
Rabu , 02/05/2012 – Ketika berucap pada Selasa lalu di ‘Persidangan Mesir untuk bebaskan Jerusalem’, Sheikh Al-Azhar, Dr. Ahmed Al-Tayeb, menegaskan sokongan yang tidak berbelah-bagi oleh kerajaan Mesir dan Universiti Al-Azhar kepada rakyat Palestin serta usaha untuk memecahkan cengkaman rejim Zionis ke atas Jerusalem. Beliau juga menegaskan bahawa menyokong penduduk Jerusalem membebaskan diri daripada cengkaman rejim Zionis yang zalim adalah doktrin utama masyarakat Arab Muslim dan Kristian.
Persidangan itu turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Gereja Episcopal, beberapa organisasi pekerja Arab, organisasi komuniti awam serta anggota-anggota jawatankuasa Kesatuan Doktor Arab Jerusalem. Ia merupakan salah satu kempen di peringkat antarabangsa untuk memecahkan cengkaman rejim Zionis ke atas Jerusalem yang bakal dilancarkan di beberapa buah negara lain pada 15 Mei nanti.
Al-Tayeb menegaskan bahawa Universiti Al-Azhar sentiasa memberikan sokongan padu terhadap kempen tersebut, Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin yang menolak cubaan rejim Zionis untuk mengubah identity Jerusalem. Beliau menyeru semua umat Islam di seluruh dunia dan organisasi-organisasi antarabangsa mempertahankan tempat-tempat suci Islam dan Kristian serta menyeru semua rakyat Palestin supaya bersatu-padu
menentang kekejaman rejim Zionis.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : salwa