Jumaat, 09-04-2021 – Rejim Zionis (IOA) mengeluarkan notis perobohan dua rumah dan bangsal tanaman di Perkampungan Al-Jiftlik, Lembah Jordan dalam tempoh dua minggu, pada Rabu.
Sumber tempatan memberitahu, notis tersebut dikeluarkan oleh IOA kepada Omar Muhammad Idais, pemilik dua rumah dan bangsal terbabit. Idais berkata, keputusan ini menyebabkan keluarga besarnya terpaksa berpindah sekaligus bakal kehilangan satu-satunya mata pencarian di kawasan tersebut sejak sekian lama.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Jumaat, 09-04-2021 – Puluhan peneroka Yahudi memecah masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di Jerusalem yang berada di bawah perlindungan polis Israel pada hari Rabu.
Firas al-Dibs, Ketua Jabatan Perhubungan Awam dan Media, Jabatan Wakaf Islam di Jerusalem berkata, 28 peneroka dan 25 pelajar institusi agama ekstremis telah mencemarkan halaman Al-Aqsa dan melakukan upacara Talmud.
Dijangkakan lebih ramai peneroka akan menyerbu Masjid itu selepas solat Zuhur.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 09-04-2021 – Seorang wanita warga emas Palestin disahkan meninggal dunia diakibatkan kecederaan serius setelah dirempuh oleh kereta yang dipandu oleh seorang peneroka Yahudi di sebatang jalan di selatan al-Khalil di Tebing Barat Yang Diduduki, pada pagi Rabu lalu.
Menurut sumber tempatan, seorang peneroka yang memandu dengan laju merempuh wanita berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan parah. Kejadian berlaku di kawasan Muthalat as-Simya berhampiran bandar as-Samu, selatan al-Khalil.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Soroka di Beersheba di mana beliau disahkan meninggal dunia. Beliau dikenali sebagai Shafiqa Mohamed Abu Aqeel yang berusia 73 tahun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Jumaat, 09-04-2021 – Rejim Zionis pada hari Rabu telah merobohkan sejumlah struktur yang dimiliki oleh rakyat Palestin di Issawiya, daerah timur Baitulmaqdis dengan alasan pembinaan yang tidak berlesen.
Jameel Abdul-Hems, seorang penduduk tempatan berkata bahawa krew perbandaran merobohkan bangunan di dalam kawasan az-Zaroura dan Habayel al-Arab di Issawiya yang merupakan miliknya dan dua orang lagi penduduk.
Beliau menerangkan bahawa rejim Zionis merobohkan dua buah kedai alat ganti kenderaan miliknya serta sebuah garaj dan dua buah bilik milik penduduk tempatan dikenali sebagai Majed al-Mazraawi dan Darwish Darwish.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Khamis, 08-04-2021 – Seorang warga Palestin ditembak mati dan isterinya cedera pada pagi Selasa apabila tentera rejim zionis (IOF) melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di barat laut Baitulmuqaddis.
Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan bahawa seorang warga dikejarkan ke Hospital Palestin dalam keadaan kritikal serta kemudiannya diumumkan meninggal dunia akibat cedera ditembak oleh Israel di kepala.Isteri mangsa turut cedera teruk ditembak di belakangnya serta menerima rawatan perubatan di hospital. Keadaannya dilaporkan stabil.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis, 08-04-2021 – Berpuluh-puluh peneroka pelampau Yahudi telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Yang Diduduki di bawah perlindungan polis pada pagi Selasa lalu.
94 peneroka, termasuk 50 pelajar dan 12 pegawai perisik, memasuki Masjid melalui pintu Maghariba dan berkeliaran di kawasan halamannya di bawah pengawasan polis yang ketat.
Setiap hari, Masjid Al-Aqsa terdedah kepada pencemaran daripada penceroboh Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
Polis Israel menutup pintu al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki Masjid, pada pukul 10:30 pagi setelah para penceroboh menyelesaikan lawatan pagi mereka di tempat suci itu. Pada sebelah petang, pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan petang oleh penceroboh Yahudi.
