Khamis, 09-01-2020 – Rejim zionis Israel menahan 17 warga Palestin dalam satu operasi yang dijalankan di Tebing Barat dan Baitulmuqqadis.
Di Baitulmuqaddis, anggota polis rejim menahan 10 penduduk Palestin dalam satu serbuan ke rumah mangsa di daerah Issawiya. Polis rejim juga telah mengarahkan seorang penduduk tempatan dari Issawiya manakala seorang lagi dari Shin Bet untuk siasatan lanjut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Khamis, 09-01-2020 – Rejim Israel (IOA) menghalang Sheikh Ismail Hawahdeh, pendakwah di Masjid Aqsa daripada memasuki Baitulmuqaddis untuk minggu ketiga berturut-turut.
Peguam Khaldoun Najem, yang bekerja di Bahagian Waqaf Islam Baitulmuqaddis berkata, beliau telah menyerahkan surat bantahan kepada perisikan Israel, Shin Bet, meminta agar Sheikh Nawahdeh dibenarkan menjalankan tugasnya di Masjid Aqsa.
Peguam Najem mengesahkan yang beliau akan pergi ke Mahkamah Israel jika tidak menerima maklumbalas daripada perisikan Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Khamis, 09-01-2020 – Perwakilan dari Hamas dan gerakan Jihad Islam telah kembali ke Gaza pada petang Ahad lalu selepas lawatan serantau selama beberapa minggu.
Sumber-sumber tempatan mengatakan bahawa kedua-dua delegasi berkenaan tiba di Gaza berikutan siri lawatan ke beberapa negara.
Jurucakap Hamas Hazem Qasem berkata delegasi Hamas yang diketuai oleh Khalil al Hayya, ahli biro politik pergerakan itu, telah kembali ke Gaza pada hari Ahad selepas melawat beberapa negara, termasuk Mesir, Turki, Qatar dan Malaysia.
Pada 3 Disember 2019, delegasi Hamas dan Jihad Islam, yang diketuai oleh ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya dan setiausaha agung Jihad Islam, Zeyad al-Nakhala, mengadakan pertemuan di Kaherah untuk membincangkan perkembangan terkini situasi politik di Gaza.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Isnin, 06-01-2020 – Pihak Majlis Perbandaran Baitulmuqqadis dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Israel bercadang menggantikan sekolah yang telah dibina UNRWA di kem penempatan Shu’fat dan perkampungan Anata dengan bangunan baru.
Projek yang menelan belanja 7.1 juta shekel itu telah disokong dan dipromosi oleh Ketua Majlis Perbandaran Israel, Moshe Lion bertujuan bagi menyekat pengaruh dan keberadaan UNRWA di timur Baitulmuqqadis.
Dengan bantuan pentadbiran AS, pihak rejim bertindak pantas melancarkan kempen bermula dua tahun lepas terhadap UNRWA dalam usaha untuk cuba menyekat pengaruh agensi pelarian PBB itu dan hak penduduk Palestin kembali ke tanah asal mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Isnin, 06-01-2020 – Tentera rejim Israel (IOF) pada Rabu menghalang para peserta perarakan aman menuju ke utara Nablus di mana penempatan haram Homesh pernah berada.
Datuk Bandar Jihad Salah menyatakan yang puluhan penduduk tempatan menyertai perarakan yang dianjurkan oleh perbandaran, menuju perbukitan kawasan al-Qubaibat di mana Homesh pernah berada sebelum dikosongkan pada 2005.
Salah menjelaskan yang rejim Israel menghalang jalan utama menuju kawasan tersebut dan menghalang mereka dari meneruskan perarakan, seterusnya mencetuskan pertikaman lidah dengan tentera.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Isnin, 06-01-2020 – Seorang peneroka haram Yahudi yang memandu pada kelajuan tinggi telah melanggar seorang pemuda Palestin hingga menyebabkan kecederaan pada petang Khamis lalu di sebuah jalan raya di timur kota Bethlehem, selatan Tebing Barat yang terjajah.
Mangsa dikenal pasti sebagai Bilal Ghazal, 20 tahun, dari kampung Kisan di selatan Bethlehem. Beliau mengalami kecederaan yang sederhana, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, insiden keganasan dan kekerasan oleh peneroka haram Yahudi pelampau terhadap rakyat Palestin dan harta-benda mereka adalah kejadian yang berlaku setiap hari di seluruh Tebing Barat.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Israel dilihat amat tidak cekap dalam menangani kejadian-kejadian jenayah yang dilakukan oleh peneroka-peneroka haram.
Kebanyakan fail penyiasatan mengenai kemudaratan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin dan harta benda mereka tertutup begitu sahaja disebabkan kegagalan sengaja pihak polis untuk melakukan siasatan dengan bersungguh-sungguh. Apabila mangsa jenayah adalah melibatkan warga Palestin, akan tampak dengan amat jelas kelemahan dan kecacatan dalam kerja polis Israel pada setiap peringkat penyiasatan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Isnin, 06-01-2020 – Rejim Zionis (IOF) telah melepaskan tembakan ke atas seorang pemuda Palestin di jalan berhampiran blok penempatan haram Gush Etzion, selatan Bethlehem.
Pejabat perhubungan awam Palestin memberitahu kementerian kesihatan bahawa seorang warga negara Palestin mengalami kecederaan di salah satu kakinya setelah tentera Israel melepaskan tembakan berdekatan persimpangan Etzion di selatan Bethlehem.
Media Ibrani mendakwa bahawa pemuda itu cuba melakukan serangan berhampiran Gush Etzion, tetapi tentera berjaya menghalangnya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nurul
Isnin, 06-01-2020 – Organisasi Hak Asasi Manusia (HAM) Eropah mencatat sekitar 500 pelanggaran yang dilakukan pemerintah penjajah Israel di kota Al-Quds terjajah sepanjang Disember 2019 lalu dengan sokongan Amerika dan sikap diam antarabangsa.
Hal itu disampaikan dalam laporan HAM Euro-Mediterranean (Euro Med Rights) beribu pejabat di Genewa, dengan tema: “Pelanggaran Sehingga Detik Terakhir.”
Euro Mediterranean menyebutkan, Bilangan pelanggaran berlaku peningkatan di Al-Quds pada bulan lalu dengan keputusan pemimpin politik dan sokongan dari Amerika, serta sikap diam pihak antarabangsa, ketika giatnya usaha Israel menamatkan keberadaan warga Palestin dan mengubah karakter dan identiti kota Al-Quds.
Dijelaskan bahawa pasukan Israel melakukan 495 pelanggaran sepanjang Disember lalu, terbahagi kepada 16 bentuk pelanggaran HAM, kebanyakan pelanggaran berulang.
Bentuk pelanggaran mencakup penembakan, penangkapan, penganiayaan langsung kepada anak-anak dan para wanita, di samping perobohan rumah dan merosakkan harta benda.
Lembaga HAM mengecam sikap ‘tutup mata’ PBB terhadap pelanggaan Israel di kota Al-Quds, disebutkan bahawa sikap tidak bertanggungjawab mendorong peningkatan pelanggaran tanpa khawatir didakwa.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Jumaat, 03-01-2020 – Rejim Israel (IOA) pada Selasa meratakan tanah rakyat Palestin di Kampung Wadi al-Rasha di selatan Qalqilya bagi membina jalan untuk pendatang Yahudi.
Menurut sumber tempatan, jentolak Israel dan kenderaan pembinaan menyediakan tanah untuk membina jalan di kampung Wadi al-Rasha dekat kampung Ras Atiya dan al-Dabaa di Qalqilya.
Jalan itu akan dibina untuk para pendatang dari penempatan haram Alfei Menashe, yang semakin berkembang sejak dibina pada tahun 1981.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nur idawati
Jumaat, 03-01-2020 – Seorang remaja Palestin cedera pada malam Selasa ketika rejim zionis menembaknya semasa serbuan di Tubas City di Tebing Barat utara.
Sumber perubatan Palestin mengatakan bahawa seorang remaja Palestin ditembak di paha dan dipindahkan ke hospital tempatan untuk rawatan.
Penduduk tempatan mengatakan bahawa pertempuran ganas berlaku antara pemuda Palestin dan rejim zionis ketika mereka menyerbu Kota Tubas.
Mereka melaporkan bahawa rejim zionis melepaskan tembakan amunisi dan gas pemedih mata kepada para pemuda dan mencederakan salah seorang daripada mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen
Jumaat, 03-01-2020 – Jurucakap Gerakan Pejuang Islam Hamas, Hazem Qassem, mengatakan bahawa keputusan menteri pertahanan Israel Naftali Bennett untuk menyita harta tawanan Palestin di dalam wilayah Palestin yang diduduki penjajah Israel sejak tahun 1948, merupakan lanjutan dari perang Zionis terhadap para tawanan. Pihak penjajah Israel menganggap para tawanan merupakan salah satu simbol terpenting daripada masalah Palestin dan sekaligus sebagai saksi atas kejahatan yang dilakukan penjajah Zionis.
Qassem menegaskan bahawa tindakan yang dipraktikkan oleh Menteri Pertahanan Israel, di samping langkah-langkah represif Zionis yang datang silih berganti terhadap para tawanan, menegaskan kepentingan menyatukan usaha nasional untuk menghadapi tindakan penjajah Zionis tersebut dan menjadikannya program utama di peringkat nasional.
Beliau meminta pihak Otoriti Palestin agar tidak menyerah pada langkah-langkah penjajah Zionis. Otoriti Palestin memulakan inisiatif mengembalikan gaji para tawanan yang dipotong sebagai respons dan reaksi terhadap keputusan penjajah Israel tersebut.
Pada Rabu malam (1/1/2020), Bennett mengumumkan bahawa dia telah mengeluarkan keputusan untuk menahan harta keluarga 32 tawanan Palestin yang berasal dari wilayah Palestin yang diduduki penjajah Israel sejak tahun 1948.
Bennett mendakwa bahawa keluarga para tawanan selama beberapa tahun terakhir menerima gaji dari pihak Otoriti Palestin.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Jumaat, 03-01-2020 – Rejim Zionis pada hari Rabu lalu telah merampas khemah dan struktur mudah alih milik warga Palestin yang digunakan sebagai bangsal di wilayah Tubas ke utara Tebing Barat.
Saksi menyatakan bahawa Rejim Zionis menyerang kawasan Atouf, tenggara Kota Tubas, dan merobohkan khemah kediaman dan bangsal mudah alih.
Mereka menambah bahawa semua struktur, yang dimiliki oleh warga Palestin Said Abu Daher, telah dirampas oleh Rejim Zionis.
Kira-kira seminggu yang lalu, Rejim Zionis juga telah merampas struktur mudah alih yang dimiliki oleh orang yang sama.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Khamis, 02-01-2020 – Rejim Zionis telah memaksa beberapa rakyat Palestin untuk meninggalkan kawasan agrikultur mereka yang berdekatan dengan petempatan haram di Shavei Shomron, utara Nablus pada Isnin yang lalu.
Datuk Bandar Sebastia, Mohamed Azem berkata, askar negara haram Israel dan pengawal keselamatan di petempatan tersebut telah memaksa sekumpulan pekebun untuk meninggalkan tanah tersebut.
Tambah beliau, pekebun tersebut sedang mempersiapkan kebun mereka untuk menanam pokok aprikot sebagai salah satu projek di kawasan tersebut yang dibiayai oleh Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan bersama Pusat Pembangunan Ekonomi.
Azem berkata, askar negara haram Israel telah mempertikai isu tersebut dengan mengatakan bahawa pekebun tersebut perlukan kebenaran sebelum masuk ke kawasan tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : hanafi
Khamis, 02-01-2020 – Pergerakan Hamas menegaskan bahawa kerajaan rejim Zionis tidak mematuhi secara keseluruhannya persetujuan yang telah dirundingkan terdahulu mengenai Gaza.
Dalam satu siaran akhbar, Hamas menafikan telah mengadakan sebarang perbincangan baharu mengenai gencatan senjata dengan pihak Israel, dan menegaskan bahawa “pengepungan dan sekatan terhadap Gaza belum berakhir.”
Pergerakan itu menyeru semua pihak yang berkenaan untuk memikul tanggungjawab masing-masing untuk mengakhiri apa yang dikatakannya sebagai “sekatan demi sekatan, yang terus menerus dilakukan oleh rejim Zionis dan Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah yang bertujuan untuk menggulingkan pihak penentang dan melumpuhkan rakyat Palestin”.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Khamis, 02-01-2020 – Pergerakan Hamas secara mutlak menafikan ada perjanjian gencatan senjata baru atau penyelesaian komprehensif dengan Israel, sama ada di Jalur Gaza atau Tebing Barat.
Jurucakap Hamas Abdul-Latif al-Qanu memberitahu agensi berita Anadolu bahawa terdapat usaha untuk menguatkan perbincangan sebelumnya yang berkaitan dengan mengangkat sekatan di Gaza dan tidak lebih dari itu.
Beliau juga menggambarkan laporan media Israel mengenai mengabaikan isu Tebing Barat semasa perbincangan sebelumnya dan baru-baru ini untuk mengakhiri pengepungan Gaza sebagai “tidak berasas dan tidak benar.”
Saluran satelit Israel, Kan, mendakwa pada hari Ahad bahawa Hamas menolak untuk menghentikan operasi mereka di Tebing Barat sebagai sebahagian dari penyelesaian dengan pemerintah Israel, sambil menambah gencatan senjata antara Israel dan Hamas hanya berkaitan dengan Gaza.
Pegawai kanan Hamas Khalil al Hayya telah menegaskan bahawa hanya ada perbincangan yang bertujuan mengangkat sekatan di Gaza dan bukannya pembicaraan politik dengan negara penjajah Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen