Sharon oh! Sharon

Oleh : Maszlee Malik

Jika Amerika Syarikat (AS) berjaya menonjolkan Saddam Hussein sebagai penjenayah nombor satu di Timur Tengah, itu merupakan satu usaha yang amat baik. Bagaimana tidak?, sememamngnya Saddam merupakan seorang penjenayah yang kejam. Malangnya, penjenayah ini juga merupakan tali barut AS pada suatu waktu dahulu.

Malangnya di dalam menghukum para penjenayah perang dan juga para pengganas, AS sengaja tidak melihat kepada seorang penjenayah yang tiada tolok bandingnya di dalam sejarah manusia bertamadun pada abad ke-20 dan awal abad ke-21. Samada di Timur Tengah, di Asia, mahupun di seluruh dunia dan maya pada ini, penjenayah ini tiada tolok bandingnya.

“Pesta” Sabra Shatila , antara produk beliau


Malangnya penjenayah ini telah diberikan jolokan sebagai “Man of Peace” oleh Presiden AS. Lebih malang lagi, ada di antara umat Islam yang naïf dan cetek pemikirannya telah mengiktiraf jasa penjenayah ini, yang mana apa yang dilakukannya bukanlah satu jasa, jauh sekali untuk maslahat rakyat Palestin seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang buta sejarah. Penjenayah yang amat hebat ini ialah Ariel Sharon. Seharusnya, pengadilan seumpama pengadilan ke atas Sharon juga wajib dikenakan ke atas Sharon. Perdana Menteri rejim Zionis yang kini sedang berada di dalam keadaan tenat di hospital Hadasah di Baitul Maqdis itu selayaknya menerima hukuman yang jauh lebih berat daripada Saddam. Malangnya, pelbagai jenayah perang yang telah dilakukan oleh beliau terhadap rakyat Palestin semenjak tahun 1953 lagi tidak pernah dipedulikan oleh dunia, apatah lagi oleh AS.

Ariel “Arik” Sharon dilahirkan di Kufr Malal, salah sebuah daerah di Palestin pada 27 Februari 1928 sewaktu zaman penjajahan British ke atas bumi tersebut. Dilahirkan dari keluarga Yahudi yang berhijrah ke Palestin di atas ketetapan deklarasi Belfour, Sharon merupakan seorang yang membenci Arab semenjak kecil kerana tanah yang diduduki oleh keluarganya merupakan tanah yang telah mereka rampas dari warga Arab. Pada tahun 1942 beliau telah menyertai kumpulan pengganas bersenjata Yahudi, Haganah.


Sharon sentiasa dikelilingi penasihat2 yang ingin menjahanamkan rakyat Palestin


Di waktu itu, umurnya baru sahaja mencecah 14 tahun, tetapi beliau telah pun dilatih dengan kemahiran bersenjata dan membunuh. Haganah bukanlah nama yang asing di dalam sejarah hitam penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin. Kebanyakan aksi keganasan, penyembelihan rakyat Palestin, pengeboman dan juga perampasan tanah rakyat Palestin adalah hasil usaha jahat kumpulan tersebut. Disebabkan keganasan dan juga kejahatan mereka, pada tahun 1948 ketika entiti haram Israel ditubuhkan, kumpulan Haganah telah ditukarkan menjadi tentera Zionis yang dinamakan sebagai “Israeli Defence Force” (IDF).

Sharon dan IDF

Pada tahun 1948, pada ketika usia Sharon baru mencecah 20 tahun, beliau telah diamanahkan untuk memimpin kumpulan infantri “Briged Alexandroni” untuk membunuh rakyat Palestin demi menubuhkan entiti haram “Israel”. Keganasan beliau dan juga sikapnya yang taksub dengan ideologi Zionisme serta kebencian yang amat mendalam terhadap bangsa Arab telah memberikan Sharon kredit yang banyak di dalam IDF. Pada tahun 1953, pada usianya 25 tahun, Sharon telah dilantik menjadi pemimpin Unit 101 yang bertanggung jawab untuk mengusir kebanyakan rakyat Palestin dari bandar-bandar dan perkampungan-perkampungan mereka untuk diduduki oleh warga Yahudi Zionis. Pada era tersebut, Unit 101 merupakan Unit yang paling ganas dan tidak berperi kemanusiaan di dalam sejarah manusia moden.

Operasi pertama Sharon sebagai pemimpin Unit 101 pada waktu itu ialah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, termasuk wanita dan anak-anak di kem pelarian Breij di Gaza. Dianggarkan lebih 50 orang awam di kem tersebut telah dibunuh oleh Unit tersebut pada bulan Ogos 1953.

Pegawai PBB yang ditugaskan ke kem tersebut ketika menceritakan serangan tersebut mengatakan:

“Sharon dan juga unit 101 telah melemparkan bom-bom tangan ke dalam sebuah balai yang dijadikan tempat perlindungan oleh semua penduduk kampung”.

Bulldozer memberi arahan

Pada 14 Oktober tahun yang sama juga beliau telah melakukan keganasan yang jauh lebih dahsyat. Unit 101 di bawah pimpinannya telah menyerang perkampungan Qabya, di Tebing Barat. Menurut akhbar Toronto Star pada 13 Januari 2006, Kanada, unit tersebut telah membunuh lebih 75 orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita. Menurut Ibrahim Mohammad Hamad, 63 yang telah terselamat daripada serangan tersebut, “Sharon bergembira pada hari tersebut melihat rakyat Palestin dibunuh di depan matanya!”. Beliau yang telah ditemui oleh Toronto Star mengatakan, kenangan pahit rumah dan kampungnya dibakar oleh Sharon dan unit 101 masih segar di dalam ingatannya. Gelaran “Man of Peace” yang diberikan oleh AS kepada Sharon benar-benar memualkannya.

Akhbar al-Watan, Qatar pula memetik kata-kata ahli sejarah Israel, Evi Shelaem:

“Sharon telah memberikan arahan supaya kampung Qabya dibakar, semua rumah-rumah diletupkan ketika penduduknya masih lagi berada di dalam rumah masing-masing. Jika ada sesiapa yang keluar, mereka akan ditembak. Selepas serangan tersebut, kampung tersebut bertukar menjadi debu-debu dan kayu-kayu yang rentung. Dianggarkan lebih 45 rumah telah dibakar, manakala 69 orang telah terbunuh di tempat kejadian, kebanyakannya wnaita dan kanak-kanak”.

Pegawai penyiasat PBB juga telah bahawa para penduduk dihalang daripada meninggalkan rumah tatkala rumah-rumah tersebut dibakar. Barangsiapa yang lari meninggalkan rumah akan ditembak. Menariknya, pada 19 Oktober 1953, Kementerian Luar AS telah mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa serangan keganasan unit 101 di Qabya, dan berjanji akan membawa pihak yang bertanggung jawab ke muka pengadilan tanpa bertangguh. (Lihat: Majalah Foreign Affairs, bilangan 26, Oktober, tahun 1953, halaman. 552). Sayangnya, sehingga kini tiada apa tindakan yang diambil ke atas Sharon, malah AS melalui Presiden Bush tanpa segan silu menggelarnya sebagai “Man of Peace”.

Keganasan yang berterusan

Pada tahun 1956, Zionis bersama Britain dan juga Peranchis telah melakukan serangan ke atas Mesir. Pada waktu itu, Sharon telah ditugaskan untuk mengetuai Briged paying terjun 890 bersama dengan Rafael Eytan. Briged ini telah bertanggung jawab membunuh 270 tahanan rakyat Mesir dan juga rakyat Sudan yang kebanyakannya terdiri daripada buruh kasar dan orang awam di wilayah Sinai. Mayat mereka telah ditanam di padang pasir agar tidak ditemukan oleh pihak berkuasa Mesir. Laporan lengkap mengenai penyembelihan terhadap orang awam itu telah dibongkarkan selepas 40 tahun ianya berlaku oleh akhbar Daily Telegraph pada 16 Ogos 1995 . Kenyataan tersebut kemudiannya disokong oleh pengiktirafan yang telah dibuat oleh Jeneral bersara Israel, Arye Biro. Jeneral tersebut juga mengaku dia bertanggung jawab melepaskan tembakan ke arah buruh-buruh Sudan di atas arahan Sharon.


oh! Sharon, manakah pergi peri kemanusianmu ?

Ia hampir-hampir sahaja meretakkan hubungan dua hala Israel-Mesir. Tidak lama selepas perkara tersebut didedahkan, Sharon memulakan kempen barunya mengalu-alukan pembunuhan Yitzhak Rabin dengan tuduhan bahawa Rabin sepatutnya menjadi mengsa kerana kebiadabannya menandatangani perjanjian Oslo 1993.

