Wawancara bersama Dr Khalil al-Haya (HAMAS)


Sewaktu lawatan Dr Khalil al-Haya (gambar) ke Kuala Lumpur baru-baru ini, wartawan palestinkini.info sempat menemui beliau. Berikut adalah wawancara Maszlee Malik bersama Dr Khalil:


Maszlee Malik (MM): Assalamualaykom, Selamat datang ke Malaysia Dr Khalil, Bolehkah anda memperkenalkan secara ringkas diri anda.


Dr Khalil (DK): Walaykomsalam, Terima Kasih kerana sudi mewawancara saya dan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi menjemput kami ke Malaysia.

Saya, Dr Khalil Ismail al-Haya, bapa kepada 7 orang anak dan merupakan pensyarah di dalam bidang Hadis dan Ilmu Hadis di Universiti Islam Gaza. Saya telah bertugas di sana selama 23 tahun, dan telah meletakkan jawatan pada awal tahun 2006 untuk terlibat di dalam pilihanraya pemilihan Majlis Legaslatif Palestin. Saya telah mewakili HAMAS di dalam koalisi mereka yang dikenali sebagai “Taghyir Wa Islah” (Refomasi dan Perubahan). Sekarang ini, alhamdulillah, saya merupakan ahli Majlis Legaslatif dan telah dipilih untuk menjadi ketua Whip HAMAS di Majlis tersebut.

MM: Anda mewakili HAMAS, bolehkah anda menerangkan serba sedikit mengenai HAMAS?


DK: HAMAS sebagai sebuah pertubuhan politik muncul pada tahun 1987. Sebelum itu, kami adalah gerakan Ikhwan Muslimin (IM) yang bergerak di bumi Palestin (Gaza dan Tebing Barat). IM merupakan sebuah gerakan dakwah dan tarbiyah yang telah berada di bumi Palestin semenjak tahun 1936 lagi. IM telah berjuang untuk kemerdekaan Palestin semenjak tahun 1948 lagi. IM kemudiannya telah melalui waktu yang sukar sehingga terpaksa menyusun strategi dan mengumpulkan kekuatan. Di dalam tempoh tersebut, IM hanya menumpukan pada usaha dakwah, pendidikan dan juga kebajikan. Perjuangan bersenjata dijuarai oleh golongan sekular, samada dari kalangan Nasionalis mahupun Sosialis.

Seperti gerakan kemerdekaan

yang lain di dalam sejarah, HAMAS memilih cara penentangan untuk

mendapatkan kemerdekaan.


Pada pertengahan 80’an ketika gerakan sekular mula lemah dan mula meninggalkan perjuangan bersenjata menentang penjajahan, IM muncul. IM mula mengorak langkah untuk mengisi vakum tersebut. Natijahnya, pada tahun 1987, selaras dengan terletusnya Intifadah, IM muncul dengan nama HAMAS.

MM: HAMAS merupakan sebuah gerakan bersenjata, tetapi bagaimana pula HAMAS terlibat dengan politik?


DK: Seperti gerakan kemerdekaan yang lain di dalam sejarah, HAMAS memilih cara penentangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Walau bagaimanapun HAMAS bukan hanya semata-mata gerakan bersenjata. Penentangan bersenjata merupakan pilihan kami untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa yng dijajah oleh Rejim Zionis semenjak tahun 1948. Sebagai sebuah gerakan, HAMAS terlibat dalam seluruh aspek kehidupan rakyat Palestin. Kami terlibat di dalam politik, kami juga terlibat di dalam dakwah, pendidikan, kesihatan, kebajikan, kebudayaan, sukan dan lain-lain lagi. Penyertaan kami di dalam politik kepartian dan pilihanraya merupakan strategi pertahapan berdasarkan kepada tuntutan semasa dan keperluan rakyat.

MM: Namun, HAMAS tetap dengan perjuangan bersenjata, dan dengan imej itulah HAMAS dikenali dunia.


DK: Ya benar, kerana keutamaan sekarang ini di Palestin adalah perjuangan untuk memerdekakan Palestin. Walaupun begitu anda perlu ingat, HAMAS tidak hanya terhad kepada perjuangan bersenjata seperti gerila-gerila pembebasan yang lain. Kami dirasakan di dalam seluruh kehidupan rakyat Palestin, dan perjuangan pembebasan kami berjalan di segenap ruang yang wujud. Itulah HAMAS yang dikenali oleh rakyat Palestin dan yang kami ingin dikenali. Itulah juga imej kami, yang dikenali oleh rakyat Palestin dan yang kami ingin dikenali. Adapun imej yang dipropagandakan oleh media pro-Zionis, itu merupakan sebahagian daripada kerja jahat mereka.

