
Selasa ,28/09/2010 – Seorang lelaki warga Palestin telah ditembak oleh tentera Israel di timur Khan Younis, selatan Gaza, demikian menurut sumber pihak perubatan pada Ahad.
Pemuda berusia 20 tahun itu telah ditembak di bahagian dada oleh tentera Israel yang ditempatkan di timur Khan Younis. Pemuda tersebut ketika ditembak sedang sama-sama berarak dalam demonstrasi aman menentang pembinaan tembok pemisah di Bandar Absan, Jurucakap perkhidmatan perubatan Palestin, Adham Abu Salmiya memberitahu Pusat Maklumat Palestin.
Sumber-sumber juga mengatakan, pemuda tersebut dibawa ke hospital untuk rawatan dan keadaan beliau dilaporkan stabil. Perarakan tersebut yang dicetuskan daripada kempen menentang tembok pemisah, dianjurkan oleh wakil-wakil daripada jawatankuasa buruh kebangsaan, penyokong warga asing dan belasan lagi warga Palestin.
Pada satu kejadian berasingan, tentera Israel telah menumpaskan perarakan menentang tembok pemisah di selatan Nablus, Burin pada Ahad. Beberapa warga Palestin mengalami sesak nafas akibat serangan gas beracun.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : idawati