Majlis Memperingati Isra’ Mi’raj di Masjid Aqsa

Rabu ,23/08/2006 –
Lembaga Waqaf Tempat Suci Islam di Palestin mengadakan program Peringatan Isra’ dan Mi’raj selepas zohor, Isnin (21/8) bagi memperingati peristiwa besar dalam Islam dan mengingatkan kaum muslimin akan tugas dan tanggungjawab mereka menyelamatkan al-Aqsa dari cengkaman musuh Israel.

Hadir dalam acara tersebut adalah Ketua Dewan Waqaf Palestin, Syaikh Abdul Azim Salhab. Beliau mengatakan, situasi ketika Rasulullah SAW melakukan Isra’ dan Mi’raj dalam keadaan yang sangat berat, tertindas, terpinggir dan tertutupnya pintu-pintu dakwah. Sama seperti keadaan Palestin ketika ini, Rakyat Palestin berada pada kedudukan dizalimi, dimusuhi, ditekan dan dimusnahkan harta
mahupun jiwa.

Peringatan Isra’ Mi’raj kali ini berlangsung di tengah pembangunan tembok perkauman yang memisahkan kota al-Quds serta larangan kepada kaum muslimin untuk memasuki Masjid al-Aqsa al-Mubarak oleh
pemerintah Israel. Mereka melarang masuk barang-barang material untuk perbaikan Masjid Al-aqsa, di samping melanggar beberapa
peraturan lembaga waqaf Palestin. Mereka juga dengan sengaja membawa masuk kumpulan radikal Yahudi di dataran masjid dan melakukan penodaan di tempat tersebut.

Sebagaimanan yang terjadi kelmarin, kumpulan Yahudi radikal memasuki kawasan Masjid al-Aqsa untuk menganggu majlis memperingati Isra’ dan Mi’raj. Dalam pada itu Syaikh Salhab menuntut pemerintah Israel meninggalkan Masjid al-Aqsa kerana mereka tidak mempunyai sedikit
hak pun terhadapnya. Masjid al-Aqsa adalah masjid Islam milik kaum muslimin. Lembaga Waqaf Palestin adalah satu-satunya badan yang diberi wewenang dan tanggungjawab secara sah terhadap pemeliharaan dan pembaikan masjid tersebut.

Majlis Peringatan ini juga bertepatan dengan peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa oleh kumpulan radikal Israel pada 21 Ogos 1969 yang lalu. Api yang marak menghanguskan sebahagian dari bumbung masjid
serta memusnahkan ruang solat Marwan dan mimbar Shalahuddin al-Ayubi. Mereka telah membakar tempat paling bersejarah dan berharga bagi umat Islam di wilayah tersebut. Setelah Syaikh Salhab, penceramah seterusnya adalah, Mufti Palestin, Syaikh Muhammad Husein, beliau menekankan pentingnya
berkunjung ke masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama bagi kaum muslimin dan tempat al-Haram ketiga setelah Mekah dan Madinah.