Menurut Sharon, Oslo merupakan pengkhianatan terhadap perjuangan Zionis dan bangsa Yahudi. Pada Ogos 2001, Hafez Abu Se’da, Setiausaha Agong Egyptian Organisation for Human Rights (EOHR) atau Pertubuhan Hak Asasi Manusia Mesir telah memfailkan saman terhadap Sharon dan lapan pegawai tentera Zionis yang berlainan bersabit pembunuhan tersebut. Kelapan-lapan mereka didakwa di atas tudhan pembunuhan tahanan perang (POW) dan juga orang awam.

Di antara Februari 28, 1955 sehingga Oktober 1956, Sharon telah mengirimkan tentera payung terjun di bawah arahannya ke Gaza, Mesir dan juga ke kawasan Qalqilya di Tebing Barat untuk operasi menawan kawasan-kawasan berkenaan. Dianggarkan lebih 83 orang awam telah menjadi mangsa keganasan tentera-tentera tersebut. Prestasi baik Sharon di dalam melakukan keganasan mendapat pengiktirafan kerajaan Zionis Israel. Buktinya, pada tahun 1964, beliau telah dilantik menjadi pemimpin IDF di kawasan utara, mankala pada tahun 1966 pula beliau telah dilantik menjadi ketua turus bahagian latihan tentera Zionis. Pada tahun 1969 pula, beliau telah dilantik menjadi komander IDF di bahagian selatan untuk melatih para tentera Zionis menghadapi golongan Fidaiiyin Palestin.

Semasa perang 1967 , sejarah telah menjadi saksi banyak lagi siri keganasan yang telah dilakukan oleh tentera Zionis di bawah pimpinan Sharon. Antaranya ialah pembunuhan tahanan perang Mesir di Sinai yang dianggarkan seramai 500 orang. Beliau juga telah ditugaskan untuk “membersihkan” Gaza daripada tentera-tentera Arab dan juga para pejuang Palestin. Antara aktiviti keganasan yang dilakukannya adalah termasuk merobohkan rumah-rumah warga Palestin, membunuh, menangkap serta menyiksa rakyat Palestin dan juga mengepung kampung-kampung dan bandar-bandar di kawasan berkenaan. Akhbar “Independant” Britain pernah mengeluarkan artikel yang menampilkan fakta bagaimana pada tahun 1971 sahaja, tentera di bawah pimpinan Sharon di selatan Palestin telah merobohkan 2000 rumah rakyat Palestin di Gaza dan telah menghalau 16,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka ke Lubnan dan Jordan.

Karier politik Sharon

Pada bulan Jun tahun 1972, di atas permintaan pemimpin tertinggi pertubuhan Zionis yang berpusat di Amerika, Meshulam Riklis, Sharon telah meletakkan jawatannya di IDF untuk bertanding di dalam pilihanraya. Tujuannya adalah untuk beliau mewakili golongan radikal kanan Zionis di dalam knesset rejim Zionis. Beliau kemudiannnya telah bekerjasama dengan rakan radikal kanan Zionis, Meyer Lansky untuk menjadi suara pengganas Zionis antarabangsa yang menguasai para mafia Yahudi di serata dunia, termasuk di AS, Rusia dan juga Palestin (Israel). Bagaimanapun pada tahun 1973, beliau telah dipanngil semula menyertai IDF untuk mengetuai para tentera Zionis di dalam peperangan Yom Kippur.

Pada bulan Disember tahun 1973 juga, beliau memasuki Knesset rejim Zionis. Antara jasa beliau yang awal ialah kempen yang dijalankannya untuk membenarkan warga Zionis memiliki tanah di Tebing Barat. Sejurus sahaja cadangan tersebut diluluskan, IDF telah mengambil tanah-tanah kawasan berkenaan untuk dijadikan hartanah milik para pegawai IDF yang bersara. Antara yang memiliki tanah di sana ialah ketua polis Zionis pada waktu tersebut, (yang juga merupakan rakan baik Sharon di knesset) Yezhekel Sahar, Jen. Reshavam Ze’evi, Eli Landau, pegawai propaganda Sharon dan Avraham Mintz, pengasas penempatan kumpulan pengganas Gush Emonim. Pada tahun 1974 pula, Sharon telah mengetuai para tentera IDF dan kumpulan radikal Zionis merampas tanah rakyat Palestin untuk didirikan penempatan “haram” mereka di Nablus. Tindakan tersebut adalah sebahagian daripada usaha Sharon untuk men”yahudi”kan Nablus.

Sharon, perampasan tanah dan Gush Emonim

Pada tahun 1975, Sharon telah dilantik untuk menjadi penasihat keselamatan peribadi Rabin yang pada waktu itu menjawat jawatan Perdana Menteri Zionis. Ketika Parti Likud memenangi pilihanraya pada tahun 1977, Sharon telah dilantik menjadi Menteri Pertanian. Pada waktu inilah Sharon telah melancarkan polisi besar-besaran memperluaskan kawasan pertanian Yahudi dengan mengambil tanah rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Di antara tempoh 1977 sehingga 1981, lebih 25,000 penempatan baru Gush Emonim telah diwujudkan oleh Sharon dia atas dasar polisi pertanian barunya. Kebanyakan projek-projek daripada polisi tersebut melibatkan pengambilan tanah rakyat Palestin. Demi mempertahankan diri mereka yang telah merampas tanah rakyat Palestin, kumpulan Gush Emonim telah diubahkan menjadi skuad tentera ala-unit 101 pimpinan Sharon yang terdahulu. Usaha Sharon ini telah menjadi rahmat kepada pendatang Yahudi Zionis dari Russia dan juga dari Eropah Barat.

Hibungan beliau dengan Netanyahu kini dikatakan retak


Pada tahun 1979, Mahkamah Tinggi Zionis telah memutuskan bahawa pendudukan Gush Emonim dan juga lain-lain penduduk warga Yahudi ke atas tanah rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza adalah sah di sisi undang-undang. Pada waktu inilah, Sharon dan juga mafia-mafianya membuat keuntungan berlipat ganda dengan menubuhkan syarikat-syarikat hartanah dan bertindak sebagai broker untuk menjual tanah di Tebing Barat dan Gaza (yang telah mereka rampas) untuk dijual kepada pendatang Yahudi dari luar negara.

Antara syarikat-syarikat hartanah milik Sharon (secara proksi) dan juga kroni-kroni beliau adalah syarikat Jumbo, Samarea, Judea dan Meteor. Syarikat-syarikat ini merupakan di antara syarikat gergasi di dalam “Israel”. Pada tahun 1980, bersama dengan Yuval Ne’eman, beliau telah menubuhkan NGO bernama “Prevention of Emergence of Another Arab Country in Erezt Israel (PEACE). NGO ini bertujuan melakukan lobi agar penduduk Arab tidak akan berpeluang untuk pulang semula ke bumi Palestin. NGO ini juga telah berjaya menyediakan rang undang-undang yang menghalang para penduduk Palestin daripada mendakwa hak milik mereka ke atas tanah yang telah dirampas oleh Sharon dan konco-konconya. NGO ini telah mendapat sokongan kewangan dan moral daripada kebanyakan Zionis terkemuka dari AS dan juga kumpulan-kumpulan radikal Zionis di dalam bumi Palestin.

Pada tahun 1980, Sharon telah berjaya melakukan kempen besar-besaran untuk menjemput para Zionis dari AS agar membeli tanah di kawasan-kawasan yang dijajahnya melalui syarikat-syarikat hartanah milik beliau dan kroni. Walau bagaimanapun, untuk tujuan tersebut beliau terpaksa mengeluarkan lebih banyak lagi rakyat Palestin dari bumi mereka. Keadaan tersebut akan memudahkan Sharon menduduki tanah-tanah Palestin dan kemudiannya dijualkan kepada para jutawan Zionis dari AS. Pada tahun 1982, beliau telah bermesyuarat dengan Riklis, Henry Kissinger, Louis Mortimer Bloomfield, Rafi Eytan, Jeneral Ze’evi, Arieh Genger, Herbert Brin dan Eli Landau untuk membincangkan hal berkenaan di salah sebuah tanah milik beliau (yang dirampas dari rakyat Palestin) di Negev. Hasilnya, mereka muncul dengan ide pengusiran beramai-ramai rakyat Palestin di Tebing Barat secara intensif. Beberapa hari selepas mesyuarat tersebut, Gush Emonim dan juga pengganas “Jewish Defence League” (JDL) telah memulakan operasi mereka menyerang, menyembelih dan juga mengusir rakyat palestin dari Tebing Barat.

Operasi “Peace” Sharon di Lubnan

Sharon meluaskan lagi usaha perluasan kuasa dengan menawan beberapa wilayah di Lubnan. Beliau menjadikan alasan pemburuan ke atas para pejuang PLO yang berpusat di kem-kem pelarian Palestin di Beirut untuk tujuan tersebut. Di antara 4 Jun sehingga 31 Ogos 1982, IDF di bawah pimpinan Sharon (yang telah mendapat gelaran Menteri Pertahanan terbaik daripada Perdana Menteri Begin untuk tahun 1982) telah berjaya membunuh lebih kurang 19,025 rakyat awam Palestin, dan mencederakan 30,032. Beliau menamakan operasi tersebut sebagai “Operation Peace in Galilee”. Jika kerana tidak dihalang oleh Reagen yang menjadi Presiden AS pada waktu itu, nescaya Yasser Arafat juga telah menjadi mangsa kekejaman Sharon. Pada 21 Ogos tahun yang sama juga, beliau telah memaksa lebih 15,600 pejuang PLO untuk meninggalkan Lubnan di dalam perjanjian gencatan senjata di antara IDF dengan PLO tajaan AS.

Walau bagaimanapun menepati janji bukanlah sesuatu yang wujud di dalam kamus hidup Sharon. Pada 15 September 1982, beliau telah melanggar gencatan senjata tersebut dengan melancarkan serangan ke atas kem pelarian Palestin di Sabra, Shatilla dan juga Burj al-Barajneh. Dengan kerjasama dari kumpulan militia Kristian Phalangist Lubnan, wanita, anak-anak kecil, warga tua dan orang awam menjadi mangsa kegilaan mereka. Pada 16 September, selama 60 jam tanpa henti IDF serta Phalangist telah membunuh lebih 3000 orang awam rakyat Palestin yang mendiami kem pelarian Sabra dan Shatilla (menurut laporan rasmi oleh Amon Kapeliouk, seorang wartawan Israel yang terkenal, namun pihak tentera Israel hanya melaporkan 700 hingga 800 nyawa sahaja.

Laporan rasmi Palang Merah antarabangsa pula menyebutkan bilangan 2,400 pada 22 September 1982). Pada 19 September 1982, PBB telah meluluskan resolusi resolusi 521 untuk mengutuk keganasan di Sabra dan Shatilla. Sehingga hari ini, Sharon masih lagi berhadapan dengan pengadilan sebagai jenayah perang di mahkamah Belgium di atas jenayah yang dilakukannya itu. Tindakan mahkamah tersebut adalah hasil daripada daripada inisiatif 23 mangsa Sabra dan Shatilla yang terselamat yang telah mengemukakan kes tersebut pada 18 Jun 2001.


Seluruh dunia bersatu membencimu

Sebulan selepas persitiwa berdarah Sabra dan Shatilla, iaitu pada 15 Oktober 1982, Sharon telah mengadakan mesyuarat dengan pemimpin pengganas, Camille Chamoun, Uri Dan, Rupert Murdoch, Charles Douglas-Home, dan lain-lain untuk kembali menumpukan usaha mereka di Tebing Barat. Pada 15 November 1982, mesyuarat yang terakhir di antara para pemodal Zionis antarabangsa untuk memutuskan persoalan penjualan tanah-tanah di Tebing Barat elah dijalankan. Mereka telah bersepakat untuk memperluaskan lagi penempatan Yahudi di sana. Mesyuarat kali ini telah disertai oleh ramai lagi ahli korporat dan juga penggubal-penggubal polisi antarabangsa seperti Kissinger, Lord Harlech, Johanns Von Thurn und Taxis, Julian Amery, Sir Edmund Peck dan juga wakil MI-6 Nicholas Elliot.

Sharon mengumpul kekayaan

Rejim Zionis terpaksa memecat Sharon daripada jawatannya di atas tekanan pihak antarabangsa pada 14 Februari 1983 setelah beliau menolak untuk melepaskan jawatan tersebut. Sharon kemudiannya diharamkan daripada memegang jawatan Menteri Pertahanan di masa-masa hadapan. Pemecatan beliau walau bagaimanapun tidak mematikan karier politiknya. Pada tahun 1984, selepas kejatuhan kerajaan Begin, kerajaan gabungan parti Likud dan parti Buruh telah mengambil alih kerajaan. Masyarakat dunia sekali lagi menyaksikan kemunculan Sharon di medan politik. Kali ini beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Industri dan Perdagangan yang dijawatnya sehingga tahun 1990. Selepas itu beliau telah dipilih ke jawatan Menteri Perumahan dan Pembangunan. Kementarian ini telah memberikan Sharon kuasa yang lebih untuk meluaskan penempatan kaum Zionis di seluruh Gaza dan Tebing Barat. Di dalam tempoh inilah, penempatan haram Yahudi meningkat kepada 110,000 unit rumah di kedua-dua wilayah tersebut.

Pada tahun 1986 pula, Edgar Bronfman, ketua Mafia Zionis di Russia dan juga Presiden “World Jewish Congress” ketika diwawancara oleh New York Post telah mengatakan bahawa beliau telah menginisiatifkan rundingan di antara kerajaan Zionis Israel dengan Moskow. Rundingan tersebut adalah untuk membawa lebih 400,000 Yahui dari Rusia untuk berhijrah ke Palestin. Sebagai pertukarannya, Rejim Zionis bersetuju untuk membekalkan gandum kepada Rusia. Perjanjian ini kemudiannya dikenali sebagai perjanjian “Jews for wheat”.

Perkara ini telah memberikan impak yang tinggi kepada usaha Sharon yang sedang giat membina penempatan haram Yahudi yang sememangnya memerlukan penduduk. Proses perluasan penempatan tersebut akhirnya mendapat pelaburan yang banyak daripada para Zionis dari AS dan British. Daripada setiap pelaburan yang masuk untuk projek berkenaan, Sharon akan mendapat peratusan daripadanya.

“Jasa” Sharon kepada rakyat Palestin

Kejahatan Sharon tidak berakhir sampai di sini sahaja. Pada 28 September 2000, Sharon yang telah dipilih menjadi Perdana Menteri rejim Zionis pada waktu itu telah melakukan satu tindakan yang amat melampau. Bersama dengan para anggota pengawal-pengawal peribadinya berserta para anggota keselamatan Zionis yang lengkap dengan kasut dan bersenjata, dia telah memasuki Masjid al-Aqsa dan mengotorkannya. Hasilnya, Intifadah al-Aqsa atau juga dikenali sebagai Intifadah 2000 telah meletus. Rakyat Palestin yang telah muak dengan tindakan dan kezaliman Zionis telah bangkit dengan slogan memerdekakan al-Aqsa. Kali ini rejim Zionis benar-benar berhadapan dengan kebangkitan yang sebenarnya. Kerugian nyawa di peringkat Zionis mula meningkat berbanding sebelum ini di dalam tempoh 50 tahun.

Pada 6 Februari 2001 Sharon telah memenangi jawatan Perdana Menteri Zionis sekali lagi selepas sebuah pilihanraya khas untuk memilih jawatan berkenaan. Beliau telah memenangi jawatan berkenaan berdasarkan janjinya kepada rakyat Zionis untuk menghapuskan Intifadah al-Aqsa di dalam tempoh seratus hari sahaja!. Hakikatnya, walaupun ribuan nyawa rakyat Palestin menjadi korban, beratus ekar tanaman dan ladang rakyat Palestin yang dibakarnya, serta ribuan buah rumah rakyat Palestin yang telah dirobohkannya, rakyat Palestin tetap kekal dan cekal di dalam perjuangan mereka. Hasilnya, selama lima tahun terletusnya Intifadah tersebut, Zionis terpaksa mengalah dengan mengundurkan tentera-tentera mereka serta penduduk di penempatan haram mereka dari bumi Gaza.

Israel selesa kerana adanya perlindungan US


Kerugian yang dialami oleh Zionis merupakan antara yang tertinggi sepanjang tertubuhnya negara haram Israel. Dianggarkan lebih 50,000 rakyat Zionis telah meninggalkan Palestin dan tidak pulang semula ke sana di dalam tempoh dua tahun terletusnya Intifadah tersebut. Hakikatnya, Sharon telah membawa kemusnahan yang banyak kepada rakyat Zionis sendiri.

Walaupun Sharon telah melakukan 1001 kezaliman sebelum ini, namun kezaliman yang dilakukan oleh beliau ke atas rakyat Palestin pasca Intifadah merupakan yang paling teruk. Penyembelihan dan perobohan rumah di Refah, Jenin, Tebing Barat, Jabaliya, dan lain-lain lagi adalah antara yang tidak dapat diduga akan berlaku di kurun ke-21 ini. Pembunuhan extrajudicial terhadap Syeikh Salah Syahadah, Ibrahim Maqadmeh, Ismail Abu Syannab, Syeikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz al-Rantissi dan lain-lain lagi pemimpin HAMAS, Jihad Islami dan juga fraksi-fraksi perjuangan Palestin yang lain merupakan tindakan kejam, bacul dan pengecut Sharon. Walau bagaimanapun itu semua ada rahmatnya. Sharon telah berjaya membuatkan rakyat Palestin bersatu untuk bangkit menentang penjajahan Zionis.

Jika pasca inisiatif damai Oslo 1993, rakyat Palestin telah berjaya dibahagikan kepada dua kem, yang menentang dan juga yang berdamai dengan Zionis. Kini semua fraksi di Palestin tidak lagi percayakan apa-apa inisiatif kedamaian dengan Zionis. Sokongan terhadap gerakan penentangan, terutamanya kepada HAMAS semakin meningkat. Lebih menarik lagi, gerakan Fatah yang telah lama meninggalkan senjata pun kembali menubuhkan briged komando mereka yang diinisiatifkan oleh sayap pemuda gerakan berkenaan. Serangan-serangan bersama yang dilakukan oleh fraksi-fraksi tersebut ke atas tentera-tentera Zionis dan kepentingan mereka merupakan antara tanda kesatuan yang telah berjaya dipelopori. Tanpa Sharon, kesemua ini tidak akan dapat mereka kecapi.

Mungkin ada yang tersilap sangka lantas memberikan sangkaan yang baik kepada Sharon di atas usaha pengunduran Zionis dari Gaza. Sayangnya mereka yang berfikiran seperti ini amat dangkal, dungu dan cetek pemikirannya. Pertamanya, pengunduran unilateral tersebut adalah usaha untuk mengelakkan kerugian yang lagi besar daripada ditanggung oleh rejim Zionis yang terpaksa menghadapi serangan roket-roket al-Qassam oleh para pejuang HAMAS dan juga roket-roket al-Quds oleh kumpulan Jihad Islami.

Yang keduanya, tindakan tersebut adalah demi menyelamatkan nyawa rakyat Zionis dan mempersiapkan diri Sharon untuk menghadapi pilihanraya pada bulan Mac 2006. Yang ketiganya, mengapa mereka tidak melihat kepada tembok pemisah yang mereka gelar sebagai “security fence” (Pagar keselamatan). Mengapa tidak dilihat juga kepada kedegilan Sharon untuk merobohkan tembok berkenaan walaupun setelah ICJ telah memutuskannya sebagai haram dan wajib dirobohkan. Mengapa tidak juga mereka melihat kepada 14 syarat yang diletakkan oleh Sharon kepada AS untuk menerima “Roadmap” tajaan AS. Bukankah kesemua 14 syarat yang diletakkan tersebut bersifat berat sebelah dan hanya menyebelahi pihak Zionis sahaja?


Jasad manusia terganas sedang bersemadi di atas katil sekarang bertarung nyawa. Ini adalah hospital Hadassah di Jerusalem

Balasan Tuhan!

Walau bagaimanapun kini Sharon sedang menghadapi saat-saat terakhir di dalam hayatnya. Menurut pendakwah Evengelist AS yang terkemuka, Pat Paterson, kini Sharon sedang menghadapi hukuman Tuhan kerana mengundurkan penduduk Yahudi dari Gaza, namun hakikatnya dia sedang bersedia untuk melalui satu fasa yang pasti di dalam kehidupan setiap manusia. Itulah dia saat kematian, namun kematian Sharon bukanlah satu kelegaan kepada jiwa rakyat Palestin, ribuan lagi, malah mungkin jutaan lagi manusia seperti Sharon berada di dalam senarai nama para Zionis. Kesimpulannya penderitaan rakyat Palestin tidak akan berakhir selagi bumi Palestin masih dijajah dan Masjid al-Aqsa sentiasa berhadapan dengan ancaman untuk dirobohkan!

** Ketika artikel ini ditulis, Sharon masoh lagi berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri di hospital Hadasah setelah mengalami pembedahan tracheatomy untuk membolehkan dia bernafas.