Selasa, 01-06-2021 – Qatar menjanjikan $500,000 untuk projek pembinaan semula di Semenanjung Gaza yang dilanda perang, menurut Jawatankuasa Pembinaan Semula Gaza Qatar. Di laman web rasminya, Jawatankuasa Qatar menyatakan bahawa Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah mengeluarkan arahan untuk memperuntukkan setengah billion dollar sebagai sokongan untuk pembinaan semula Gaza.
Jawatankuasa itu menjelaskan dana tersebut akan digunakan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza menghadapi cabaran hidup baru yang disebabkan oleh serangan terakhir Israel dan untuk menyumbang membina semula dan memulihkan kemudahan serta infrastruktur perkhidmatan yang terjejas dan rumah-rumah kediaman yang mengalami kemusnahan atau kerosakan.
Selasa, 01-06-2021 – Mogok lapar terbuka tahanan Palestin Al-Ghadhanfar Abu Atwan telah memasuki hari ke-22. Mogok tersebut adalah sebagai bantahan ke atas penahanan pentadbirannya yang dijalankan tanpa dakwaan atau perbicaraan.
Menurut Persatuan Tawanan Palestin (PPS) pada hari Rabu, perkhidmatan penjara Israel baru-baru ini memindahkan tahanan Abu Atwan, 28, ke sebuah sel pengasingan di penjara Ohalei Kedar (Beersheba) untuk memaksanya untuk mengakhiri mogok laparnya.
Abu Atwan telah ditahan secara pentadbiran sejak Oktober 2020. Dia juga pernah ditahan secara pentadbiran beberapa kali sebelumnya.
Atas perintah pemerintah mereka, pentadbiran keamanan dan perisikan Israel telah mempertingkatkan penahanan warga Palestin secara pentadbiran pada bulan Mei.
Menurut PPS, 155 perintah, sama ada untuk menahan rakyat Palestin secara pentadbiran atau pun untuk melanjutkan perintah sebelumnya, telah dikeluarkan antara 1 dan 20 Mei pada bulan yang sama, yang telah menyebabkan peningkatan jumlah tahanan pentadbiran kepada sekitar 500 orang rakyat Palestin.
Selasa, 01-06-2021 – Pengarah operasi UNRWA Matthias Schmale telah memohon maaf di atas komen yang dibuatnya di TV Israel di mana dia berkata bahawa serangan ketenteraan Israel ke atas Semenanjung Gaza dilihat sebagai ‘tepat’.
Dalam satu komen di Twitter, Schmale menyatakan bahawa tentera Israel tidak terikat dengan undang-undang antarabangsa semasa perang terakhirnya ke atas Gaza dan membunuh berpuluh orang awam, lantas menyeru siasatan dan kebertanggungjawapan antarabangsa.
“Membunuh lebih 200 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak adalah tindakan yang tidak mengikut undang-undang peperangan. Satu siasatan dan kebertanggungjawapan bebas ke atas tindakan tersebut hendaklah diwujudkan”, katanya di Twitter.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : amrul azmi mizan
Selasa, 01-06-2021 – Polis Israel dan Perkhidmatan Keselamatan Umum (Shin Bet) menangkap seramai 165 pemuda dan wanita Palestine pada tahun 1948 dalam dalam masa dua hari kerana mereka menyertai tunjuk perasaan menentang pencerobohan di Jerusalem dan Semenanjung Gaza serta terhadap serangan penceroboh ke atas rakyat Palestin.
Hampir 48 laman web Arab melaporkan bahawa jumlah tahanan di Al-Taybeh, Al-Tira, Umm Al-Fahm dan Qalansawa pada hari Ahad dan Isnin telah mencapai 13 orang. Lapan daripadanya telah dibebaskan. Saksi turut melaporkan bahawa sejumlah pemuda di Haifa dan kota Kafr Qara turut ditangkap.
Pada Selasa, polis Israel menahan tiga lagi warga dari kampung Aylout kerana disyaki cuba menyerang seorang anggota polis semasa kejadian baru-baru ini.
Khamis,27-05-2021 – Satu unit khas tentera Zionis pada waktu subuh Selasa membunuh seorang pemuda Palestin di Bandar al-Bireh berhampiran Ramallah di Tebing Barat yang dijajah.
Menurut sumber tempatan, tentera berpakaian biasa menyusup masuk kejiranan Umm ash-Sharayet di Kota al-Bireh dan melepaskan tembakan ke arah pemuda itu, membunuhnya segera.
Saksi mata mengenal pasti pemuda itu sebagai Ahmed Jamil al-Fahed dari Kem Pelarian al-Am’ari, dan mengatakan bahawa dia berdarah hingga mati di jalan kejiranan setelah sebuah unit penyamar menembaknya di jarak dekat.
Jenazah syuhada dibawa ke Hospital Palestin di Ramallah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ameen
Khamis,27-05-2021 – Seorang kanak-kanak Palestin cedera terkena peluru selepas pendatang haram Yahudi melepaskan tembakan ke arah mangsa. Kejadian pada petang Isnin itu berlaku di perkampungan Janiya, barat Ramallah
Menurut saksi yang melihat kejadian, seorang pendatang Yahudi dari petempatan haram Dolev, berdekatan kampung itu menembak sebutir peluru ke arah mangsa yang dikenali sebagai Nadeem Madlum, 15 tahun dan mengakibatkan mangsa cedera di tangan.
Pendatang Yahudi itu mengancam akan membunuh kanak-kanak tersebut sebelum melepaskan tembakan, demikian kata saksi.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Khamis,27-05-2021 – Tentera Israel berpakaian preman pada petang Isnin lalu telah menculik seorang warga Palestin dan anaknya dari tempat kerja mereka di kampung Barta’ah berhampiran pagar pemisah di barat daya Jenin.
Menurut saksi, tentera yang menyamar telah menculik Khaled al-Saadi dan anaknya Nimr ketika mereka sedang bekerja di pasar sayur di Barta’ah.
Anggota unit penyamar seperti itu sering menyamar sebagai orang Arab atau Palestin untuk melakukan operasi pembunuhan atau penculikan.
Mereka dikenali oleh orang tempatan sebagai Musta’ribeen dalam bahasa Arab, atau Mista’arvim dalam bahasa Ibrani, yang bermaksud orang atau tentera yang berpura-pura menjadi orang Arab dan pakar dalam bahasa dan budaya Arab. Dalam istilah keselamatan Israel, perkataan berkenaan merujuk kepada pasukan keselamatan atau perisik yang menyamar sebagai orang Arab dan menjalankan misi di tengah-tengah kawasan Palestin atau negara-negara Arab yang lain.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Khamis,27-05-2021 – Seorang komander kanan Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, menegaskan bahawa perjuangan Palestin dapat mengukuhkan “penyamaan terhadap tembakan untuk tembakan, kemusnahan untuk kemusnahan dan darah untuk darah”.
Ketika berucap pada upacara peringatan untuk para syuhada yang diadakan oleh Hamas di Gaza pada hari Isnin, komander al-Qassam mengatakan bahawa perjuangan Palestin dan kekuatan roketnya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk mempertahankan Jerusalem dan Masjid al-Aqsa jika ada keputusan baharu yang dikeluarkan mengenainya.
“Kami menjawab permintaan Jerusalem dan menunjukkan beberapa yang kami miliki, tetapi apa yang tersembunyi pasti jauh lebih besar,” tambah komander itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Khamis,27-05-2021 – Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin telah mendakwa bahawa perkhidmatan penjara Israel mengabaikan keadaan kesihatan tahanan Palestin di penjara, terutamanya di klinik penjara Ramla.
“Perkhidmatan penjara dengan sengaja mengabaikan keadaan kesihatan dan enggan memberikan mereka ubat dan rawatan yang mereka perlukan. Mereka cuma diberi ubat penahan sakit dan penenang,” demikian menurut kenyataan akhbarnya.
Menurut Suruhanjaya itu, para tahanan Palestin yang berada di klinik Ramla adalah Khaled al-Shawish, Mansour Muqida, Mutasem Radad, Nahid al-Aqra, Saleh Saleh, Nidhal Abu Ahour, Nadem Abu Saleem, Nour Bitawi, Emad Sawarka, Mahmoud Abu Eisha, Mohamed Mar’iee, Amer al-Khatib, dan Abdul-Rahman Barqan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis,27-05-2021 – Berpuluh penceroboh pada hari Selasa menyerang rumah penduduk di Wadi al-Husayn dan al-Rayyah di al-Khalil dan mencabut 35 batang pokok zaitun dan tanaman musim panas.
Sumber tempatan melaporkan bahawa sekumpulan penceroboh Yahudi menyerang rumah keluarga Esaifan di kawasan Wadi al-Husayn dan rumah keluarga Muhammad Abu al-Halawa di perkampungan al-Rayyah berdekatan perkampungan Hajai di selatan.
Sumber tersebut mengatakan bahawa penceroboh mencabut 35 batang pokok zaitun dan tanaman musim panas di kawasan sama. Pencabulan ini dilakukan di bawah pengawasan polis rejim Zionis, katanya menambah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Khamis,27-05-2021 – Mahkamah Israel di Haifa melanjutkan tempoh penahanan Sheikh Kamal al-Khatib untuk kali ke-3 berurut-turut pada Isnin. Turut ditahan wakil ketua cabang utara Gerakan Islam di Israel, atas tuduhan menghasut dan berafiliasi dengan kumpulan yang dilarang.
Keputusan mahkamah dikeluarkan sebagai maklum balas atas permintaan pendakwa Israel untuk memanjangkan tempoh penahanan Sheikh Khatib selama lima hari.
