Categories
Berita Semasa

Hamas: Polisi pemusnahan IOA tidak akan melemahkan kecekalan rakyat Palestin

Isnin , 17/01/2011 – Hamas menegaskan dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada Rabu lalu bahawa kepantasan pihak berkuasa rejim Zionis (IOA) memusnahkan rumah-rumah rakyat Palestin tidak sedikit pun akan melemahkan keazaman mereka mempertahankan tanah air mereka.

Pergerakan itu turut mengutuk tindakan IOA yang memusnahkan sebuah sekolah dan 16 buah rumah rakyat Palestin di timur Kampung Yatta yang termasuk dalam wilayah Al-Khalil. Menurut gerakan itu lagi, tindakan IOA itu merupakan agenda untuk mengusir penduduk asal daripada tanah milik mereka bagi membolehkan penempatan-penempatan haram Yahudi dibina.

Hamas menyeru rakyat Palestin agar terus cekal dan tidak akan terpengaruh dengan polisi IOA yang jelas sekali bersifat perkauman. Ia turut menyeru Liga Arab dan kumpulan hak-hak kemanusiaan agar segera campur tangan dan memberi tekanan kepada IOA supaya kekejaman terhadap rakyat Palestin dan tanah mereka ini dihentikan.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa