Rabu, 09-02-2022 – Sekumpulan pendatang Yahudi yang dikawal oleh polis rejim mencemarkan Masjid Aqsa pada pagi Ahad dan petangnya.
Menurut sumber tempatan, puluhan pendatang memasuki masjid dalam pelbagai kumpulan melalui pintu Maghariba Gate dan melawat datarannya pada waktu pagi.
Ketika lawatan mereka di kota suci itu, para pendatang mendengar ceramah oleh para rabbi tentang kuil yang didakwa dan sejumlah daripada mereka melakukan provokasi dengan mengerjakan ibadat Talmud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu, 09-02-2022 – Gerakan Hamas menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Maghribi dan kepimpinannya atas kehilangan tragis Rayan Oram yang berusia lima tahun, yang mayatnya telah dikeluarkan dari perigi pada hari Sabtu’.
Berita kematian Rayan, susulan operasi menyelamat selama lima hari, menimbulkan kesedihan yang mendalam di Maghribi dan mengundang takziah dari seluruh dunia. Kanak-kanak itu terjatuh ke dalam perigi di kampungnya di Ighrane pada petang Selasa, yang telah mencetuskan usaha menyelamat besar-besaran.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa, 08-02-2022 – Ahmed Bahar, timbalan dipertua Majlis Perundangan Palestin (PLC), telah meminta Kesatuan Afrika untuk membuat keputusan muktamad terhadap cadangan yang menggesa untuk menerima keahlian negara penceroboh Israel sebagai pemerhati.
“Rakyat Palestin, negara-negara Arab dan Islam dan rakyat bebas di dunia sedang menunggu keputusan [Afrika] yang mengusir penceroboh [dari Kesatuan] dan memutuskan semua hubungan dengannya,” kata Bahar dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.
Beliau menekankan keperluan untuk menolak “permintaan negara penceroboh untuk menjadi ahli pemerhati dalam Kesatuan, selaras dengan prinsip nilai dan kehendak negara Afrika dan rakyatnya yang melihat penceroboh itu sebagai entiti pengganas dan perkauman.”
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 07-02-2022 – Sekumpulan peneroka ekstrim Yahudi memusnahkan puluhan pokok zaitun dan menyerang pengembala di Masafer Yatta, selatan al-Khalil dinTebing Barat pada hari Khamis.
Penguasa tempatan Fuaad al-Omar berkata peneroka telah mencabut 60 pokok zaitun berusia satu tahun milik petani tempatan dari keluarga Amour.
Ini merupakan kali kedua peneroka mencabut pokok zaitun di kawasan yang sama dalam tempoh kurang dari dua bulan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 07-02-2022 – Lebih separuh daripada tahanan Palestin yang ditahan di penjara Ofer Israel telah dijangkiti oleh COVID-19, demikian pendedahan oleh Persatuan Tahanan Palestin (PPS) pada Khamis.
PPS mendakwa yang pentadbiran penjara Israel telah mula menggunakan epidemik sebagai alasan untuk menganiaya dan menzalimi para tahanan.
Pentadbiran penjara mempergunakan epidemik sebagai alasan untuk mengenakan lebih banyak sekatan ke atas para tahanan yang memang sudah sedia menderita, PPS menambah.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Isnin, 07-02-2022 – Liga Arab telah mengalu-alukan laporan baru-baru ini oleh Amnesty International mengenai rejim apartheid Israel dan dasar serta amalan perkauman terhadap rakyat Palestin; menyeru supaya tindakan susulan terhadap penemuannya untuk menguatkuasakan resolusi antarabangsa yang berkaitan.
Berucap pada sidang akhbar pada hari Khamis, Sa’eid Abu Ali, penolong setiausaha agung untuk Palestin dan wilayah Arab yang diduduki Liga Arab, menyifatkan laporan itu sebagai “dokumen perundangan antarabangsa yang penting,” terutamanya memandangkan jenayah perang Israel yang sedang berlaku, dan jenayah terhadap kemanusiaan yang meningkat pada 2021 di Palestin.
“Laporan itu adalah kesaksian baharu yang telah mendedahkan realiti sistem pendudukan dan alat eksekutifnya, yang mengamalkan diskriminasi, apartheid dan jenayah pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin dan Arab yang diduduki,” kata Abu Ali.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 04-02-2022 – Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit telah meluluskan pembinaan semula penempatan Evyatar di bandar Beita selatan Nablus, di utara Tebing Barat, media Israel mendedahkannya pada Rabu.
Sumber Hebrew melaporkan yang Avichai Mandelblit telah meluluskan tindakan itu pada hari terakhir perkhidmatannya.
Penempatan Evyatar telah dikosongkan tujuh bulan lalu, di tengah-tengah gesaan Yahudi agar membinanya semula.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 04-02-2022 – Tentera Israel telah menyerang nelayan Palestin di luar pantai Bandar Gaza dan memaksa mereka pulang ke darat pada pagi Rabu.
