewarna-warni ke udara. Berbagai-bagai lagu berbahasa Turki dinyanyikan, setiap mereka yang hadir tidak mahu ketinggalan melaungkan takbir dan bersalaman dengan peserta konvoi.

Kira-kira 560 orang peserta konvoi menaiki kapal Mavi Marmara ini. Kapal penumpang ini diiringi oleh dua buah kapal kargo, di mana mereka akhirnya akan bergabung di perairan Cyprus dengan 6 buah kapal lain yang belayar dari Eropah. Kapal-kapal ini dijangka tiba di perairan Gaza pada hari Sabtu.

Dalam pada itu, Zionis Israel terus mengeluarkan ancaman kepada konvoi ini. Israel dikatakan akan menghalang kemasukan konvoi ini walaupun dengan menggunakan kekerasan dan tindakan ganas. Dalam masa yang sama, penganjur utama konvoi iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan peserta-peserta konvoi terus menzahirkan kecekalan mereka untuk memastikan bantuan kemanusiaan ini sampai ke Gaza. Dalam satu sidang media yang diadakan di Kepez Arena sebelum mereka bertolak ke Pelabuhan Yeni, semua perserta bersatu dalam ikrar mereka untuk melancarkan kempen dan demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia sekiranya Israel bertindak ganas terhadap konvoi ini.

Presiden IHH, Bulent Yildirim berkata bahawa mereka tidak akan membiarkan konvoi ini diganggu oleh Israel. “Hari ini kita akan berlepas, semoga Allah memerlihara perjalanan kita. Kita jumpa lagi di Gaza”, kata Bulent disambut dengan sorakan dan takbir.

Dalam ucapan mereka di sidang media tersebut, wakil-wakil konvoi daripada Vatican, Malaysia, Indonesia, Algeria, Kuwait, Pakistan, Palestin, Yaman, Belgium dan berbagai negara lain lagi turut melafazkan janji keazaman dan kecekalan mereka untuk sampai ke Gaza.

sumber : (Mohd Nizam/LL4G)

13 thoughts on “Alhamdulillah, Kami Akhirnya Berlayar Ke Gaza

  1. salam mujahadah buat antum..
    peserta konvoi: sampaikan salam km buat saudara2 di gaza..walau jasad ini tidak berkemampuan k sana..insyallah hati2 dan doa tlah km hantar k sana..

    perkemaskan langkah~jangan gentar dan ragu
    insyallah, allah bersama kita.. 🙂

  2. smoga slamat perjalanan drahmati Allah dan slamat pergi dan pulang…\^^/…berusaha!!

  3. Bantuan konvoi tu sampai x ke Gaza? dah banyak kegagalan berlaku sebelum nie…ermmm ade yg dah berjaya ker antar sumbangan direct ke sane melainkan bantuan tersekat sebelum dapat ke palestinian???

  4. ALLAHU AKBAR!!!!!
    Allah sentiasa bersama kita…!
    Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua di dunia mahupun di akhirat…amin..insya-Allah…

  5. jom dunia kita tentang habis-habisan kpd tentera zionis.jika kita buat baik Allah pasti akan bersama kita. amin..

Comments are closed.