
Sewaktu Mahmoud Zahar menghadiri persidangan NAM di Kuala Lumpur, wartawan palestinkini.info telah berpeluang untuk menemui beliau di lobi hotel Marriot Putrajaya. Beliau telah diwawancara mengenai pelbagai isu terkini Palestin selama hampir setengah jam. Berikut adalah perincian lanjut mengenai wawancara tersebut:
Maszlee Malik (MM): Selamat Datang ke Malaysia, apakah pandangan anda mengenai Malaysia secara umum?
Dr Mahmoud Zahar (MZ): Terima Kasih. Malaysia adalah sebuah negara yang indah dan cantik. Anda semua bertuah menjadi rakyat Malaysia. Kami di Palestin sentiasa mendengar yang elok-elok tentang Malaysia, dan kami menyangkakan Malaysia adalah sebuah negara yang mendaulatkan sistem Islam. Kami juga sentiasa mendengar bahawa rakyat Malaysia amat prihatin terhadap isu Palestin.
MM: Selepas anda berada di sini, bagaimana persepsi tersebut?
MZ: Cukuplah saya mengatakan, saya amat berbangga dengan Malaysia, cuma saya merasakan umat Islam di Malaysia perlu berusah alebih lagi untuk memastikan sistem Islam yang adil dan indah dapat dinikmati oleh semua.
MM: Kita berbalik kepada isu Palestin pula. Anda telah dijemput oleh kerajaan Malaysia ke persidangan NAM mewakili kerajaan Palestin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat. Farouq Qadumi pula mendakwa beliau juga merupakan wakil kerajaan Palestin yang sah kerana beliau mewakili PLO dan Fatah. Ini mengelirukan banyak pihak, terutamanya rakyat Malaysia. Siapakah wakil Palestin yang sebenar?
MZ: Saya telah diundang oleh menteri Luar anda untuk mewakili kerajaan Palestin yang sah ke persidangan NAM. Kerajaan Palestin adalah mewakili rakyat Palestin, kerana mereka telah memilih kami lewat pilihanraya 25 Januari yang lalu. Kerajaan yang diterajui oleh saudara Ismail Haneyyah telah memilih saya untuk menjadi menteri luar yang mewakili mereka. Rombongan saya adalah rombongan yang mewakili kementerian luar Palestin mewakili rakyat Palestin. Bersama saya terdapat pegawai kementerian yang mewakili Fatah, Front Demokratik dan juga PA saya yang merupakan mantan wartawan akhbar di Gaza. Rombongan kami tidak syak lagi mewakili rakyat Palestin yang sah, dan kami telah dijemput secara rasmi melalui saluran diplomatik (G to G).

Faruq Qaddumi (gambar), kehadirannya di persidangan NAM masih menjadi misteri
MM: Bagaimana pula dengan Farouq Qadumi? Di dalam akhbar Utusan Malaysia, beliau mengatakan bahawa beliau adalah wakil yang sah dan wakil rasmi “negara Palestin” (State of Palestine) dan beliau datang untuk mengajar anda selok belok hubungan diplomatik?
MZ: Beliau hanya mewakili dirinya sendiri dan tidak langsung diundang ke persidangan NAM ini. Saya telah memastikan perkara ini dengan Menteri Luar anda. Beliau (Menteri Luar) terpaksa menerima Qadumi kerana Qadumi telah mendesak beliau untuk menerimanya menjadi wakil Palestin di persidangan NAM. Ini bukanlah kali pertama beliau membuat kacau seumpama ini. Di Khartoum, sewaktu persidangan Liga Arab diadakan, beliau telah melakukan perkara yang serupa terhadap Presiden Mahmoud Abbas. Beliau telah memalukan Mahmoud Abbas yang mewakili Palestin. Beliau juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Yaser Arafat sewaktu hidup beliau. Pendekata, beliau sememangnya mempunyai agenda beliau yang tersendiri. Untuk pengetahuan anda juga, beliau (Qadumi) tidak tinggal di Palestin, beliau tinggal di villanya di Tunisia dan tidak pernah menjenguk kem-kem pelarian Palestin pun. Rakyat Palestin tahu akan hal ini. Ada pihak yang mengatakan beliau mewakili Fatah di dalam persidangan ini, ini tidak benar!, wakil Fatah ada bersama saya sebagai wakil kementerian luar dan juga sebagai pegawai di bawah kementerian saya. Beliau juga tidak bersetuju dengan Qadumi. Seperti yang telah dikatakan oleh wakil dari Cuba, Malaysia sepatutnya bersikap lebih teliti sebelum membuat keputusan menerima Qadumi. Saya berharap agar Malaysia tidak tersilap lagi selepas ini.
MM: Mengapa anda membokikot persidangan NAM pula?, bukankah anda boleh menyuarakan suara rakyat Palestin di sana?, bukankah tindakan anda hanya akan melihatkan bahawa anda seorang yang tidak profesional?
MZ: Anda mahu melihat kami bertengkar di hadapan orang ramai?, saya bukan memboikot persidangan. Saya tidak mahu nanti apa sahaja yang saya suarakan mewakili rakyat Palestin akan dibangkang oleh Qadumi di hadapan orang ramai. Bukankah ini akan memalukan rakyat Palestin sahaja. Biarlah saya mengalah untuk mengelakkan risiko yang lebih besar. Apa yang lebih penting saya telah berpeluang untuk bertemu dengan PM anda untuk mengadakan perbincangan dua hala.
MM: Saya rasa tindakan anda ini matang, tetapi apakah pula kata media? Yang jelas media telah memanipulasi tentang isu ini.
MZ: Media yang jujur dan profesional tidak akan besikap sedemikian. Hanya media yang pro-Zionis dan tidak profesional sahaja yang akan memanipulasi isu ini untuk pihak-pihak yang tertentu. Saya harap media di Malaysia tidak akan melakukan sikap yang sama seperti media-media korup di luar sana.
MM: Berbalik kepada isu bantuan, adakah kerajaan Malaysia menyalurkan apa-apa bantuan kepada rakyat Palestin melalui anda?, anda telah bertemu dengan PM…
MZ: PM anda telah berjanji untuk menyokong kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat Palestin. Dia seorang yang baik hati dan lembut kata-kata. Beliau juga komited untuk memberikan bantuan, tetapi beliau tidak memberikannya melalui saya ataupun kerajaan Palestin yang disokongnya itu. Sepatutnya tindakan beliau selari dengan kata-katanya. Jika beliau menyokong kami, maka bantuan perlu disalurkan melalui kami juga. Saya tidak tahu apakah yang difikirkan oleh PM anda. Walau bagaimanapun, sikap beliau ingin memberikan sokongan kepada kami pada kapisiti beliau sebagai pengerusi OIC serba sedikit telah menaikkan imej kami di kalangan negara-negara OIC yang lain. Apa yang penting juga beliau tidak menghalang segala usaha rakyat untuk isu Palestin ini.

Media yang jujur dan profesional tidak akan besikap sedemikian. Hanya media yang pro-Zionis dan tidak profesional sahaja yang akan memanipulasi isu ini untuk pihak-pihak yang tertentu
MM: Saya difahamkan anda baru pulang dari Indonesia dan Brunei. Bagaimanakah sambutan kerajaan dan rakyat di kedua-dua buah negara?
MZ: Saya ingin merakamkan kepada dunia takjubnya saya kepada Indonesia. Kerajaannya begitu positif, terutamanya ketua speaker Dewan Rakyat mereka, iaitu Dr Hidayat Nurwahid. Kerajaan Indonesia bersikap begitu pro-aktif berbanding kerajaan-kerajaan negara Islam yang lain. Kempen untuk membantu rakyat Palestin begitu hebat di sana. Saya juga kagum dengan inisiatif Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Mereka telah menganjurkan rapat umum sebagai solidariti berasama rakyat Palestin. Puluhan ribu telah menghadiri rapat umum tersebut. Mereka begitu serius di dalam usaha membantu rakyat Palestin, walaupun di waktu yang sama mereka turut sibuk membantu mangsa bencana alam di dalam Indonesia sendiri. Mereka telah menyalurkan bantuan melalui saya dan juga saluran-saluran yang lain. Saya mendoakan agar Allah akan memberikan kekuatan kepada rakyat Indonesia dan semoga Allah akan mencurahkan rezeki kepada umat Islam di sana dan semoga Islam akan berdaulat di bumi tersebut.
MM: Brunei pula?
MZ: Sultan Brunei merupakan seorang yang begitu bersimpati kepada isu Palestin. Ketika bertemu dengan beliau, saya merasakan beliau seorang yang begitu ikhlas di dalam kata-katanya. Beliau berjanji untuk menyokong Palestin di dalam setiap mesyuarat di peringkat antarabangsa.
MM: Bagaimana dengan bantuan?
MZ: Beliau belum menjanjikan apa-apa lagi setakat ini.
MM: Kita kembali ke Palestin. Sekarang in kita didedahkan oleh media antarabangsa mengenai perpecahan dalaman rakyat Palestin, secara spesifik di antara HAMAS dan Fatah. Apakah ini akan membawa kepada peperangan saudara seperti yang diramalkan oleh Condoleeza Rice?
MZ: Ada pihak yang mahu melihat HAMAS gagal di dalam percubaan mereka memerintah rakyat Palestin. Pihak ini akan menggunakan pelbagai cara. Mereka menggunakan tekanan ekonomi untuk membuat rakyat bangkit dan menentang kerajaan yang baru ini. Mereka juga merancangkan agar rakyat Palestin terjerumus ke dalam kancah peperangan saudara. Kemudiannya mereka akan bersenang lenang kerana tiada lagi usaha perjuangan menentang penjajah. Secara spesifik golongan ini adalah rejim Zionis dan juga AS.
Untuk menjayakan cita-cita tersebut, mereka telah melakukan sekatan ekonomi seperti yang berlaku sekarang ini. Kami telah cuba mengatasinya dengan melakukan kempen untuk masyarakat Islam sedunia membantu kami. Mereka cuba menghalangnya dengan menggugut pemimpin-pemimpin negara Islam agar tidak membantu kami. Di sesetengah negara mereka berjaya, namun di banyak negara mereka gagal.
Sekarang mereka beralih kepada strategi kedua pula, iaitu mencetuskan pergolakan di kalangan rakyat Palestin. Fatah bukanlah musuh kami. Walaupun mereka merupakan lawan kami di gelanggang politik, namun HAMAS tetap berpegang bahawa Fatah adalah saudara kami senegara. Mereka adalah rakyat Palestin seperti kami dan juga seperti fraksi-fraksi Palestin yang lain. Majoriti rakyat Palestin maklum bahawa HAMAS tidak memusuhi fraksi-fraksi yang lain. HAMAS jug tidak pernah menumpahkan darah rakyat Palestin walaupun ramai dari kalangan anggota mereka diseksa, ditangkap dan dibunuh oleh anggota Fatah sewaktu mereka berkuasa. Sejarah telah menyaksikan bahwa HAMAS sentiasa bersikap profesional di dalam menyikapi hal tersebut. HAMAS meletakkan lampu merah kepada darah rakyat Palestin. Peluru kami hanya disasarkan kepada pihak penjajah Zionis. Kami tidak akan membasahkan tangan kami dengan darah rakyat Palestin. Inilah janji kami. Rakyat Palestin pun tidak pernah mengenali perkataan “Perang Saudara” seperti yang telah diungkapkan oleh Ismail Haneyyah, PM Palesitn sekarang ini.

Apa yang berlaku hanyalah segelintir rakyat yang kebetulan mewakili Fatah telah diapi-apikan oleh segelinitr pihak yang tidak bertanggung jawab. Rakyat Palestin, samada Fatah mahupun HAMAS mengenali golongan ini. Mereka menjadi agen Zionis unutk menjayakan strategi Zionis untuk menjatuhkan kerajaan baru ini.
MM: Tetapi pertempuran berlaku? Ini agak berlawanan dengan kenyataan anda?
MZ: Pertempuran tidak berlaku. Apa yang berlaku hanyalah segelintir rakyat yang kebetulan mewakili Fatah telah diapi-apikan oleh segelinitr pihak yang tidak bertanggung jawab. Rakyat Palestin, samada Fatah mahupun HAMAS mengenali golongan ini. Mereka menjadi agen Zionis unutk menjayakan strategi Zionis untuk menjatuhkan kerajaan baru ini. Kami akan berusaha dengan pihak Fatah dan semua fraksi perjuangan yang lain untuk mengatasi masalah ini.
Pasukan keselamatan bersatu yang baru ditubuhkan di bawah pimpinan menteri dalam negeri, Saed Siyyam adalah salah satu inisiatif untuk tujuan tersebut. Pasukan yang telah ditubuhkan pada 14 Mei yang lalu itu menggabungkan kesemua fraksi perjuangan dan komando-komando mereka untuk mempertahankan rakyat Palestin dari serangan tentera Zionis. Ia juga berperanan untuk memburu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dari kalangan rakyat Palestin yang telah menjadi agen Zionis untuk menimbulkan kekacauan.
Pertemuan Ismail Haneyyah dengan para pemimpin Fatah untuk kesepakatan pada 24 Mei yang lalu juga merupakan sebahagian daripada usaha menjaga kesatuan rakyat palestin. Pihak Fatah begitu komited dengan usaha ini. Komando-komando Fatah juga telah berkumpul di Gaza pada hari yang sama untuk berarak menyatakan sokongan terhadap kerajaan Palestin di bawah pimpinan HAMAS. Perarakan tersebut sengaja mereka adakan untuk menafikan fitnah yang cuba disebarkan oleh media antarabangsa. Malang lagi media antarabangsa tidak pernah melaporkan usaha-usaha penyatuan ini dan hanya membesarkan kejadian pergaduhan kecil di antara individu dari kedua-dua belah fraksi. Isu yang kecil mereka perbesar-besarkan untuk menggambarkan kepada dunia bahawa rakyat Palestin berpecah belah.
MM: Maksud anda, wujud pihak ketiga di dalam isu ini?
MZ: Ya, tepat sekali.
MM: Siapakah mereka?
MZ: Rakyat Palestin mengenali mereka. Tidak perlulah saya sebutkan di sini.
MM: Bagaimana pula dengan kenyataan PFLP (Barisan Popular Rakyat Palestin) mutakhir ini untuk menyertai kerajaan Palestin?
MZ: PFLP bermain politik. Pada awalnya merekalah yang telah berkempen kepada fraksi-fraksi kecil yang lain untuk tidak menyertai kerajaan baru. Sekarang ini mereka pula yang menyertainya. Tindakan mereka ini menyebabkan fraksi-fraksi lain berasa keliru. Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri. Walau bagaimanapun kami tetap mengalu-alukan pendirian mereka, kerana kerajaan yang ada ini bukanlah kerajaan HAMAS semata-mata. Ianya adalah kerajaan rakyat Palestin secara keseluruhan. Kami mengharapkan frkasi-frkasi lain juga akan mengikuti jejak langkah PFLP, terutamanya Fatah.
MM: Selepas kunjungan ke Malaysia ini, anda akan ke China, apakah harapan anda dari China?
MZ: Saya kagum dengan keberanian China untuk menerima kunjungan kami. Bahkan mereka berhak menerima pujian, kerana merekalah yang menginisiatifkan lawatan tersebut. China, sebagai sebuah kuasa dunia boleh melakukan sesuatu untuk isu Palestin. Hegemoni AS sebagai kuasa uni-polar dunia di dalam isu ini perlu dipecahkan. China dan Rusia mempunyai kemampuan untuk tujuan tersebut.

Dr Mahmoud Zahar ketika diwawancara oleh wartawan Palestinkini baru2 ini.
MM: Tidakkah mereka menerima tekanan dari AS dan pihak Zionis?
MZ: Ya, mereka menerima tekanan, namun mereka tetap bertegas dengan keputusan yang telah diambil. Di atas dasar inilah saya menghormati mereka berbanding dengan beberapa negara umat Islam yang begitu penakut untuk menerima kunjungan lawatan kami, walaupun kami berjiran. Adakalanya mereka yang bukan Islam dan bukan Arab lebih boleh diharapkan berbanding pemimpin-pemimpin negara Arab dan juga Islam.
MM: Negara mana yang anda maksudkan itu?
MZ: Ianya diketahui ramai. Tidak perlu saya sebutkan di sini.
MM: Adakah anda mengharapkan China akan menyalurkan dana bantuan kepada kerajaan Palestin yang baru ini?
MZ: Wang bukan persoalan pokok. Kami bukan ke sana untuk mengemis. Apa yang kami harapkan China akan dapat menjadi kuasa pendesak agar Zionis dapat menakhirkan sekatan ekonomi ke atas kami. Kami perlukan jalan darat, laut dan udara untuk kami menjalankan urusan ekonomi. Kami yakin, jika kami dapat mengeksport hasil pertanian di Palestin dan kami dapat menerima pelaburan untuk melabur di dalam Palestin, kami tidak perlu lagi kepada bantuan asing. Kami juga berharap agar China dapat membuka ruang pelaburan di dalam Palestin untuk menghidupkan ekonomi rakyat Palestin yang dihancurkan oleh Zionis melalui perjanjian Paris yang telah ditandatangani oleh kerajaan Fatah yang lalu dengan rejim Zionis.
MM: Bagaimana dengan Rusia? Bukankah mereka pernha menerima kunjungan HAMAS sejurus kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya yang lalu?
MZ: Rusia bersikap postif. Mereka telah menerima kunjungan Khaled Mesh’al, ketua biro politik HAMAS. Walau bagaimanapun mereka belum lagi menerima kunjungan rasmi dari kerajaan Palestin. Saya sendiri belum berkunjung ke sana. Rusia juga boleh memainkan peranan yang lebih pro akif daripada China.
MM: Bagaimana pula negara-negara Islam dan Arab yang telah anda kunjungi?
MZ: Ada di antara mereka yang begitu positif. Sekadar menamakan Qatar, Sudan, Iran dan beberapa buah negara Arab yang lain. Ada pula yang sekadar menyokong tanpa menunjukkan apa-apa komitmen setakat ini. Tidak perlu saya sebutkan nama negara-negara tersebut. Walau bagaimanapun, saya tetap postifi dengan sambutan dari negara-negara Islam secara keseluruhannya, terutamanya dari kalangan rakyat.
MM: Setakat ini apakah dana yang telah disalurkan oleh sesetengah pihak telah sampai kepada rakyat Palestin?
MZ: Alhamdulillah, bantuan yang telah diberikan melalui wakil-wakil kerajaan Palestin pimpinan HAMAS telah berjaya disalurkan kepada rakyat Palestin. Bantuan dari rakyat Malaysia melalui Dr Khalil pun telah berjaya disalurkan kepada mereka yang memerlukannya.
MM: Adakah ini bermakna pekerja-pekerja kerajaan dan menteri-menteri telah menerima gaji mereka yang tertunggak selama tiga bulan yang lalu?
MZ: Belum kesemuanya lagi. Menteri-menteri masih lagi belum menerima gaji mereka. Kami mendahulukan para guru dan kakitangan yang terlibat dengan sektor pendidikan dan juga petugas-petugas kesihatan.

Wartawan Palestinkini, Maszlee Malik bersama Dr Mahmoud Zahar
MM: Pada perkiraan anda, bilakah sekatan ekonomi ini akan berakhir?
MZ: Saya bukannya ahli nujum dan tukang tilik.
MM: Maksud saya, pada perkiraan strategik anda berdasarkan petunjuk-petunjuk politik semasa.
MZ: AS dan Zionis hanya akan mengakhirkan sekatan ekonomi jika kerajaan pimpinan HAMAS berjaya digulingkan. Mereka hanya akan mengakhirkan sekatan jika agen-agen mereka yang menjadi kerajaan Palestin. Mereka juga hanya akan mengakhiri sekatan jika kami tunduk mengiktiraf penjajahan dan juga melupakan perjuangan kemerdekaan dan juga sujud kepada mereka.
MM: Apakah sukar untuk anda mengiktiraf Israel?, bukankah itu lebih baik untuk rakyat?
MZ: Percubaan untuk mengiktiraf Israel pernah dicuba oleh mereka sebelum kami. Melalui Oslo 1993, kerajaan yang lalu telah mengikuti segala kehendak Zionis demi mencapai apa yang mereka namakan sebagai kedamaian. Ternyata mereka gagal. Pihak Zionis tidak pernah menghormati rakyat palestin. Walaupun Arafat dan juga konco-konconya telah mengiktiraf Israel, telah menjual hak rakyat Palestin kepada Zionis, telah menangkap dan membunuh para pejuang Palestin untuk Zionis, natijahnya, beliau sendiri telah diracun oleh pihak Zionis. Sebelum kematiannya, beliau sendiri telah dikenakan hukuman penjara di dalam kediamannya di Ramallah. Lebih menyayat hati lagi, beliau pejabat beliau pernah dibedil dalam usaha Zionis untuk membunuhnya.
Kesimpulannya, ide untuk mengiktiraf Israel dan meninggalkan perjuangan kemerdekaan bukanlah ide yang baru. Ianya telah terbukti gagal dan adalah tidak bijak untuk kami mengulangi kegagalan. Kita memerlukan ide yang baru untuk menyelesaikan isu ini.
MM: Jika anda tetap berkeras, bagaiamnakah keamanan dapat dikecapi di rantau tersebut?
MZ: Keamana yang sebenar tidak akan dapat dikecapi selagimana penjajahan tetap berlaku. Lihatlah sejarah, bagaimana kedamaian yang sebenar hanya berlaku apabila pihak penjajah meninggalkan bumi yang mereka jajah. Malaysia juga pernah menempuh pengalaman yang sama.
MM: Malangnya penjajahan ini telah berakar umbi dan diiktiraf oleh dunia dan masyarakat antarabangsa!
MZ: Masyarakat Antarabangsa, undang-undang antarabangsa dan juga semua agama di dunia tidak mengiktiraf penjajahan dan kezaliman. Apa yang berlaku kini hanyalah sokongan kuasa besar terhadap penjajahan ini berdasarkan agenda-agenda yang tertentu.
MM: Maksudnya, penyelesaiannya ialah dengan menghancurkan negara Israel?
MZ: Sebelum 14 Mei 1948, tidak terdapat sebuah negara bernama Israel. Apa yang ada di muka bumi tersebut ialah sebuah negara yang bernama Palestin. Penubuhan Israel bermakna kehancuran Palestin, mengapa ini tidak dipertikaikan dunia?
MM: Ini adalah ide yang ganas dan tidak bertamadun!
MZ: Penubuhan negara Israel di atas bumi Palestin dan pengusiran rakyat Palestin yang kini berjumlah enam juta di luar negara mereka adalah lebih ganas, lebih kejam, lebih zalim dan tidak bertamadun.
MM: Tetapi kita mestilah berhadapan dengan realiti semasa, Israel telah wujud, dan diiktiraf oleh dunia kewujudannya!
MZ: Ya, kami sedar tentang itu. Di atas dasar inilah HAMAS telah mengemukakan solusi “Hudnah” ataupun gencatan senjata seawal tahun 1988 lagi.
MM: Cuba anda terangkan lebih terperinci tentang solusi hudnah tersebut…
MZ: Kami mencadangkan agar pihak Zionis bersetuju untuk tidak menyerang kami dan kami tidak akan menyerang mereka untuk tempoh yang panjang yang dipersetujui bersama. Biarlah ianya berlaku untuk tempoh yang panjang, 10 tahun, 20 tahun ataupun 30 tahun. Kami juga mahukan Zionis berundur dari sempadan wilayah yang telah mereka jajah pada tahun 1967, termasuk Baitul Maqdis. Kami juga mahu masyarakat dunia mengiktiraf kewujudan kami sebagai sebuah negara dan bukan lagi sebagai tanah jajahan Zionis ataupun kuasa autonomi di bawah kekuasaan Zionis. Jika Zionis benar-benar ikhlas untuk berdamai,mereka tidak akan bermasalah untuk menerima solusi yang begitu adil ini. Malangnya Zionis seperti yang telah diketahui dunia bukanlah entiti yang mahukan kedamaian.

Bagi umat Islam khususnya, sebarkanlah kesedaran terhadap isu Palestin ini bersama masyarakat bukan Islam di sekeliling anda.
MM: Adakah dengan cara tersebut, HAMAS dan rakyat Palestin akanmengiktiraf Israel?
MZ: Tidak, kami hanya melakukan gencatan senjata dan bukannya menyerah kalah!
MM: Ehud Olmert berjanji untuk mengundurkan tentera mereka dari Tebing Barat dan bersetuju untuk meletakkan sempadan yang kekal untuk negara Israel. Apakah ini berita baik untuk anda?
MZ: Berita baik hanyalah jikak beliau bersetuju untuk pulang ke negara asalanya dan begitu juga dengan warga penjajah Zionis yang lain. Itu bukanlah berita yang baik. Sungguh pun beliau ingin meletakkan sempadan kekal bagi negara Israel, mereka bukan bermaksud sempadan 1967. Sempadan kekal yang ingin mereka letakkan itu akan mengambil 70% daripada Tebing Barat 1967. Mereka tidak akan mengundurkan warga Zionis dari penempatan-penempatan di Tebing Barat, malah ianya akan menjadi sebahagian daripada Israel. Mereka juga akan mengambil sumber-sumber air di Tebing Barat untuk menjadi sebahagian daripada bumi Israel. Mereka telah pun memisahkan sumber-sumber air dari rakyat Palestin di Tebing Barat melalui tembok pemisah yang mereka bina dan terus membinanya. Mereka juga tidak akan melepaskan Baitul Maqdis dan al-Aqsa kepada rakyat Palestin. Ianya akan menjadi sebahagian daripada Israel yang akan mempunyai sempadan yang kekal itu nanti. Apa yang lebih mengerikan lagi, Olmert adalah orang yang bertanggung jawab mengYahudikan Baitul Maqdis sepanjang beliau menjadi datuk bandar Baitul Maqdis. Beliaulah yang telah merobohkan penempatan-penempatan umat Islam, dan membina penempata-penempatan Yahudi di Baitul Maqdis. Beliau juga mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan golongan radikal ultra Ortodoks Yahudi yang bercita-ita untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina kuil mereka di atas tapak masjid tersebut. Adakah ini yang anda namakan sebagai berita baik???
MM: Akhir kata, pesanan anda untuk rakyat Malaysia.
MZ: Rakyat Malaysia adalah rakyat yang harmoni, tenang dan juga baik hati. Kami berharap agar anda akan sentiasa menyokong perjuangan kami dan membantu kami samada dari segi politik, ekonomi mahupun maknawi. Kami menharapkan agar anda akan sentiasa mendoakan kami.
Bagi umat Islam khususnya, sebarkanlah kesedaran terhadap isu Palestin ini bersama masyarakat bukan Islam di sekeliling anda. Dedahkan kepada mereka isu yang sebenarnya. Isu Palestin juga merupakan isu kezaliman Zionis membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa, isu penjajahan Zionis dan kuasa barat ke atas bumi rakyat Palestin. Fakta inilah yang telah hilang dari persepsi masyarakat bukan Islam. Andalah agen kami untuk menerangkannya.
Kami juga berharap agar umat Islam di Malaysia dapat meningkatkan usaha dakwah dan memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam di negar aini. Suasana harmoni dan damai yang ada di bumi ini perlulah digunakan sebaik mungkin untuk penyebaran agama Islam. Jika anda tidak menyelamatkan mereka dari api neraka, siapakah lagi yang akan melakukannya.
Akhir sekali, janganlah anda melupakan kami di dalam doa-doa anda sekelian.
MM: Terima Kasih.
MZ: Sama-sama.