Hamas Minta Abbas Menimbang Kembali Gagasan Referendum

Rabu, 07/06/2006 –
Gerakan Hamas mengajak Presiden Palestin, Mahmod Abbas agar melihat kembali gagasan referendum rakyat yang dinyatakan dalam piagam tahanan kerana tiada
sebab-sebab munasabah untuk melaksanakannya.

Perkara ini dinyatakan oleh jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dalam sidang akhbar bersama ketua fraksi Hamas, Khalil Hayyat kelmarin. Beliau menyatakan bahawa gerakan Hamas merasa hairan dengan sebahagian daripada fraksi Palestin yang menyatakan
bahawa dialog Palestin gagal padahal ia belum lagi dimulakan. Beliau merujuk kepada penyataan wakil fraksi Fatah, Azzam Ahmad yang mengatakan dialog Palestin gagal kerana dialog nasional tersebut berakhir tanpa kesepakatan.

Hamas menegaskan bahawa dialog yang dilakukan di Ramallah adalah dari satu pihak sahaja iaitu antara fraksi-fraksi PLO yang mempunyai arah tuju politik yang sama tanpa melibatkan 60% suara Hamas dan Jihad Islami.

Wakil Hamas di parlimen Palestin, Al Hayat mengatakan bahawa pihaknya yakin masalah
Palestin tidak akan dapat diselesaikan kecuali dengan dialog nasional dan dengan dada terbuka serta jauh dari prasangka dan paksaan.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya telah menyertai dialog pertama namun kerana situasi keselamatan Hamas dan Jihad Islami tidak mengizinkan mereka memilih dialog diadakan di Gaza dan hal tersebut sudah disampaikan kepada para peserta dialog.
Namun menurut beliau, mungkin wujud sebilangan pihak yang ingin menggagalkan dialog ini.

Sementara itu, PM Palestin, Ismail Haneyyah telah menghubungi presiden Palestin, Mahmod Abbas malam kelmarin. Sumber-sumber dari pejabat perdana menteri menyebutkan bahawa perhubungan melalui telefon tersebut sangat penting sehingga memakan masa selama 70 minit. Antara yang dibincangkan adalah mengenai situasi terkini Palestin
dan krisis yang berlaku. Mereka turut membincangkan cara terbaik untuk menyelesaikan
isu-isu semasa dengan mengutamakan manfaat kepada rakyat Palestin tanpa menggadaikan
kesatuan dan persatuan nasional rakyat Palestin.