MM: Setelah berjuang selama hampir 20 tahun, adakah perjuangan bersenjata HAMAS benar-benar berbaloi?


DK: Ya, kami yakin, dan realiti menyokongnya. Ketika kami muncul pada tahun 1987, Zionis telah merasakan tekanannya. Lalu mereka pergunakan sebilangan rakyat Palestin untuk menggagalkan perjuangan tersebut di atas nama perdamaian. Malangnya, damai yang dijanjikan itu hanya menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin. Sehingglah terletusnya Intifadah kedua pada tahun 2000, rakyat palestin mula menyedari bahawa Zionis tidak pernah mengenali erti damai. Akhirnya, fraksi-fraksi perjuangan Palestin memilih jalan penentangan bersenjata seperti kami. Lihatlah Briged al-Aqsa milik Fatah, lihatlah briged Saraya al-Quds milik Jihad Islami, lihat juga briged Abu Risyh dan lain-lain lagi. Kesemuanya percaya bahawa hanya dengan cara penentangan bersenjata sahaja kami akan mencapai kemerdekaan. Kemuncak natijah perjuangan bersenjata adalah pengunduran pihak Zionis daripada Gaza. Kami yakin mereka juga akan berundur dari seluruh bumi Palestin satu hari nanti.

MM: Adakah ini bermaksud HAMAS melihat jalan penyelesaian isu Palestin ini adalah dengan kehancuran negara Israel?


DK: Setiap penjajahan pasti akan berakhir. Sejarah telah membuktikannya. Inggeris pernah menjajah Malaysia, dan akhirnya mereka beredar, Belanda pernah menjajah Indonesia dan mereka beredar, dan begitu juga penjajah-penjajah yang lain. Kezaliman tidak akan selamanya kekal, itu merupakan sunnah alam.

Bagi HAMAS, jalan penyelesaian kepada isu ini ialah dengan kembali kepada pokok isunya. Sebelum 1948 tidak wujud pun sebuah negara bernam Israel. Apa yang wujud hanyalah negara Palestin yang didiami oleh rakyat Palestin secara aman damai. Pada 14 Mei 1948, tertubuhnya negara haram Israel di atas restu kuasa-kuasa besar. Di situlah bermulanya isu yang sehingga kini belum menemui kesudahannya. Kaum Yahudi Zionis yang mendiami bumi Palestin bukanlah penduduk asal Palestin. Mereka telah berhijrah daripada seluruh pelusuk dunia untuk tinggal di bumi tersebut. Mereka telah ditipu oleh ideologi Zionis dan Eropah yang memaksa mereka pindah ke Palestin. Mereka dijanjikan kesenangan di bumi Palestin, tetapi mereka lupa bahawa negara tersebut mempunyai penduduknya sendiri.


Bagi HAMAS, jalan penyelesaian kepada isu ini ialah dengan kembali

kepada pokok isunya.


Jalan penyelesaian kepada isu ini, ialah dengan kepulangan para warga Yahudi tersebut ke negara masing-masing. Mereka perlu pulang ke negara asal mereka. Palestin mempunyai rakyatnya sendiri. Penyelesaiannya juga ialah dengan membawa pulang rakyat Palestin pulang ke Palestin selaras dengan resolusi 194 PBB. Jika ini berlaku, maka selesailah isu Palestin.

MM: Penyelesaian itu bukan mudah, majoriti rakyat Israel tidak akan bersetuju!


DK: Mengapa hanya melihat kepada persetujuan mereka, mengapa tidak dilihat kepada hak rakyat Palestin dari kacamata keadilan dan kemanusiaan?

MM: Anda rasa ianya dapat dilaksanakan sekarang?


DK: Ya, jika kuasa-kuasa besar dan masyarakat antarabangsa bersetuju. Malangnya kuasa-kuasa besar sering melihat isu ini dari kacamata Zionis, terutamanya AS. Lihatlah kepada lebih 90 veto yang telah digunakan oleh AS untuk membatalkan apa sahaja resolusi Majlis Keselamatan berhubung Israel.

MM: Maka apakah solusi anda?


DK: HAMAS telah bersikap realistik semenjak hari pertama penubuhannya. Walaupun matlamat jangka panjang dan strategik kami adalah untuk memerdekakan seluruh bumi Palestin, tetapi realiti semasa belum mengizinkannya lagi. Berdasarkan hakikat ini, HAMAS mencadangkan resolusi dan penyelesaian sementara atau jangka pendek. Yang pertamanya, kami menawarkan gencatan senjata jangkamasa panjang dengan rejim Zionis. Yang keduanya, rejim Zionis hendaklah berundur dari sempadan 1967 secara keseluruhannya, bukan hanya tentera sahaja, malah penduduk di kawasan penempatan haram Yahudi juga. Yang ketiganya, kami mahu Gaza dan Tebing Barat diiktiraf sebagai negara Palestin yang berdaulat oleh masyarakat antarabangsa, di mana al-Quds sebagai ibu kotanya. Yang keempat, kami diberikan ruang udara, ruang laut dan kebebasan untuk membuat hubungan diplomasi dengan negara-negara lain. Kelima, kami tidak akan mengiktiraf negara Israel, kerana ianya adalah sebuah penjajahan. Matlamat ini telah dikemukan semenjak tahun 1988 lagi oleh Syeikh Ahmad Yassin, dan diulangi pada tahun 1992 oleh Mahmoud Zahar, dan hari ini HAMAS mempromosikannya lagi. Malangnya, pihak Zionis tidak mahukan kedamaian dan begitu juga pihak AS dan EU. Mereka hanya mahukan “kedamaian” sepertimana yang diinginkan oleh Zionis sahaja.

MM : Anda yakin mereka akan bersetuju?, ataupun masyarakat antarabangsa akan menyokong?


DK: Inilah masalah yang kami hadapi. AS dan EU hanya melihat isu ini dari lensa Zionis. Kami yakin ianya kan berjaya, dan masyarakat antarabangsa akan menerimanya jika negara-negara Islam, terutamanya OIC memainkan peranan pro-aktif. Media-media barat langsung tidak berpihak kepada kami dan tidak pernah memberikan perhatian kepada solusi kedamaian kami. Jikalaulah ada media Islam, ataupun negara-negara Islam yang kaya dapat melobi media-media antarabangsa untuk menyebelahi kami, itu sudah cukup. Malangnya, negara-negara umat Islam tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Bukannya mereka tidak menolong, malangnya pertolongan yang dihulurkan belum cukup lagi.

MM: Kita kembali kepada HAMAS. Pilihanraya 25 Januari yang lepas telah menyaksikan kemenangan HAMAS. Bukankah pilihanraya ini bererti HAMAS mengiktiraf kuasa autonomi yang diberikan oleh rejim kepada rakyat Palestin melalui Oslo 1993. Bukankah HAMAS menentang perjanjian damai Oslo 1993?


DK: Oslo 1993 merupakan satu kegagalan. Kegagalan ini telah diiktiraf oleh kedua-dua pihak yang terlibat. Di pihak Palestin, Yaser Arafat yang menginisiatifkan Oslo telah mengakuinya, sehinggakan beliau mati di dalam keadaan dibunuh oleh rejim Zionis. Di pihak Zionis pula, Sharon telah mengumumkan kematian Oslo pada tahun 2003. Beliau sendiri telah menamatkan Oslo yang mereka sendiri tidak menghormatinya.

Memang benar kuasa autonomi rakyat Palestin telah dicipta melalui Oslo 1993. Malah pilihanraya Majlis Legaslatif 1996 juga adalah di bawah Oslo 1993. Namun, dengan pengisystiharan Sharon tentang penghujungnya Oslo, ini bermaksud, tiada lagi Oslo. Inisiatif Road Map juga merupakan alternatif bagi Oslo 1993. Pilihanraya yang berlangsung baru-baru ini merupakan inisiatif PA dan juga rakyat Palestin tanpa campur tangan pihak rejim. Di atas dasar inilah kami menyertai pilihanraya tersebut.

Keadaan pentadbiran yang kucar-kacir, penyelewengan kuasa dan salah guna wang rakyat juga merupakan di antara motivasi utama untuk kami memasuki pilihanraya. Bukanlah kekuasaan menjadi matlamat kami, tetapi kepentingan rakyat yang dicabul perlu kami selamatkan.

MM: Maknanya penyertaan anda di dalam pilihanraya 2006 bukan di bawah payung Oslo?


DK: Ya, sudah tentu.

MM: Kerajaan anda sedang menghadapi tekanan. Apakah isu sebenarnya?


DK: Isu sebenarnya ialah isu ketidak adilan atau kezaliman dan juga isu anti-Islam.

MM: Maksud anda?


DK: Sebelum tahun 1948, rakyat palestin hidup aman damai di dalam negara mereka yang bernama Palestin. Selepas 15 Mei 1948, penjajah Zionis mendirikan negara haram mereka dan bermulanya penjajahan. Semenjak tarikh tersebut sehingga kini, anak-anak kami, para wanita, warga tua, orang cacat dan seluruh warga Palestin telah menjadi sasaran rejim Zionis Israel. Rakyat Palestin telah diusir keluar dari negara mereka. Sehingga kini dianggarkan lebih enam juta rakyat Palestin hidup di kem-kem pelarian. Rumah-rumah rakyat palestin juga dirampas, dirobohkan dan dihancurkan. Ladang-ladang mereka dibakar, sekolah-sekolah dibedil, hospital-hospital diserang dan jalan-jalan raya menjadi sasaran roket-roket dari helikopter Apache milik tentera Zionis. Sehingga hari ini, rakyat kami menjadi seperti sasaran-sasaran di lapang sasar oleh tentera-tentera Zionis. Masjid al-Aqsa didalam usaha untuk dirobohkan. Masjid-masjid kami ditukarkan menjadi kuil Yahudi, kelab malam, panggung wayang, malah kandang-kandang lembu kaum Yahudi. Hakikatnya ialah kami adalah mangsa, kami telah dizalimi. Demi untuk melepaskan diri kami daripada kezaliman seperti yang dituntut oleh Islam, kami mestilah melawan mereka semula. Hal ini adalah logik dalam pemikiran mana-mana manusia yang berakal. Malangnya, kuasa-kuasa besar AS dan EU lebih memihak kepada pihak yang zalim, iaitu rejim Zionis Israel. Situasi hari ini, kami dipaksa untuk mengiktiraf kezaliman penjajah Zionis, dan kami disiksa untuk tujuan tersebut. Malangnya masyarakat dunia hanya diam membisu.

MM: Bagaimana pula dengan anti Islam?


DK: Mengapa AS bersikap double standard terhadap kerajaan yang baru?, kerana HAMAS yang menerajui kerajaan yang baru ini pro-Islam.

MM: Apakah kesan daripada tekanan dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas rakyat Palestin semenjak empat bulan ini?


DK: Rakyat Palestin telah menderita semenjak tahun 1948 lagi. Keadaan menjadi semakin parah selepas 1967. Kemuncak kesengsaraan rakyat palestin adalah pada tahun 2000. Semenjak terletusnya Intifadah 2000, rakyat Palestin telah ditindas dan dizalimi setiap hari oleh rejim Zionis.

Walaupun matlamat jangka panjang dan strategik kami adalah untuk memerdekakan seluruh bumi Palestin, tetapi realiti semasa belum mengizinkannya lagi.


Hari ini, demi untuk menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin, Zionis menggunakan alasan HAMAS sebagai puncanya. AS dan EU tahu, HAMAS bukanlah isunya. Isunya adalah penjajahan. Isu utamanya ialah Zionis menjajah bumi Palestin dan menzalimi rakyatnya.

Sehingga hari ini, kesan daripada tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin kerana telah memilih wakil mereka secara demokratik berada di tahap yang amat kritikal. Bekalan makanan, petrol dan keperluan harian semakin berkurangan. Bekalan ubat-ubatan semakin kehabisan. Pada minggu lepas, tiga kanak-kanak telah mati di hospital kerana hospital tidak mempunyai ubat yang cukup untuk merawat mereka. Bekalan kertas pula telah kehabisan dan telah menyebabkan peperiksaan percubaan sekolah menengah kami terpaksa dibatalkan. Pertemuan majlis legaslatif di Gaza hampir-hampir ditangguhkan kerana ketiadaan kertas. Nelayan- nelayan kami tidak dapat menangkap ikan di laut kerana dikejar, ditembak dan diserang oleh tentera laut rejim Zionis. Bantuan makanan, ubat-ubatan dan juga kewangan telah disekat oelh rejim Zionis. Hasil kutipan cukai barang-barang yang masuk ke dalam Palestin juga telah diambil oleh Zionis dan tidak mereka pulangkan kepada rakyat Palestin. Wang cukai yang berjumlah USD 55 juta setahun itu tidak pernah dikembalikan semenjak zaman Yaser Arafat lagi.

MM: Apakah tindakan anda untuk mengatasi tekanan ini?


DK: Kami mengharapkan umat Islam sedunia dapat membantu. Cukuplah jika seorang muslim memberikan USD 1 seorang setahun. Ianya cukup untuk menampung kehidupan rakyat Palestin selama setahun. Kami tidak mengharapkan kuasa-kuasa besar, kami juga tidak harapkan masyarakat antarabangsa, kami mengharapkan umat Islam tampil untuk membantu kami.

MM: Adakah mana-mana negara yang telah tampil membantu?


DK: Qatar telah menghulurkan USD 50 juta. Iran telah berjanji untuk memberikan USD 100 juta. Algeria telah menyalurkan sebanyak USD 50 juta tetapi telah diambil oleh Bank Arabi untuk melangsaikan hutang kerajaan sebelum ini yang telah meninggalkan untuk kami hutang bernilai lebih USD 1.7 billion. Indonesia juga sedang melakukan kempen yang hebat dan berjanji akan membantu kami juga. Alhamdulillah negara-negara umat Islam bersikap positif di dalam hal ini, namun belum mencapai tahap yang memuaskan lagi.

MM: Di pihak kerajaan HAMAS, apakah perancangan anda di waktu yang terdekat ini?


DK: Kami mempunyai tiga agenda utama di dalam waktu terdekat ini. Yang pertama adalah tindakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Kami akan berusaha mendapatkan bantuan dari negara-negara Islam untuk tujuan tersebut. Yang keduanya, usaha kami untuk memastikan keamanan di dalam negara Palestin. Kami akan memastikan bahawa semua rakyat Palestin bersatu dan serangan dari pihak Zionis dapat kami kekang. Yang ketiganya, adalah untuk mengemaskini pentadbiran kerajaan kepada yang lebih cekap, teratur, tersusun dan efektif. Objektif ketiga ini selaras dengan barisan kabinet teknokrat kami.

MM: Apakah pula peranan Fatah yang merupakan mantan kerajaan PA di penggal yang lalu?


DK: Kerajaan Palestin sekarang adalah kerajaan rakyat. I amilik semua rakyat Palestin dan bukan hanya dimonopoli oleh HAMAS. Kami memerlukan kerjasama semua untuk meneraju kerajaan ini. Fatah pernah ditawarkan untuk bersama di dalam kabinet, tetapi mereka enggan kerana sebab-sebab tertentu. Walau bagaimanapun mereka tetap kami libatkan di dalam penadbiran kerajaan yang baru ini. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merupakan ahli Fatah. Pegawai-pegawai kerajaan yang senior majoritinya adalah anggota Fatah. Pasukan keselamatan juga dikuasai oleh anggota-anggota Fatah. Mereka adalah sebahagian daripada pemerintah yang baru ini.

MM: Bagaimana pula dengan konflik yang berlaku di antara HAMAS dan Fatah yang membawa kepada pertumpahan darah baru-baru ini?


DK: Media membesar-besarkan isu tersebut. Ianya hanya pergaduhan di antara beberapa individu Fatah dan HAMAS yang melibatkan senjata api. Ianya telah dapat diselesaikan oelh para pimpinan kedua-dua buah gerakan. Di Gaza, setiap malam, pertemuan di antara kedua-dua gerakan ini diadakan untuk memastikan kemanan dan kesatuan masyarakat Palestin akan tetap terkawal. Saya, walau bagaimanapun tidak menyakngkal kewujudan sekelompok manusia di dalam Fatah yang tidak inginkan kedamaian. Mereka ingin melihat HAMAS gagal. Mereka ingin melihat kekecohan berlaku di dalam masyarakat Palestin. Mereka sukakan pertempuran darah, Kelompok ini dibiayai dan disokong oleh Zionis, namun bilangan mereka kecil dan sedikit. Insha Allah pihak Fatah akan dapat mengawal mereka.

MM: Bagaimana pula dengan kemungkinan berlakunya perang saudara di Palestin?


DK: Insha Allah ini tidak akan berlaku. HAMAS pernah menghadapi keadaan yang lebih teruk selepas Oslo 1993. Pejuang-pejuang kami ditahan, diseksa, malah dibunuh oleh kerajaan Palestin di waktu itu. Alhamdulillah kami berjaya mengawal diri dan tidak menumpahkan walau setitik pun darah rakyat Palesitn. Kami meletakkan lampu merah kepad adarah rakyat Palestin. Perkara ini diketahui oleh semua fraksi di Palestin, dan dimaklumi oleh rakyat Palestin sendiri. Di atas dasar inilah kami dihormati oleh fraksi-fraksi yang lain. HAMAS berjanji kepada umat Islam akan berusaha sedaya mungkin utnuk mengelakkan peperangan saudara di kalangan rakyat Palestin.

MM: Bagaimana pula hubungan HAMAS dengan masyarakat Kristian di Palestin?


DK: Masyarakat Kristian Palestin merupakan saudara mara kami. Mereka telah bersama kaum muslimin semenjak awal kedatangan Islam lagi. Sewaktu perang salib sekalipun, mereka tetap bersama kaum muslimin memerangi Kristian Eropah. Di atas dasar inilah hubungan yang akrab di antara HAMAS dan Kristian Palestin terjalin. Kami bersama-sama menentang penjajahan dan sama-sama dizalimi.

Pejuang-pejuang kami ditahan, diseksa, malah dibunuh oleh kerajaan Palestin di waktu itu ..


MM: Adakah di sana kemungkinan HAMAS akan tunduk kepada tekanan AS dan EU?


DK: HAMAS telah berjanji kepada umat Islam dan kepada rakyat Palestin utnuk tetap di atas perjuangan kemerdekaan. HAMAS beriman bahawa dengan cara ini sahajalah Palestin akan dapat dimerdekakan. Orang-orang sebelum kami telah mencuba jalan perdamaian versi Zionis, ternyata mereka tertipu dan mereka terus dizalimi. Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana golongan Zionis merupakan spesis manusia yang tidak mengenal erti kedamaian.

Mengapa rakyat memilih HAMAS?, terbukti kerana mereka percayakan metod perjuangan HAMAS. Mereka juga tidak lagi percayakan usaha menggadaikan negara Palestin dan rakyatnya untuk mendapatkan kedamaian. Jika HAMAS memilih jalan yang pernah dipilih oleh mereka sebelum ini dengan mengiktiraf Israel, maka HAMAS telah mengkhianati rakyat. HAMAS juga akan dilihat sebagai kelompok manusia yang kurang bijak kerana mengulangi kesilapan orang sebelum mereka.

MM: Namun, HAMAS tiada pilihan lain!


DK: Tidak, HAMAS mempunyai dua pilihan. Pilihan yang pertama adalah untuk tunduk kepada tekanan, mengiktiraf Israel, mengikuti segala kehendak mereka bagai lembu dicucuk hidung. Menggadaikan negara Palestin dan kezaliman akan terus berlaku sepertimana yang telah berlaku semenjak Oslo 1993 dan juga selepas Intifadah 2000. HAMAS akan hanya mengulangi sejarah lama dan terus mengulangi kesilapan mereka yang terdahulu.

Pilihan kedua, HAMAS akan tetap dengan prinsip, tetapi HAMAS perlu berkorban. Demi untuk tetap di dalam pendirian, HAMAS terpaksa bersabar dan menghadapi keadaan yang lebih dahsyat. HAMAS akan tetap berjuang walaupun hanya tinggal kuku dan gigi sahaja.

HAMAS memilih pilihan yang kedua. Untuk tujuan tersebut, HAMAS perlukan sokongan umat Islam sedunia. HAMAS tidak akan bertahan lama jika bersendirian. HAMAS mungkin boleh tetap sehingga ke titisan darah terakhir, tetapi rakyat Palestin mempunyai keterbatasan mereka. Kami benar-benar memerlukan kebersamaan umat Islam di dalam hal ini!

MM: Jika anda telah melalui fasa sekatan ini, apakah agenda kerajaan baru Palestin?