Menurut sumber setempat, bot pembedil Israel melepaskan tembakan mesingan ke arah nelayan dan bot mereka dalam jarak tiga batu nautika dari pantai kawasan as-Sudaniya di barat laut Bandar Gaza. Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan tembakan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Jumaat, 04-02-2022 – Berpuluh orang penceroboh Yahudi masuk ke masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki pada pagi hari Rabu di bawah perlindungan ketat polis Israel.
Pihak Berkuasa Wakaf berkata bahawa berpuluh penceroboh menyerbu tapak suci umat Islam itu diiringi pendeta-pendeta mereka melalui pintu Magharibi di bawah perlindungan ketat polis.
Sumber berkenaan juga berkata penceroboh berkenaan melaksanakan ritual ajaran Talmud semasa kunjungan mereka ke tapak suci itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Khamis, 03-02-2022 – Rejim zionis (IOA) meluluskan perancangan baru untuk mengosongkan kampung Khan al-Ahmar di Baitulmuqaddis dalam masa terdekat.
Sumber media Israel mendedahkan pada Rabu yang kampung Khan al-Ahmar akan dikosongkan segera dan akan dibina semula di jarak 300 meter dari lokasi sekarang.
Selama beberapa tahun, terdapat perancangan untuk memindahkan kampung Khan al-Ahmar, yang terletak di timur Baitulmuqaddis. Namun begitu, tekanan dari Eropah telah menghalang proses itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis, 03-02-2022 – Sekumpulan peneroka ekstremis Yahudi menyerang sebuah keluarga Palestin dan kenderaan penduduk bandar Sebastia, barat laut Nablus di Tebing Barat pada pagi Rabu. | Datuk Bandar Sebastia Mohamed Azem berkata sekumpulan peneroka menyerang rumah Ahmed Ghazal di bandar itu dan mencederakan beberapa ahli keluarganya. Azem menambah pasukan Israel menutup semula penghadang jalan Shavei Shomron berhampiran bandar dan membenarkan peneroka membaling batu ke arah kereta penduduk Palestin yang sedang dalam perjalanan di jalanraya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Khamis, 03-02-2022 – Tentera penceroboh rejim Zionis pada pagi hari Rabu berkata anggotanya menahan dua orang pemuda warga Palestin selepas mereka menyeberangi sempadan pada malam semalam melalui pagar keselamatan di bahagian tenggara Semenanjung Gaza.
Seorang jurucakap rejim mendakwa sebiji bom tangan ditemui di dalam milikan salah seorang pemuda tersebut. Kedua-dua pemuda tersebut di bawa untuk soal siasat. Identiti mereka masih belum diketahui.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Khamis, 27-01-2022 – Segerombolan peneroka haram Yahudi mencemari perkarangan Masjid Al-Aqsa pada pagi ahad dibawah pengawasan ketat oleh polis rejim zionis Israel. Warga Jerusalem berkata peneroka menceroboh masuk ke dalam kawasan suci umat Islam melalui pintu Maghera dan mencemari perkarangan Masjid dengan upacara keagamaan Yahudi.
Pencerobohan oleh polis rejim zionis meletakkan kekangan ke atas warga Palestin di kawasan tanah suci terutama di pintu masuk el-Amud dan memeriksa kad pengenalan mereka.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Hairul Ahmad
Khamis, 27-01-2022 – Seorang pendatang Yahudi yang memandu laju cuba melanggar seorang pemuda Palestin dan bapanya dekat sekatan jalan Hawara selatan kota Nablus pada petang Jumaat.
Sumber tempatan menyatakan pendatang itu merempuh keretanya pada gerai warga Palestin dan memusnahkah ia sepenuhnya. Manakala para penjual berjaya melarikan diri dengan selamat.
Sekatan jalan tentera rejim zionis memang diketahui ramai kerana penganiayaan yang dilakukan terhadap warga Palestin yang cuba melaluinya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis, 27-01-2022 – Kumpulan yang menyeru boikot terhadap pendudukan Israel menuntut agar para doktor dan persatuan pekerja Arab memboikot persidangan perubatan yang akan dihoskan Emirat Arab Bersatu (UAE) bulan depan, setelah dipastikan bahawa syarikat-syarikat Israel terlibat turutserta.
Kumpulan tersebut dan sejumlah aktivis media sosial turut menyeru untuk memboikot persidangan Gigi Antarabangsa “EDIC”, yang akan diadakan di Dubai bermula 1 Februari depan yang akan berlangsung selama tiga hari dengan tanda pagar #normalisasi_adalah_pengkhianatan.
“Koalisi Teluk Melawan Normalisasi” menuntut, melalui Twitternya, syarikat dan badan negara-negara Teluk yang terlibat untuk menarik diri dari menyertai pameran setelah mengesahkan penglibatan badan pemerintah Israel iaitu Institut Eksport Israel.
Mereka memberi alasan untuk memboikot pameran perubatan kerana akan mempromosikan industri Israel di pelbagai bidang.
Di sisi lain, BDS (gerakan boikot Israel anatabangsa) menganggap bahawa persidangan EDIC antarabangsa merugikan dan melukai etika profesion perubatan, dengan melegitimasi regim kolonial rasis di bawah nama perubatan
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman