Khamis, 02-04-2020 – Pihak berkuasa penjajah Israel (IOA) Zionis pada hari Selasa memutuskan untuk menahan Sheikh Omar al-Barghouti dalam tahanan pentadbiran.
Pejabat Media Banduan berkata, memetik keluarga al-Barghouti, bahawa Zionis memutuskan untuk menahan tanpa perbicaraan tiada tempoh masa.
Al-Barghouti dan anaknya Muhammad diculik dari rumah mereka pada Subuh Selasa ketika serbuan di kampung Kobar di Ramallah.
Al-Barghouti adalah ikon perjuangan dan keteguhan Palestin. Dia adalah seorang bapa kepada anak yang syahid dan seorang bekas tahanan politik selama 25 tahun di penjara Israel.
Khamis, 02-04-2020 – Tahap kesihatan seorang tahanan yang sedang menghidapi barah otak, Eyad Jerjawi, 34, semakin merosot disebabkan pengabaian perubatan secara sengaja oleh Perkhidmatan Penjara Israel di penjara Gilboa Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan pada Selasa lalu.
Suruhanjaya itu berkata bahawa Jerjawi, seorang penduduk Khan Yunis di Semenanjung Gaza, telah disahkan menghidap barah otak baru-baru ini dan perlu menjalani pembedahan segera.
Suruhanjaya itu juga menuduh Perkhidmatan Penjara Israel sengaja melengah-lengahkan kebenaran untuk Jerjawi menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa Jerjawi, yang berisiko akan kehilangan daya penglihatan dan keupayaan untuk menggerakkan sebelah tubuh badannya, mesti dipindahkan ke hospital secepat mungkin.
Suruhanjaya itu meletakkan tanggung jawab sepenuhnya nyawa Jerjawi ke atas Perkhidmatan Penjara Israel, serta nyawa semua warga Palestin yang sedang ditahan di penjara Israel dan sedang menghidapi penyakit barah, yang kini berhadapan dengan risiko lebih besar disebabkan wabak coronavirus serta ketiadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang penting.
Jerjawi telah ditahan pada Jun 2011 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Rabu, 01-04-2020 – Pejabat Hal Ehwal Pelarian, Pergerakan Hamas di Lubnan meminta UNRWA supaya menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka kepada pelarian Palestin tanpa berat sebelah terutamanya ketika penularan pandemik wabak coronavirus.
“Jika dilihat pada kemampuan dan kenyataan rasmi pegawainya yang semakin mengecewakan, adalah jelas bahawa keupayaan mereka sangat terbatas, hanya pada beberapa langkah yang tiada peningkatan berbanding tahap krisis yang ada,” demikian kata pejabat pertubuhan itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Tambah pejabat itu lagi, “Juga diketahui umum bahawa agensi PBB itu akan hanya mengedarkan bantuan kepada golongan tertentu, dalam jumlah yang tidak mencukupi dan tidak memenuhi keperluan mereka yang terjejas yang merupakan kelompok terbesar masyarakat kami.”
Rabu, 01-04-2020 – Forum EuroPal London menyeru kerajaan-kerajaan dan parlimen Eropah agar menekan rejim zionis untuk mengambil langkah sewajarnya di penjara mereka bagi membendung penyakit coronavirus.
Dalam kenyataan akhbarnya, forum itu menyuarakan kebimbangan tentang tindakan Israel ke atas tahanan Palestin, termasuk mengeluarkan produk kebersihan daripada kantin penjara.
Forum itu turut menyatakan yang para pengawal penjara menyerbu penjara secara kerap tanpa memakai sarung tangan dan topeng muka, menyebabkan nyawa tahanan Palestin terancam dengan wabak coronavirus.
Rabu, 01-04-2020 – Pergerakan Hamas telah mengulangi berkali-kali akan kepentingan pertahanan sebagai satu-satunya cara untuk membebaskan rakyat Palestin dan tanah mereka dari dirampas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada ulang tahun ke 44 Hari Tanah, Hamas menyatakan kepercayaan mereka bahawa tidak akan ada masa depan dan tidak ada kemenangan untuk penceroboh.
“Ulangtahun Hari Tanah ini memperbaharui kesedaran kita untuk menghadapi pencerobohan walaupun perlbagai penganiayaan, penindasan, keganasan, diskriminasi kaum, rampasan tanah dan kampung terpaksa dihadapi,” kata Hamas.
Rabu, 01-04-2020 – Rejim Zionis pada hari Isnin telah mengumumkan bahawa tiga tahanan penjara Israel telah disahkan menghidapi penyakit coronavirus, yang mencetuskan kebimbangan tentang potensi wabak di kalangan warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan berkata bahawa tiga tahanan penjara Israel yang bekerja di penjara Ofer dan Nitzan telah disahkan positif untuk coronavirus.
Suruhanjaya itu memberi amaran mengenai “potensi bencana” yang mungkin mengancam nyawa lebih 5,000 warga Palestin yang ditahan di 23 penjara dan pusat tahanan Israel, termasuk 180 kanak-kanak, 41 wanita dan 700 tahanan yang sedang mengalami masalah kesihatan.
Suruhanjaya berkenaan bimbang bahawa sebilangan besar tahanan Palestin di penjara Israel boleh dijangkiti dengan coronavirus jika penjagaan kesihatan dan langkah pencegahan yang sewajarnya tidak dilakukan.
Ia menyeru pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, terutamanya Palang Merah, untuk menggesa pihak berkuasa Israel untuk mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya dan menjalankan ujian saringan untuk tahanan Palestin bagi memastikan keselamatan mereka.
Ia juga menggesa supaya tahanan-tahanan yang paling lemah dibebaskan dengan kadar segera, terutamanya kanak-kanak, wanita, dan tahanan yang sakit dan tua.
Selasa, 31-03-2020 – Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza telah melancarkan rayuan terhadap masyarakat antarabangsa sejumlah $23 juta untuk membantunya menghadapi dan membendung penyebaran coronavirus di kawasan yang serba kekurangan.
“Untuk menghadapi coronavirus di Gaza, kami menyeru masyarakat dan institusi kebajikan antarabangsa untuk segera menyumbang 23 juta dollar,” jurucakap kementerian kesihatan Ashraf Qudra menyatakan pada sidang akhbar Khamis lepas.
“Kementerian Kesihatan sangat bimbang tentang kekurangan ubat-ubatan penting, barang-barang perubatan, bekalan makmal, bank darah serta kekurangan alatan untuk menjalankan pemeriksaan coronavirus.”
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nur idawati
Isnin, 30-03-2020 – Sebuah organisasi bukan kerajaan Belgium merayu agar kepungan ke atas Semenanung Gaza dihentikan berikutan pandemik coronavirus di seluruh dunia dan mengesa pihak kerajaannya mengambil langkah segera mengatasi kesan penularan wabak tersebut.
“Belgium perlu lebih bertanggungjawab dari sebelumnya untuk mendesak supaya kepungan yang dibuat rejim Israel ke atas Gaza ditamatkan,” demikian kata NGO itu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada pihak kerajaannya.
Mereka juga meminta agar dilakukan usaha segera untuk membekalkan “alat bantuan pernafasan, katil rawatan intensif, kit ujian pengesanan dan segala bentuk kemudahan yang boleh mengurangkan risiko jangkitan.”
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Isnin, 30-03-2020 – Pihak berkuasa rejim Zionis pada hari Ahad lalu telah memutuskan untuk melanjutkan penahanan pentadbiran wartawan Palestin Bushra al-Tawil, 26, selama empat bulan.
Menurut Pejabat Media Banduan, al-Tawil yang merupakan seorang penduduk Ramallah di Tebing Barat, telah ditangkap oleh Rejim Zionis pada Disember 2019 dan telah ditahan semenjak itu tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Al-Tawil adalah salah seorang daripada lebih 40 wanita dan gadis Palestin yang sedang ditahan di penjara Israel.
Selasa, 10-03-2020 – Polis rejim Israel telah memaklumkan kepada Sheikh Najeh Bakirat, Timbalan Pengarah Wakaf Islam Baitulmaqdis yang juga Ketua Akademik Sains dan Warisan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki Masjidil al-Aqsa untuk tempoh satu minggu.
Pihak polis rejim tidak memberitahu sebab larangan tersebut. Sebelum ini, pihak rejim telah menguatkuasakan larangan masuk seperti itu ke atas Sheikh Bakirat sebanyak 22 kali.
Penduduk Baitulmaqdis berkata bahawa Sheikh Bakirat menerima perintah larangan selepas beliau ditanya tujuan beliau masuk ke masjid di pusat tahanan al-Qishla yang terletak di bandar suci tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Selasa, 10-03-2020 – Para pendatang Israel pada Rabu merampas satu kawasan pertanian Palestin di bandar Beit Ummar utara Tebing Barat bandar al-Khalil.
Aktivis Mohammed Awad menyatakan yang para pendatang Israel, dengan diiringi pasukan bersenjata, merampas 12 dunum kawasan pertanian di Beit Ummar yang ditanam dengan badam, anggur dan zaitun serta memasang kawat berduri sekitarnya.
Awad berkata, tanah itu dimiliki warga Palestin bernama Saqer Abu Ayyash dan saudara-saudaranya.
Selasa, 10-03-2020 – Sekurang-kurangnya 163 peneroka Yahudi telah melawat Masjid Aqsa di bawah perlindungan pihak polis.
Para peneroka, yang termasuk para pelajar dan pegawai kerajaan, melawat halaman Masjid dan menerima penerangan mengenai gunung kuil.
Masjid Aqsa terdedah kepada penindasan setiap hari oleh peneroka Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
Jumaat, 06-03-2020 – Tentera rejim zionis Israel bertindak memecah masuk beberapa buah rumah di Tebing Barat dan menahan sejumlah warga Palestin serta mencuri wang mereka.
Sumber tempatan berkata bahawa tentera rejim telah menahan 12 tahanan Palestin termasuk bekas tahanan dan pegawai Hamas dari rumah mereka sekitar Ramallah, Nablus, Tulkarem, Baitulmaqdis dan al-Khalil.
Menurut sumber itu lagi, anggota tentera rejim mencuri wang yang dianggarkan berjumlah 50,000 NIS (Mata Wang Israel) daripada lima buah rumah milik bekas tahanan di Nablus dan Salfit.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Jumaat, 06-03-2020 – Ketua Gerakan Hamas di Luar Negeri, Maher Salah, menegaskan bahawa kunjungan delegasi Hamas yang dipimpin oleh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah, berlaku pada waktu yang sangat penting setelah pengumuman Presiden Amerika Syarikat tentang Deal of Century (Kesepakatan Abad Ini) yang bertujuan untuk mencairkan isu Palestin.
Salah mengatakan, kunjungan delegasi gerakan Hamas ke ibu kota Rusia, Moscow berlaku pada waktu yang penting dan emosional, mengingatkan sikap Rusia yang menolak Deal of Century.
Beliau menyatakan bahawa Hamas dan Rusia sepakat bahawa Deal of Century bukanlah formula untuk perdamaian dan kemakmuran tetapi lebih merupakan perimbangan untuk mengekalkan konflik dan semakin menambahkan masalah yang sudah ada di Palestin.Beliau menambah bahawa pertemuan dengan para pegawai tinggi Rusia, terutama dengan Menteri Luar Negeri Rusia Sergey Lavrov, mengungkap kesepakatan besar dalam isu ini. Beliau menyatakan kesediaan para pemimpin Rusia untuk mendekatkan pandangan dalam kalangan pemimpin Palestin dan berusaha untuk mengembalikan persatuan nasional Palestin.
Menurutnya, apa yang membantu tercapainya keselarasan dengan sikap Rusia adalah kerana rakyat Palestin melalui pelbagai pihak komponen dan faksi bersatu melawan Deal of Century dan konsekuensinya, di samping pendirian Arab dan Islam yang dinyatakan dengan terang.
Salah mengungkapkan adanya kesepakatan dengan para pimpinan Rusia untuk melanjutkan pertemuan dan mengkoordinasikan usaha dengan semua pihak yang terkena kesan Deal of Century dan hegemoni Amerika di kawasan tersebut.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Khamis, 05-03-2020 – Delegasi peringkat tinggi dari Gerakan Hamas yang diketuai oleh biro politiknya, Ismail Haneyya bertemu dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di Moscow pada hari Isnin.
Mesyuarat itu dihadiri oleh timbalan
menteri luar negeri Mikhail Bogdanov dan beberapa pegawai dari kementerian luar
negeri.
Menurut pernyataan yang dikeluarkan oleh Gerakan, kedua belah pihak membincangkan terutamanya perdamaian antara Palestin, hubungan bersama dan rancangan keamanan AS.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor syuhada