DK: Kami mempunyai rancangan dan strategi bertahap di dalam membawa perubahan dan berkhidmat untuk rakyat Palestin. Fasa yang pertama ialah fasa penyelidikan dan juga mengenal pasti ruang-ruang perubahan. Kami telah lalui fasa tersebut, di mana para menteri kabinet telah selesai mengenal pasti apakah ruang yang boleh kami lakukan untuk kemjuan dan kebaikan rakyat. Fasa kedua merupakan usaha pembaik pulihan setiap kementerian dan setiap sudut kehidupan rakyat. Fasa seterusnya ialah untuk menilai semula tindakan yang telah dilakukan dan ianya akan diperkemaskan di dalam fasa yang berikutnya.

Keutamaan akan diberikan kepada empat bidang utama di dalam kehidupan rakyat.

Yang pertamanya, bidang ekonomi. Kami akan memastikan rakyat Palestin tidak lagi bergantung kepada ekonomi rejim Zionis. Kami akan cuba untuk mempertingkatkan hubungan dagang dengan negara-negara umat Islam dan Arab. Kami juga akan berusaha mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, memandangkan penggangguran rakyat Palestin telah meningkat kepada 31% sekarang ini dan dijangkakan akan meningkat sehingga ke hujung tahun 2006.

Bidang yang kedua pula ialah bidang kesihatan. Kami akan cuba membina lebih banyak klinik dan memperlengkapkan prasarana di hospital-hospital. Kami juga akan mencari ruang untuk menghantar doktor-doktor kami menjalani latihan agar kepakaran mereka dapat dipertingkatkan. Kami juga akan berusaha untuk melakukan kempen kesedaran kesihatan di kalangan rakyat palestin agar mereka menjadi warga yang sihat.

Bidang yang ketiga menjadi tumpuan kami juga ialah bidang pendidikan. Pelajaran merupakan keutamaan rakyat Palestin. Kadar celik huruf yang tertinggi di rantau ini adalah di Palestin, dan ratio graduan universiti berbanding bilangan penduduk juga adalah di Palestin. Kami akan memastikan sekolah-sekolah kami lengkap dengan teknologi pembelajaran terkini, guru-guru akan dinaikkan gaji serta diberikan latihan yang secukupnya. Kami juga akan membuat polisis-polisi baru di dalam sektor ini demi kebaikan rakyat. Kami juga akan mengubah sessi pembelajaran yang selama ini banyak membebankan para pelajar dan berusaha meninggikan tahap pendidikan di sekolah-sekolah. Di peringkat pengajian tinggi pula, HAMAS akan cuba untuk menghapuskan yuran universiti untuk kebaikan rakyat.

Kami akan memastikan rakyat Palestin tidak lagi bergantung kepada ekonomi rejim Zionis.

Bidang keempat yang diberikan tumpuan juga ialah bidang keamanan dan keselamatan. Pihak keselamatan Palestin yang kini diletakkan di bawah Presiden Mahmoud Abbas tidak berjaya memainkan peranan melindungi rakyat Palestin. Mereka juga tidak dapat membendung gejala perosak yang cuba mengganggu gugat rakyat Palestin. Kami akan menubuhkan pasukan keselamatan kebangsaan yang terdiri daripada anggota bersenjata dari pelbagai fraksi. Mereka akan bertanggung jawab melindungi rakyat dari serangan musuh luaran dan dalaman. Menteri dalam negeri, Saed Siyam akan bertanggung jawab ke atas pasukan ini.

MM: Akhir sekali, adakah anda mempunyai apa-apa pesanan buat rakyat Malaysia?


DK: Ya, saya menyeru rakyat Malaysia agar menjaga keamanan yang wujud di Malaysia. Eratkan hubungan di antara kaum yang wujud. Bagi umat Islam, gunakan peluang yang wujud ini untuk melaksanakan dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Kenalkan mereka kepada Islam, dan perkenalkanlah kepada mereka Islam yang sebenar. Janganlah masyarakat Islam membina sebarang halangan dengan golongan bukan Islam. Bagi masyarakat Islam juga, eratkan persaudaraan anda untuk memperjuangkan Islam dan pertingkatkan hubungan anda semua dengan Allah SWT. Kami di Palestin mengharapkan juga agar anda dapat membantu kami dan menjadi pemacu kepada kempen memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa dan rantau Asia. Kami amat gembira meilhat kesungguhan gerakan-gerakan Islam di Malaysia di dalam menyikapi isu Palestin, pertingkatkan lagi. Semoga Allah menganjari anda semua.

MM: Terima Kasih.


DK: Sama-sama.