Gaji Kakitangan Awam Akan Dibayar Bulan Ini.

Khamis, 01/06/2006 –

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya mengumumkan bahawa pihaknya akan segera
membayar gaji kakitangan awam dalam beberapa hari terdekat ini. Gaji tersebut akan
diberikan kepada seperempat kakitangan awam Palestin yang belum mendapat gaji sejak
bulan Mac.

Penyataan ini dikeluarkan oleh Haneyya dalam perjumpaan mingguan di Gaza kelmarin.
Beliau menegaskan bahawa kakitangan awam yang akan menerima gaji tersebut berjumlah
40,000 orang dan untuk sementara ini pihaknya akan hanya membayar satu bulan gaji
sahaja.

Berkaitan dengan dialog nasional yang baru-baru ini dilakukan Abu Mazen, Haneyya
menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mendukung dan mendorong segala usaha ke arah
kejayaan dialog tersebut. Pihaknya akan melakukan segala tindakan yang perlu
dilakukan agar mencapai hasil yang diinginkan.

Namun begitu, Haneyya menolak senggang waktu yang sangat singkat untuk memperolehi
kata sepakat dalam dialog tersebut. Beliau meminta diberikan masa yang mencukupi
untuk memikirkan masalah tersebut.

Beliau merujuk kepada tempoh waktu yang diberikan Mahmud Abbas, iaitu selama 10 hari
kepada Hamas untuk menerima piagam yang ditawarkan kepara wakil tawanan Palestin di
penjara-penjara Israel. Abbas mengancam jika Hamas tidak mahu menyetujui piagam ini,
pihaknya akan mengadakan referendum rakyat.

Sementara itu, Mahmud Abbas sekarang berada di Tunisia dalam rangka kunjungan selama
tiga hari ke beberapa negara Arab untuk mendapatkan sokongan bagi mengatasi
pemboikotan dunia antarabangsa terhadap kerajaan Palestin.