Haram membantu Hizbullah ?

oleh : Mas’ud Sabri
(Pengkaji Syarak di Fakulti Dar al-‘Ulum dan laman web Islamonline)

Dalam respon pertama terhadap perdebatan meluas yang diakibatkan oleh fatwanya yang menganggap membantu Hizbullah adalah haram, Syeikh Abdullah ibn Jabrin, seorang faqih Arab Saudi menjelaskan bahawa fatwanya tidaklah ditujukan kepada Hizbullah secara khusus, tetapi ia ditujukan kepada golongan Rafidah secara umum. Beliau juga berpandangan keutamaan pada waktu ini sepatutnya diberikan kepada bagaimana menghadapi tindakan permusuhan Israel terhadap Lubnan dan Palestin.


Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh para pelajarnya pada salah satu laman web, Syeikh Ibn Jabrin menjelaskan: “Fatwa tersebut tidak ada kaitan dengan Hizbullah sahaja, tetapi ia berkaitan dengan seluruh golongan Rafidah yang menganggap ahlus sunnah sebagai kafir, yang mengkafirkan para sahabat, yang mengkritik dengan mendakwa al-Quran telah diseleweng dan dikurangkan isi kandungannya, yang mengatakan bahawa ayat-ayat yang berhubung dengan Alil Bayt telah dibuang dan yang melakukan syirik kerana berdoa kepada para imam mereka.”

Dalam kenyataan yang disiarkan itu, beliau menafikan bahawa beliau menyifatkan golongan Rafidah itu sebagai Hizbullah, tetapi dalam masa yang sama beliau juga tidak menyatakan pendiriannya yang jelas terhadap Hizbullah.

Beliau juga menganggap bahawa Hizbullah (parti atau golongan Allah) ialah sesiapa sahaja yang membela Allah dan membela Islam di Lubnan dan di negeri-negeri lain… maka kami mengasihi mereka dan memberikan semangat kepada mereka (agar meneruskan perjuangan) dan mendoakan agar mereka tetap teguh dalam pendirian mereka.

Dalam satu penjelasan bagi menolak penglibatan Syeikh Ibn Jabrin dalam penyiaran semula fatwanya, anaknya Abdul Rahman berkata: “Sebenarnya fatwa tersebut adalah fatwa lama dan disiarkan semula oleh para pelajar beliau tanpa pengetahuan beliau. Keperluan amat mendesak agar orang ramai memastikan terlebih dahulu tentang masa dan situasi ketika fatwa tersebut dikeluarkan.”

Fatwa pertama itu disiarkan pada 7.3.1423H (2002M), dan disiarkan semula di dalam laman web Syeikh Ibn Jabrin semenjak dua minggu lalu. Ini menyebabkan beberapa laman web menganggap fatwa tersebut adalah penjelasan pendirian beliau terhadap Hizbullah pada masa sekarang.

Menghadapi Musuh adalah Keutamaan


Berkenaan dengan keutamaan yang sepatutnya diberikan perhatian dalam perkembangan masa kini, beliau berpendapat bahawa “pada masa sekarang kita hendaklah prihatin terhadap pencerobohan Israel terhadap Palestin dan Lubnan, dan kita hendaklah berusaha menghalang fitnah kesyaitanan yang mahu memusnahkan Islam ini.”


isu yang sepatutnya diberikan fokus sekarang ialah isu fitnah dan peperangan yang dilancarkan oleh Yahudi terhadap orang-orang Islam di Palestin dan penduduk Lubnan.


Beliau berkata isu yang sepatutnya diberikan fokus sekarang ialah isu fitnah dan peperangan yang dilancarkan oleh Yahudi terhadap orang-orang Islam di Palestin dan penduduk Lubnan. Ini adalah fitnah kesyaitanan dan pihak yang melancarkannya ialah golongan Yahudi yang mahu menghapuskan negara dan ummat Islam sehingga mereka boleh menguasai kekayaan negara-negara Islam sebagaimana yang dicita-citakan.

Kenyataan tersebut diakhiri dengan doa agar Islam dan umat Islam di segenap tempat diberikan pertolongan, agar agama mereka yang diredai itu dimenangkan oleh Allah, agar umat Islam disatukan di atas kebenaran, dan agar konspirasi pihak Yahudi, Kristian, Rafidah dan seluruh golongan penentang yang menyerang umat Islam di Lubnan, Iraq, Afghanistan dan tempat-tempat lain dapat dikalahkan.

Israel telah melancarkan tindakan ketenteraan terhadap bumi Palestin semenjak akhir Jun lalu selepas para pejuang Palestin menawan seorang tentera Israel. Dua minggu kemudian, Israel melancarkan serangan yang sama terhadap Lubnan selepas para pejuang Hizbullah menawan dua orang tentera Israel.

Menjelang hari ke-26 pencerobohan Israel terhadap Lubnan pada hari Ahad lalu, hampir 900 orang telah terbunuh, majoriti mereka terdiri daripada orang awam, 1/3 daripada mereka adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, menurut kenyataan kerajaan Lubnan.

Para pejuang Hizbullah pula berjaya membunuh 78 orang Israel, termasuk lebih 40 orang tentera Israel, dan mencederakan tidak kurang 1500 orang yang lain. Roket-roket pejuang Hizbullah juga menyebabkan hampir 330 ribu penduduk di utara Israel terpaksa melarikan diri, menurut Reuters.

Di bumi Palestin pula, seramai 170 orang telah terbunuh dalam serangan dan pencerobohan harian yang dilakukan oleh Israel terhadap Semenanjung Gaza.

Perdebatan Meluas


Penyiaran fatwa Syeikh Ibn Jabrin yang menyeru agar tidak diberikan sokongan dan bantuan kepada Hizbullah selepas serangan Israel terhadap Lubnan, telah menyebabkan perdebatan meluas di kalangan para ahli ilmu, akademik dan massa di Dunia Islam.

Kemunculan fatwa ini ketika para pejuang Hizbullah sedang giat menentang pencerobohan Israel terhadap Lubnan lebih menyebabkan kemarahan memuncak terhadap fatwa tersebut.

Ramai ulama dan para pemikir mengkritik fatwa tersebut dan menanganggap kemunculannya tidak sesuai dengan waktu dan suasana, kerana sepatutnya keutamaan hendaklah diberikan kepada menghadapi pencerobohan Israel dan mengelakkan perselisihan puak pada masa kini.

Antara kenyataan yang terdapat di dalam fatwa Syeikh Ibn Jabrin ialah: “Kami menasihati ahlus sunnah agar berlepas diri daripada mereka, tidak membantu orang yang menggabungkan diri kepada mereka, menjelaskan permusuhan mereka (Rafidah) terhadap Islam dan umat Islam, bahaya yang mereka bawa terhadap ahlus sunnah duhulu dan sekarang, kerana golongan Rafidah sentiasa menyembunyikan permusuhan mereka terhadap ahlus sunnah dan berusaha sedaya upaya untuk menampilkan keaiban ahlus sunnah, merendah-rendahkan mereka dan melakukan konspirasi terhadap mereka.