Semasa kehadiran penceroboh di dalam perkarangan Masjid, sekatan masuk dikenakan ke atas jemaah Muslim di pintu masuk yang menuju ke Masjid dan kad pengenalan mereka dirampas sehingga mereka meninggalkan tempat suci tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Khamis, 08-04-2021 – Delegasi keselamatan Mesir tiba di Semenanjung Gaza pada Selasa petang melalui sempadan Beit Hanoun (Erez) dalam lawatan yang tidak diumumkan.
Pejabat media pemerintah sempadan berkenaan dalam kenyataan ringkas berkata delegasi keselamatan itu telah tiba tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.
Delegasi risikan Mesir yang diketuai oleh Ahmed Abdel Khalek, pegawai risikan bertanggungjawab terhadap portfolio Palestin, sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Hamas. Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu keselamatan dan politik.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Khamis, 08-04-2021 – Rejim Zionis pada hari Isnin telah memasang dua karavan di perkampungan Asira al Qiblya, di selatan Nablus.
Ghassan Daghlas, seorang pegawai yang mengawas aktiviti pencerobohan di utara Tebing Barat berkata bahawa tentera Zionis telah meletakkan dua buah karavan di dalam kawasan Dahr di tanah Asira al Qibliya, bersebelahan dengan Yitzhar, yang dibina di atas tanah penduduk.
Daghlas menyatakan bahawa peralatan pembinaan pihak Israel masih ada di kawasan tersebut, dengan jangkaan beberapa rumah bergerak lagi akan dipasang. Rejim Zionis menyasarkan untuk meluaskan lagi penempatan Yahudi dan merampas lebih banyak tanah penduduk Palestin, tambah beliau.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 07-04-2021 – Satu organisasi hak asasi manusia Israel mengutuk tentera rejim zionis (IOF) kerana hanya menyaksikan pendatang Yahudi menyerang dan mencederakan seorang warga emas Palestin yang sedang bekerja di kebunnya.
Organisasi hak asasi manusia Yesh Din berkata, sekumpulan pendatang bertopeng dari penempatan Ish Kodash menyerang seorang lelaki Palestin berusia 50 tahun ketika beliau sedang bekerja di tanahnya di timur Jaloud. Para pendatang tersebut turut menghalang beliau daripada terus bekerja dengan menghalakan senjata serta memusnahkan tiang elektrik di jalan antara Qusra dan Jaloud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu, 07-04-2021 – Pasukan Israel pagi Isnin melakukan operasi penangkapan dan penggeledahan di sejumlah wilayah di Tebing Barat dan Al-Quds.
Di Isawiyah, Al-Quds,tentera Israel menangkap Faisal Luai Ubaid dan ayahnya dan Muhammad Walid Abid setelah rumah mereka digeledah di kampung Abid dan merosakkan perabut dan perkakasan rumah.
Tentera Israel juga menggeledah kem pelarian Qalandia dan sejumlah rumah dan memeriksanya serta merosakkan perkakas. Israel menangkap beberapa orang pemuda antaranya Mahmoud Ibrahim Azmi Mathir, Khalid Muhammad Azmi Mathir, Mukmin Mansur dan Rami Mansour.
Israel juga menggeledah dua rumah di baldah Ezeriah milik keluarga Ajluni dan merosakkan perkakasnya.
Di Ramallah, tentera Israel menggeledah baldah Komer, di barat kota. Mereka juga menangkap pemuda Ashem Al Abd, Muhammad Fahmi Bargoti, Wathan Athef Barghoti dan Mustafa Raid Barghoti.
Diantara rumah yang digeledah adalah rumah tawanan bebas Enad Barghoti yang dibebaskan awal bulan lalu setelah ditahan selama lima tahun kerana menjadi anggota Hamas. Beliau adalah saudara kandung Wail Barghoti.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Rabu, 07-04-2021 – Keadaan kesihatan tahanan Palestin Emad al-Battran, dari kota al-Khalil, bertambah buruk ketika memasuki hari ke-45 mogok lapar sebagai protes kepada penahanan pentadbirannya tanpa perbicaraan atau pendakwaan.
Menurut Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin, Battran yang kini diasingkan di Penjara Nitzan, menderita akibat terlalu kurus dan lemah serta mengalami kesakitan fizikal dan keradangan kulit yang semakin merebak.
Battran memulakan mogok laparnya di Penjara Megiddo sebelum dipindahkan ke Penjara Ramla (Ayalon), kemudian ke hospital dan baru-baru ini ke sel berasingan di Penjara Nitzan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 07-04-2021 – Rejim Zionis pada awal pagi hari Isnin telah menculik beberapa rakyat Palestin semasa kempen di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Menurut sumber tempatan, rejim Zionis telah menculik empat orang pemuda dari rumah mereka semasa serbuan di bandar Kobar, barat Ramallah.
Rejim Zionis juga menyerbu rumah lain di Kobar, termasuk rumah bekas tahanan Enad al-Barghouthi, yang dibebaskan pada bulan lepas setelah dipenjara selama lima tahun setengah. Beliau adalah anak saudara tahanan bernama Nael al-Barghouthi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 07-04-2021 – Ahad lalu pihak berkuasa rejim Zionis telah mula meratakan tanah yang luas berdekatan daerah Issawiya di timur laut Baitulmaqdis dengan tujuan mengasingkan kawasan tersebut dari sekitarnya.
Menurut sumber tempatan, kerja-kerja merata besar-besaran dilakukan oleh rejim Zionis di tanah Palestin yang terletak di antara kampung az-Za’ayyem dan daerah Issawiya.
Sumber-sumber tersebut menegaskan bahawa Zionis berhasrat untuk membina jalan peneroka yang baharu sebagai sebahagian dari projek E1 yang bertujuan untuk mengasingkan kota suci dari persekitarannya.
Projek E1 adalah salah satu rancangan Judaization yang paling berbahaya yang mensasarkan kota suci dan kawasan sekitar Tebing Barat. Ia telah diluluskan oleh kerajaan Israel pada tahun 1999.
Projek ini merangkumi pembinaan penempatan baharu yang terdiri daripada 1.500 rumah peneroka haram di sebuah bukit berhampiran daerah Issawiya dan menghadap jalan baharu yang menghubungkan penempatan haram Ma’ale Adumim dengan Baitulmaqdis barat.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 06-04-2021 – 81 pendatang Yahudi menyerbu dataran Masjid Al-Aqsa pada pagi Ahad di Baitulmuqaddis.
Jabatan Waqaf Islam di Baitulmuqaddis menyatakan, para pendatang itu menceroboh dataran masjid dengan perlindungan polis rejim. Polis rejim memudahkan pencerobohan para pendatang tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa, 06-04-2021 – Sheikh Najeh Bakirat, timbalan pengarah Awqaf Islam di Baitulmaqdis dan ketua Akademi Sains dan Warisan al-Aqsa, telah menegaskan bahawa Pentadbiran Awqaf Islam tidak akan menutup pintu Masjid Al-Aqsa pada bulan suci Ramadan walaupun dalam keadaan terjajah dan adanya polisi-polisi berkenaannya.
“Mana-mana rakyat Palestin yang akan tiba di pintu masjid mempunyai hak untuk masuk dan beribadat di dalamnya,” kata Sheikh Bakirat, sambil mengecam cubaan Israel untuk memaksa penguasaannya ke atas lokasi suci Islam tersebut.
Dia memberi amaran mengenai percubaan berulang kali oleh pemerintah Israel untuk mengambil alih secara paksa pentadbiran urusan Masjid.
Pegawai Awqaf itu mengaitkan kesungguhan Israel untuk campur tangan urusan Masjid dengan persengkokolan beberapa negara Arab dan sokongan AS terhadap pemerintah Israel yang memberi bantuan kepada rumah-rumah ibadat Yahudi dan memudahkan kegiatan mereka.
Dia menuduh pemerintah Israel sedang berusaha untuk mengehadkan jumlah penganut Islam yang tiba di Masjid dengan mengenakan sekatan di Tebing Barat dan Kota Lama Baitulmaqdis.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul