Muhammad Dahlan : Lebih sudu dari kuah ?

Oleh Maszlee Malik

25 Januari 2006 merupakan tarikh yang dinantikan oleh majoriti rakyat Palestin. Tidak kira samada mereka yang tinggal di dalam Palestin 1948 (Israel), ataupun mereka yang tinggal di Gaza dan Tebing Barat, mahupun mereka yang tinggal di kem-kem pelarian Palestin di negara-negara jiran seperti Lubnan, Jordan dan Syria.Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, seluruh dunia juga turut ghairah menantikan tarikh tersebut. Dari Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), malah rejim Zionis Israel juga berdebar-debar menantikan tarikh tersebut. Itulah tarikh pilihanraya legaslatif Pihak Berkuasan Palestin (PA).

Pilihanraya yang berbeza

Apa yang menarik sangat mengenai pilihanraya kali ini?, ianya bukanlah pertama kali diadakan di bumi Palestin yang dijajah. Pilihanraya seumpamanya pernah diadakan pada tahun 1996. Apa yang istimewanya kini?, tidak lain dan tidak bukan penyertaan HAMAS yang merupakan pilihan popular rakyat Palestin. Penyertaan gerakan pembebasan rakyat Palestin HAMAS yang telah bersinar bintang mereka terutamanya selepas Intifadah 2000 telah menarik perhatian ramai pihak. Dunia bagaikan ternanti-nantikan apakah yang bakal berlaku.

Mana tidaknya, ketika rakyat Palestin sibuk ingin menjalankan hak mereka yang dijamin oleh sistem demokrasi, AS, EU dan Rejim Zionis telah masuk campur. Bermula dengan percubaan Rumah Putih yang gagal untuk menghalang penyertaan HAMAS di dalam pilihanraya tersebut, kemudian diikuti oleh EU pula yang muncul dengan ugutan untuk memberhentikan bantuan EU kepada rakyat Palestin jika HAMAS memenangi pilihanraya berkenaan. Rejim Zionis kemudian muncul selepas itu (15 Januari 2005) dengan ugutan untuk menganggu perjalanan pilihanraya dan juga kini menghalang calon HAMAS dari bertanding di Baitul Maqdis timur. Pada hari yang sama juga, AS telah mengugut untuk memberhentikan bantuan kepada rakyat Palestin berjumlah 350 juta Dollar Amerika setahun (berbanding 2 Billion Dollar Amerika kepada Rejim Zionis) jika HAMAS mendapat suara majoriti di dalam pilihanraya berkenaan.

Saban hari rakyat Palestin dibunuh !


Agak melucukan, di dalam keadaan rakyat Palestin dibunuh tiap-tiap minggu oleh tentera rejim, di kala kebanyakan rakyat Palestin masih lagi meringkuk di dalam penjara-penjara Zionis, di dalam keadaan jutaan rakyat Palestin masih lagi mendiami kem-kem pelarian, di kala Rejim Zionis enggan tunduk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memberhentikan pembinaan tembok pemisah, AS dan juga EU lebih bernafsu untuk menghalang HAMAS daripada menyertai pilihanraya. Usah ditanyakan apakah niat di sebalik usaha-usaha tersebut, yang pasti lobi Zionislah yang sebenarnya lebih berkuasa di dalam menentukan apa-apa keputusan yang akan diambil.

Antara alasan yang dikemukakan oleh Rejim Zionis dan juga EU dan AS di dalam usaha mereka menghalang HAMAS daripada menyertai pilihanraya tersebut ialah prinsip HAMAS yang berjuang untuk menghancurkan kewujudan entiti haram Israel. Antara lain juga alasan mereka ialah HAMAS sukar untuk dibawa berunding, dan yang paling utama ialah mereka meminta HAMAS melucutkan senjata dan membubarkan prinsip perjuangan mereka untuk memerdekakan bumi Palestin.

Walaupun HAMAS telah bersetuju untuk berunding dengan rejim Zionis (merujuk kepada wawancara radio Israel dengan Mahmoud Zahar, pemimpin tertinggi HAMAS pada 9 November 2005) menarik kenyataan mereka untuk menyaksikan kehancuran negara Israel, namun AS dan rejim Zionis tetap enggan menerima hakikat penyertaan HAMAS di dalam pilihanraya tersebut, apatah lagi untuk menyaksikan calon-calon HAMAS mendominasi PA. Lihat sahaja apa yang telah berlaku kepada calon HAMAS di Baitul Maqdis timur, Syeikh Muhammad Abu Tir dan enam calon HAMAS lain yang telah ditangkap oleh pihak rejim pada 15 Januari 2006 selepas berkempen. Walaupun beliau telah menegaskan kesediaan HAMAS untuk berunding dengan pihak rejim, namun itu belum lagi memuaskan hati rejim Zionis. Mereka mahunkan rakyat Palestin, khususnya HAMAS untuk meninggalkan terus perjuangan mereka dan terus melupakan kemerdekaan negara Palestin.

Maknanya, jika ada apa-apa serangan dan juga kezaliman pihak rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, HAMAS tidak boleh bersuara dan melawan kembali, apatah lagi untuk mempertahankan diri. Menyeru rakyat Palestin agar melucutkan senjata adalah umpama menyeru mereka agar memberikan tengkok mereka untuk disembelih oleh pihak rejim tanpa sebarang halangan.


Amerika dan rejim Zionis menafikan hak HAMAS menyertai pilihanraya


Rakyat Palestin mengutuk tindakan Rejim Zionis

Tindakan buruk rejim Zionis ini telah mendapat kutukan seluruh rakyat Palestin. Tidak kira dari fraksi mana pun mereka, apa yang dilakukan oleh pihak rejim Zionis menurut mereka adalah tindakan mencampuri urusan dalaman Palestin dan juga mencabul hak rakyat palestin untuk membuat pilihan. Mahmoud Abbas, presiden PA sendiri telah menyelar tindakan pihak rejim, yang padanya telah mengotori sistem demokrasi dan juga tidak menghormati hak rakyat Palestin.

Saeb Erekat, ketua perunding PA-Israel juga turut mengecam tindakan rejim Zionis yang dianggap sebagai melampau. Hatta Hannan Ashrawi, mantan wanita besi Palestin dan juga merupakan salah seorang calon yang akan bertanding di Baitul Maqdis timur, ketika ditemuramah oleh BBC telah mengutuk tindakan Rejim Zionis. Beliau menegaskan, bukanlah beliau bersimpati kepada HAMAS, tetapi apa yang dilakukan oleh rejim menunjukkan sikap biadap mereka dan juga tidak langsung menghormati prinsip demokrasi yang paling asas dan juga menganggu rakyat Palestin di dalam usaha mereka menjalankan tanggungjawab terhadap negara.

Pihak suruhanjaya pilihanraya PA pun telah menolak cadangan rejim pada 15 Januari yang menghalang HAMAS daripada bertanding dengan alasan bahawa segala persiapan telah lengkap diaturkan. Segala gambar calon HAMAS dan juga kertas undi telah siap dicetak. Apa yang berlaku menurut mereka benar-benar telah menganggu gugat kelancaran perjalanan pilihanraya yang bakal berlangsung pada 25 Januari nanti.

Jika dilihat kepada kebenaran yang telah diberikan oleh Ehud Olmert pemangku Perdana Menteri rejim Zionis kepada rakyat Palestin di Timur Baitul Maqdis untuk mengundi sebenarnya adalah di atas desakan Washington. Pada awalnya, sepertimana ketika pilihanraya pemilihan presiden PA pada tahun 2005 dahulu, pihak rejim enggan membenarkan rakyat Palestin di sana untuk mengundi dan menjalankan pengundian di dalam daerah tersebut. Jika tidak disebabkan oleh tekanan Washington, nescaya rakyat Palestin tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin yang mereka inginkan. Kebenaran mereka itu pun bersyarat, iaitu HAMAS tidak dibenarkan bertanding di kawasan berkenaan.

Ehud Olmert,pemangku Perdana Menteri Israel menggantikan ‘bulldozer’ !


Syarat yang amat pelik ini disebabkan oleh beberapa faktor, pertamanya, mereka merasakan kawasan tersebut adalah sebahagian daripada Israel yang mana pihak PA tidak ada apa-apa kuasa di sana. Yang keduanya, mereka merasakan jika pilihanraya dibenarkan di sana, bermakna pihak rejim mengiktiraf kawasan tersebut sebagai milik rakyat Palestin, dan ini bertentangan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Zionis yang mengakui bahawa Baitul Maqdis adalah milik mutlak Israel dan juga ibu kota Israel yang abadi.

Mereka takuti juga jika dijalankan pilihanraya di kawasan tersebut, HAMAS akan memenanginya, kerana usaha HAMAS yang begitu didokongi oleh kebanyakan penduduk Baitul Maqdis. Penduduk Baitul Maqdis yang menghadapi penindasan dari pihak rejim secara berterusan sememangnya inginkan pihak yang lebih tegas dan berani di dalam memperjuangkan nasib mereka untuk terus kekal dan terus tabah di dalam menghadapi kezaliman Zionis.

Muhammad Dahlan yang ganjil!

Di dalam keadaan yang serba sengit dan celaru ini, Abu Zuhri, salah seorang juru cakap dan juga pimpinan tertinggi HAMAS menegaskan bahawa mereka tetap akan bertanding di semua tempat yang telah diletakkan calon-calon mereka. HAMAS juga menurut Abu Zuhri telah menyusun strategi demi memenangi pilihanraya yang disifatkan sebagai amat penting di dalam usaha mereka melawan korupsi dan juga salah guna kuasa oleh para pimpinan PA selama ini.


Kenapa Muhammad Dahlan begitu takut dengan HAMAS sehingga membuat tindakan yang ganjil lagi pelik ??

Di sudut yang lain pula, mantan Menteri Keselamatan Dalam Negeri PA, Muhammad Dahlan yang dikenali sebagai tali barut Zionis dan juga koruptor besar di kalangan pimpinan PA telah melancarkan kempen mengutuk dan mengecam HAMAS. Di bandar Ramallah, pada 15 Januari, beliau telah mengecam HAMAS yang disifatkan sebagai menjilat ludah mereka sendiri apabila bersetuju untuk menyertai pilihanraya yang pernah mereka boikot pada tahun 1996 dahulu di atas alasan ianya adalah hasil dari Oslo 1993 yang gagal.

Menurut beliau, pilihanraya sekarang adalah di bawah tajaan “Road Map” tajaan AS yang jauh lebih merugikan berbanding Oslo 1993. Menarik lagi ialah, di kala pemimpin PA yang lain sibuk mempertahankan penyertaan HAMAS di dalam pilihanraya yang bakal menjelang, Dahlan, sepertimana biasa mengutuk penyertaan HAMAS dan juga kewujudan HAMAS itu sendiri. Yang pasti beliau bimbang akan masa depannya yang akan digugat dan juga fail-failnya yang akan dibongkar oleh pihak HAMAS jika mereka berjaya menguasai PA nanti.