Sabtu, 05/06/2010 – Penasihat Hal Ehwal Antarabangsa Mahmoud Abbas, Presiden Palestin (yang sudah tamat tempoh perlantikannya), mempertahankan keputusan pihak berkuasa Fatah untuk meneruskan rundingan dengan regim Zionis, sekalipun pembunuhan yang dilakukan terhadap aktivis pro Palestin yang berada di atas flotilla kebebasan.
Abdullah al-Ifrinji, anggota Jawatankuasa Pusat Fatah menyifatkan tuntutan agar menghentikan rundingan tidak langsung dengan regim Zionis setelah berlaku pembunuhan menggerunkan itu, sebagai tuntutan yang tidak akan mendatangkan apa-apa faedah. Beliau juga mendakwa bahawa rundingan-rundingan yang dijalankan sebelum ini adalah dengan pihak Amerika, bukan dengan pihak Israel.
Beliau menjelaskan dalam kenyataan yang diberikan kepada al-Quds Press bahawa tuntutan memberhentikan rundingan-rundingan tidak langsung tidak akan mendatangkan kebaikan kepada tuntutan mempertanggungjawabkan Israel sepenuhnya terhadap jenayah yang dilakukannya terhadap flotilla kebebasan yang bertujuan memecahkan kepungan terhadap semenanjung Gaza. Beliau juga berkata: “Kami sehingga kini hanya melakukan rundingan dengan pihak Amerika, bukan dengan Israel. Kami tidak mahu memberi alasan untuk Israel melarikan diri daripada bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang dilakukannya.”
sumber : http://www.palestine-info.info/ar
penterjemah : muhajir