Sheikh Khatib diculik dari rumahnya di bandar Arab utara Kafr Kana pada 14 Mei ketika puak pelampau Yahudi mengamuk dan menyerang penduduk Palestin dan harta benda mereka melalui bandar-bandar Arab.
Puluhan rakyat Palestin menunjuk perasaan di luar pintu masuk mahkamah majistret Haifa untuk memprotes penahanan yang dilakukan sewenang-wenangnya, yang mereka sifatkan sebagai bermotifkan politik.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Shuhada Sayuti
Rabu,26-05-2021 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi menyerbu masuk perkarangan Masjid Al-Aqsa dibawah perlindungan polis Rejim Zionis Israel. Salah seorang pengawal Masjid mengesahkan segerombolan peneroka haram memecah masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa melalui pintu Magharabi. Pengawal memberitahu pihak media Arabi21 yang peneroka haram menyerbu masuk pada hari Ahad dan Isnin di bawah perlindungan polis rejim zionis yang ramai dimana ianya berbeza dari pencerobohan sebelumnya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Rabu,26-05-2021 – Tentera rejim Israel bertindak ganas mencederakan seorang kanak-kanak perempuan Palestin di perkampungan Tebing Barat dan menahan enam penduduk al-Khalil dan Tubas pada petang Ahad, kelmarin.
Menurut saksi, sejumlah besar anggota tentera rejim menyerbu perkampungan Tuwani yang terletak di selatan al-Khalil, memeriksa dalam rumah dan mengasari sebilangan ahli keluarga mangsa.
Salah seorang dari ahli keluarga itu, Dima Rub’iee yang berusia lima tahun mendapat lebam di muka dan mata apabila anggota tentera rejim bertindak kasar ke atas diri dan ahli keluarganya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Zainudin
Rabu,26-05-2021 – Sambil memegang bendera dan poster Palestin dalam hujan, puluhan ribu berarak di jalanan London untuk membantah serangan Israel ke atas Gaza dan Palestin.
Berkumpul di tambak London, para peserta protes berarak melewati bangunan parlimen and Jalan Oxford sambil melaungkan “Free Palestine” dan menuntut agar penjajahan Israel ke atas Palestin ditamatkan.
Sebahagian pembantah membuat nyalaan menunjukkan warna bendera Palestin ketika berkumpul di Trafalgar Square, seraya melaungkan “Palestine will be free”.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu,26-05-2021 – Rejim Zionis telah melancarkan kempen penangkapan di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan lain-lain kawasan di sekitar “Tanah 1948” pada hari Ahad malam dan subuh Isnin lalu. Di Baitulmaqdis Yang Diduduki, polis Israel melancarkan kempen penangkapan di pelbagai tempat berbeza di kota suci berkenaan dan telah menahan 18 orang awam.
Pegawai perisik rejim Zionis telah menyerbu rumah Malik Asila di Kota Lama Baitulmaqdis, merosakkan isi kandungan rumah dan menyerahkan saman kepadanya.
Di Nablus, rejim Zionis menyerbu desa Til dalam usaha kali ketiga untuk menangkap calon senarai “Baitulmaqdis Menyatukan Kita”, Imad Rayhan. Sementara itu, Moaz Rayhan ditahan dan kemudiannya dibebaskan setelah disiasat di lapangan serta ditahan untuk beberapa jam.
Di Qalqilya, rejim Zionis telah menahan Mustafa Mansour setelah menceroboh masuk kota Azzun, sebelah timur Qalqilya, dan menggeledah rumahnya. Di Ramallah, tentera rejim Zionis menahan Musab Al-Barghouti dari bandar Kober dan Ahmed Raafat dari Dura Al-Qara setelah menyerbu dan menggeladah rumah keluarga mereka.
Rejim Zionis juga menyerbu kota Al-Mazra’a Al-Sharqiya dan Bil’in. Di al-Khalil, rejim Zionis menahan Saeed Asafra dari bandar Beit Kahil, di sebelah barat al-Khalil.
Di Bethlehem, rejim Zionis menyerbu bandar Beit Fajar dan menahan Khattab Thawabata, 24, yang baru sahaja menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu, Saoud Thawabata, 30, dan bekas tahanan yang cedera, Mahmoud Blue, 25, setelah menyerbu dan menggeladah rumah keluarga mereka.
Tentera rejim Zionis menahan pemuda bernama Muhammad Abu al-Tin setelah mereka menyerbu dan menggeledah kediamannya di kampung Al-Walaja, sebelah barat Betlehem.
Polis Israel sebelumnya mengumumkan niat mereka untuk menjalankan kempen penangkapan besar-besaran yang mensasarkan 500 orang Palestin dari wilayah dijajah 1948 yang telah turut serta dalam perarakan tunjuk perasaan.
Aktivis Palestin meminta orang ramai dari Tanah 1948, Tebing Barat dan Baitulmaqdis untuk mengisytiharkan keadaan darurat untuk menggagalkan rancangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul