Isnin, 24-01-2022 – Segerombolan peneroka Yahudi yang dikawal oleh pasukan polis mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada pagi Khamis dan seterusnya petang hari yang sama.|
Menurut sumber setempat, berpuluh-puluh peneroka memasuki masjid dalam kumpulan berbeza melalui Pintu Maghariba dan mengelilingi lamannya pada waktu pagi. Ketika lawatan mereka di tanah suci Islam itu, para peneroka mendengar ceramah dari rabbi mengenai Temple Mount dan sebilangan dari mereka melakukan sembahyang Talmud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 24-01-2022 – Penceroboh Yahudi dari pos kawalan haram Ahiya pada pagi hari Khamis mula meratakan tanah di selatan Nablus berdekatan bandar Jalud.
Pegawai tanah Ghassan Daghlas berkata penceroboh haram Ahiya menggunakan jentolak mula meratakan lima dunam tanah (enam ekar) di kawasan Jabel Arrus, yang terletak 200 meter jauhnya dari bandar Jalud. Daghlas menambah bahawa aktiviti meratakan tanah tersebut bertujuan meluaskan pos kawalan penceroboh tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 21-01-2022 – Pasukan polis Israel melancarkan kempen tangkapan besar-besaran terhadap puluhan rakyat Palestin di Negev pada pagi Selasa.
Pejabat Media Asra mengesahkan 41 rakyat Palestin telah ditangkap semasa kempen itu, termasuk kanak-kanak di bawah umur. 130 daripada penduduk Negev, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah ditahan ketika kejadian yang berlaku di padang pasir Negev beberapa hari kebelakangan ini.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 21-01-2022 – Puluhan pendatang Yahudi menyerbu Masjid Al-Aqsa pada pagi Selasa, dengan kawalan ketat oleh tentera. Pihak Wakaf mengesahkan yang puluhan pendatang Yahudi, termasuk pelajar institusi keagamaan, memasuki masjid dalam beberapa kumpulan melalui pintu Maghariba dan berkeliaran di dataran pada waktu pagi.
Ketika berada di tempat suci Islam itu, para pendatang mengerjakan ibadah Talmud bagi membuat provokasi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 21-01-2022 – Delegasi pergerakan Hamas telah tiba di Algeria untuk sidang perdamaian antara Palestin. Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, jurucakap Hamas di Gaza Abdul Latif al-Qanoua berkata delegasi dari pergerakan itu mengadakan persidangan dengan pegawai-pegawai Algeria pada hari Isnin untuk mencapai perpaduan kebangsaan.
Delegasi berkenaan termasuk ketua Hamas Khalil Al-Hayya dan Hussam Badran, dan juga wakil Hamas di Algeria, Mohamed Othman.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 19-01-2022 – Jabatan Luar Negara Amerika pada hari Rabu telah menyokong siasatan ke atas kematian seorang rakyat Amerika berbangsa Palestin, dimana keluarga arwah dan pegawai tempatan mengatakan telah ditahan oleh tentera rejim Zionis Israel ketika serbuan ke atas sebuah perkampungan di Tebing Barat.
Warga emas berumur 80 tahun bernama Omar Abdel-Majid Asaad dari kampung Jaljalia di utara Ramallah, menghembuskan nafas terakhir setelah diserang dan dipukul berkali-kali oleh tentera rejim zionis ketika menahan beliau. “ Kami telah mengesahkan tentang kematian warga Amerika Omar Assad di bandar berhampiran Ramallah. Kami telah berhubung dengan keluarga En Assad untuk menyampaikan takziah kami ke atas tragedi ini. Seperti yang dijangkakan, kami telah memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada keluarga arwah pada masa ini “ menurut jurucakap Kementerian Luar Ned Price.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Rabu, 19-01-2022 – Ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Banduan dan Bekas Banduan, Mejar Jeneral Qadri Abu Bakr, pada hari Khamis berkata, penguasa penjara Israel bertanggungjawab ke atas nyawa banduan wanita Palestin selepas lima daripada mereka disahkan positif Covid-19.
Abu Baker menyatakan bahawa penyebaran coronavirus di penjara Israel itu disebabkan oleh sikap tidak endah oleh pihak berkuasa Israel.
Beliau seterusnya menggesa penubuhan jawatankuasa perubatan Palestin dan antarabangsa untuk membuat susulan terhadap kesihatan banduan terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan yang kronik.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 19-01-2022 – Rejim Zionis telah melancarkan kempen serbuan dan pencarian baharu di seluruh Tebing Barat. Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin telah ditahan semasa kempen tersebut yang telah dilancarkan pada waktu subuh hari Rabu.
Menurut Pejabat Media Asra, tentera Israel menahan tiga rakyat Palestin di Jenin, dua lagi di Baitulmaqdis, dua di Nablus, empat di al-Khalil, dan tiga orang bersaudara di Ramallah.
Beberapa rumah turut diserbu dan digeledah semasa penahanan itu, tambah sumber tersebut.
Wartawan PIC turut menegaskan bahawa seorang remaja bawah umur yang cedera turut ditahan di al-Khalil.
Sementara itu, seorang wartawan Palestin ditembak dan cedera terkena peluru logam bersalut getah semasa membuat liputan serbuan rejim Zionis di bandar Beituniya, barat Ramallah.
Seorang lagi pemuda Palestin ditembak di kaki ketika pertempuran berlaku di kampung Bir al-Basha, selatan Jenin.Enam lagi penduduk tempatan ditahan semasa pertempuran itu.
Rejim Zionis sering melakukan serbuan penahanan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, dan menahan warga Palestin yang didakwa dikehendaki.
Sepanjang tahun lalu, tentera Israel telah melakukan 4,084 kempen serbuan di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis dan menahan 5,286 rakyat Palestin dari beberapa bahagian berlainan wilayah Palestin yang diduduki.
Israel buat masa ini menahan 4,650 rakyat Palestin, termasuk 34 wanita, 160 kanak-kanak, dan 500 tahanan pentadbiran di penjaranya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Rabu, 19-01-2022 – Kumpulan penceroboh Yahudi pada pagi hari Khamis menyerbu masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki di bawah perlindungan ketat pihak polis Israel.
Semasa kunjungan mereka ke tapak suci itu, kumpulan penceroboh berkenaan secara provokasi melaksanakan ritual ajaran Talmud.
Ini berikutan tindakan oleh aktivis Palestin yang menyeru supaya warga Palestin memperhebatkan kehadiran mereka di masjid al-Aqsa pada hari Jumaat dalam melawan cubaan pengyahudian Israel.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 19-01-2022 – Rejim Zionis melancarkan serbuan dan carian berskala besar di kawasan berbeza di Tebing Barat awal pagi Khamis.
Dalam serbuan di kem Askar, timur Nablus, dua pemuda ditahan selepas berlaku pertempuran. Manakala seorang lagi di Tubas cedera di bahagian lengan selepas terkena tembakan, ekoran bantahan terhadap serbuan tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Jumaat, 14-01-2022 – Sekumpulan pendatang Yahudi menyerbu tanah milik warga Palestin pada Isnin, dan meratakannya untuk meluaskan penempatan berdekatan.
Qasem Awwad, seorang pegawai Suruhanjaya Penentangan dan Tembok Pemisah, mengesahkan yang para pendatang meratakan seluas 50 dunum tanah yang terletak di selatan kota Nablus untuk meluaskan penempatan Yitzhar yang berdekatan.
Para pendatang baru-baru ini telah mendirikan unit-unit di kawasan yang diratakan itu bagi membuka jalan untuk merampas lebih banyak tanah yang dimiliki warga Palestin dari bandar Huwara, Burin, dan Asira al-Qibliya di Wilayah Nablus Province, Awwad menyatakan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 14-01-2022 – Rejim Zionis merobohkan tanah pertanian dan tembok penahan serta telaga air di bandar Battir, barat Bethlehem pada hari Selasa.
Menurut sumber setempat, jentolak yang dikawal oleh tentera menyerbu kawasan al-Qusair di bandar itu dan mula memusnahkan kira-kira empat dunum tanah pertanian milik penduduk tempatan. Jentolak juga telah memusnahkan tembok penahan dan telaga air di kawasan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 14-01-2022 – Polis rejim Israel pada hari Selasa telah menahan 16 orang awam Palestin, termasuk tiga wanita, dari perkampungan al-Attrash di gurun Negev.
Menurut sumber tempatan, polis Israel telah melancarkan kempen penahanan berskala besar di kawasan timur Negev, terutamanya di perkampungan al-Attrash.
Polis rejim juga menggunakan peluru getah dan bom pegun terhadap penduduk tempatan selepas mereka membantah tindakan meratakan tanah mereka sebagai permulaan untuk mengubahnya menjadi belukar.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 12-01-2022 – Kelab Banduan Palestin (PPS) mengesahkan tahap kanser tahanan Nasser Abu Hamid semakin merosot, pada Ahad. Dalam kenyataan Facebook, tahanan di Penjara Ashkelon diberitahu keadaan Abu Hamid sangat kritikal sebelum dihantar ke Hospital Barzilai.
PPS menambah, berita ini adalah bukti tahap kesihatan Abu Hamid semakin memburuk.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Rabu, 12-01-2022 – Sekumpulan pendatang pelampau Yahudi pada Isnin menyerang kenderaan warga Palestin di utara kota Bireh di Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, beberapa kereta warga Palestin mengalami kerosakan apabila para pendatang membaling batu kepada mereka di jalan dekat penempatan haram Beit El.
Sumber mengesahkan yang tentera rejim memberi perlindungan kepada para pendatang ketika serangan tersebut yang menyebabkan kesesakan trafik dari kedua-dua arah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati