HAMAS dan Fatah: Perang saudara bakal meletus?


oleh : Maszlee Malik

Pada 19 Mei 2006, satu pergaduhan yang agak besar meletus di antara pengikut HAMAS dengan pengikut Fatah. Pergaduhan ini merupakan yang paling hebat setelah HAMAS memenangi pilihanraya Majlis Legaslatif kerajaan autonomi Palestin. Apa yang sedihnya, pertempuran tersebut melibatkan senjata api yang menyebabkan pertumpahan darah. Ianya juga menjadi lebih tragis kerana berlaku sewaktu rakyat Palestin keseluruhannya sedang menghadapi waktu yang sukar. Mereka dikenakan tekanan dan sekatan ekonomi oleh rejim Zionis, AS dan juga EU. Mereka juga menghadapi kemungkinan akan mengalami kemelut ekonomi yang paling dahsyat sepanjang tempoh penjajahan.


Persoalan yang timbul, mengapakah mereka bergaduh?, ataupun kita juga mungkin akan bertanyakan, mungkinkah perang saudara akan meletus di Palestin?, atau juga kita mungkin akan bertanya, siapakah sebenarnya dalang di sebalik pertelingkahan ini?

Di dalam menjawab persoalan-persoalan di atas, media barat dan juga media antarabangsa merupakan saluran yang tidak boleh diharapkan. Bukan sekadar laporan-laporan mereka bias kepada Zionis, malah laporan-laporan mereka juga penuh dengan bahasa kebencian dan sinis. Lebih malang lagi, kebanyakan laporan-laporan tersebut adalah penipuan dan tidak benar.

Apa yang sebenarnya berlaku?


Seperkara yang perlu diberikan perhatian di dalam menilai isu perbalahan ataupun pergaduhan di antara HAMAS dan Fatah ialah latar belakang kepada isu tersebut. Fatah yang kehilangan kuasa mereka setelah berkuasa buat sekian lama sudah tentunya tidak dapat menerima hakikat tersebut dengan mudah. Walaupun majoriti dari kalangan mereka akan dapat menerimanya dengan berlalunya waktu, namun tidak semuanya akan bersikap sedemikian. Inilah yang berlaku di Palestin. Golongan yang mempunyai kepentingan dan juga golongan yang bekerjasama dengan pihak penjajah Zionis tidak akan duduk diam. Mereka akan berusaha untuk menggagalkan kerajaan pimpinan HAMAS untuk menunjukkan bahawa HAMAS tidak layak memerintah. Hal inilah yang sedang berlaku di Palestin.

Fatah yang kehilangan kuasa mereka

setelah berkuasa buat sekian lama sudah tentunya tidak dapat menerima hakikat

tersebut dengan mudah.

Golongan yang korupsi dan yang selama ini menhisap darah rakyat Palestin dari golongan Fatah merasakan kerajaan HAMAS sebagai satu ancaman. Bukan sekadar mereka telah kehilangan punca kekayaan dari wang rakyat yang dikebas, malah kemungkinan juga HAMAS akan mendedahkan fail mereka. Demi mengelakkan semua ini daripada berlaku, mereka segera berusaha untuk menjatuhkan kerajaan HAMAS. Golongan ini, amat dikenali oleh rakyat Palestin. Tidak keterlaluan jika dikatakan, mereka dikenali juga oleh anggota-anggota Fatah sendiri. Golongan ini, walau bagaimanapun amat licik dan cerdik. Mereka akan mengupah mana-mana pemuda jalanan yang rosak akhlak dan tidak berpendirian untuk membuat kekacauan. Lihatlah gambar-gambar mereka yang membuat kekecohan yang didakwa sebagai “pemuda-pemuda Fatah” di kaca-kaca Televisyen. Akhlak mereka, penampilan dan juga sikap mereka tidak ubah seperti samseng jalanan.

Di samping golongan tersebut, wujud juga segelintir kecil daripada pemimpin Fatah yang menjadi tali barut penjajah Zionis. Mereka amat dikenali oleh anggota Fatah sendiri dan juga rakyat Palestin. Mereka juga dibenci oleh sesetengah anggota Fatah sendiri, malangnya mereka berpengaruh dan mempunyai duit yang banyak untuk membeli pengikut. Mereka ini kaya raya di kala rakyat kebuluran, mereka jugalah yang mengaut semua kekayaan rakyat palestin hasil pungutan cukai dan juga bantuan asing. Zionis amat menyayangi golongan ini dan membantu mereka sepenuhnya lewat pilihanraya yang lalu. Kini, mereka menjadi harapan Zionis untuk membuat kekacuan dan suasana kucar kacir di Palestin. Mereka jugalah yang akan dinobatkan menjadi para pemimpin Palestin jika kerajaan HAMAS tumbang nanti. Mereka ini amat dikenali oleh rakyat Palestin, malangnya mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa terhadap golongan yang “amat berpengaruh” ini.


HAMAS, walau bagaimanapun tetap dengan sumpah janji mereka untuk tidak

menumpahkan darah rakyat Palestin sesama sendiri.


Sikap HAMAS


Di pihak HAMAS pula, senario ini bukanlah baru. Selepas Oslo 1993, HAMAS pernah diseksa dan ditekan oleh Fatah lebih teruk lagi. Kedua-dua golongan yang telah disebutkan tadi memainkan peranan yang besar di dalam usaha keji menekan dan menghentam HAMAS. Mereka dijadikan alat oleh rejim Zionis untuk mengekang perjuangan menuntut kemerdekaan. Mantan Menteri Dalam Negeri Palestin di dalam kabinet Fatah yang lalu merupakan individu yang paling menonjol dari golongan ini. Dialah yang bertanggungjawab menangkap, menyeksa dan membunuh pejuang-pejuang Palestin daripada HAMAS dan lain-lain fraksi di zaman pemerintahan Fatah. Kini namanya disebut-sebut oleh rakyat sebagai onar yang sebenarnya di sebalik kekecohan yang berlaku di Palestin.

HAMAS, walau bagaimanapun tetap dengan sumpah janji mereka untuk tidak menumpahkan darah rakyat Palestin sesama sendiri. Mereka akan berusaha menjaga kesatuan dan juga keharmonian di kalangan rakyat Palestin. Rekod HAMAS berkaitan hal ini amat bersih. Walaupun mereka ditekan dengan teruk oleh kerajaan Fatah yang lalu, namun tidak sebiji pun peluru yang mereka halakan kepada mana-mana anggota Fatah. HAMAS menegaskan, mereka sentiasa meletakkan lampu merah kepada darah rakyat Palestin. Mereka telah membuktikannya dan akan terus membuktikannya.

Suasana sebenarnya


Bagaimana pula dengan apa yang berlaku baru-baru ini?

Jawapannya amat mudah. HAMAS dan juga fraksi-fraksi lain telah menjawab persoalan ini di dalam semua wawancara akhbar yang diadakan. Malangnya liputan mengenai wawancara mereka ini tidak disebar luaskan demi menjayakan agenda pihak-pihak tertentu. Apa yang berlaku adalah begitu sulit. Semua pihak tahu, wujudnya pihak ketiga dari dalam Fatah yang ingin membuat fitnah. Mereka menculik, menangkap, menembak dan membunuh ahli-ahli HAMAS untuk mengeruhkan suasana. Fatah sebagai sebuah gerakan mengutuk tindakan tersebut, tetapi kutukan mereka ini tidak mendapat liputan. AS dan Zionis berperanan besar di dalam hal ini.
Semua pihak tahu, wujudnya pihak ketiga dari dalam Fatah yang ingin membuat fitnah

Media barat dan pro-Zionis memainkan peranan yang besar di dalam memperbesarkan isu ini. Mereka menghidangkan kepada dunia berita yang menggambarkan seolah-olah perang besar sedang berlaku dan akan bertambah parah. Mesyuarat di antara frkasi-fraksi perjuangan terutamanya di antara pemimpin HAMAS dengan Fatah pada setiap malam tidak pula mereka gemparkan. Pasukan keselamtan negara yang ditubuhkan bersama dan dianggotai oleh anggota HAMAS, Fatah, Jihad Islami, PFLP dan lain-lain fraksi juga tidak mereka laporkan. Mereka tidak mahukan isu sebenarnya diketahui dunia. Mereka lebih mahukan dunia menyikapi isu ini sepertimana yang mereka mahu. Inilah hakikat sebenarnya yang berlaku di Palestin.

Semua pihak tahu, wujudnya pihak ketiga

dari dalam Fatah yang ingin membuat fitnah.


Kepada rakyat malaysia yang ingin mendapatkan maklumat yang lebih tepat, dapatkan berita-berita daripada media pro-Palestin sendiri, samada akhbar bercetak seperti al-Quds al-Arabi, Palestine Time, ataupun laman-laman web pro-Palestin seperti www.palestine-info.co.uk , www.islam-online.net, infopalestina.com , www.palestinkini.info dan lain-lain lagi. Pastikan anda tidak tersalah maklumat dan tidak termakan fitnah pihak musuh yang mempunyai agenda mereka yang tersendiri.