1701 untuk Lubnan, hadiah buat rejim Zionis

oleh : Maszlee Malik

Peperangan yang bermula semenjak 12 Julai 2006 di antara rejim Zionis-Israel dengan rakyat Lubnan hampir menemui penghujungnya. Resolusi 1701 PBB yang menuntut gencatan senjata dari kedua-dua pihak telah menjadi wisel penamatnya. Walaupun resolusi itu terlalu lambat untuk dikeluarkan, sekurang-kurangnya ia merupakan rahmat kepada rakyat selatan Lubnan untuk kembali ke rumah-rumah mereka yang kini hanya tinggal runtuhan konkrit dan debu. Pelarian seramai lebih daripada 800,000 orang itu kini dapat kembali ke kampung halaman mereka yang kini agak 80% aman daripada serangan bedilan dan roket rejim Zionis. Persoalannya, adakah resolusi 1701 PBB ini benar-benar menjadi penamat perang dan merupakan rahmat kepada rakyat Lubnan?

Bersama-sama kita meninjaunya…

1701 dan serangan roket Zionis

Belum pun sampai 24 jam PBB mengeluarkan resolusi gencatan senjata kedua-dua pihak (Zionis dan Lubnan), tentera Zionis telah mengebom kawasan selatan Beirut. Beralasankan bahawa resolusi tersebut masih belum berkuat kuasa, mereka terus mengganas sehingga ke hari terkahir pengunduran tentera mereka ke kawasan selatan Lubnan. Beberapa jam sebelum Olmert dan Livni membuat kenyataan Zionis bersetuju untuk menerima resolusi tersebut, pihak tentera rejim masih lagi menggunakan sisa-sisa waktu yang ada untuk menyerang rakyat Lubnan. Begitulah peradaban dan juga sikap rakyat Zionis.

Resolusi 1701 PBB, walaupun dari satu sudut Baik bagi rakyat Lubnan, namun ianya bukan untuk manfaat jangkamasa panjang mereka. Perenggan 3 dan 8 resolusi berkenaan dengan tegas menyebutkan soal perlucutan senjata Hizbullah, dan juga mana-mana fraksi di Lubnan menurut resolusi 1559 (2004) dan 1680 (2005) sebelum ini. Dunia umumnya tahu bahawa pertahanan Lubnan sebelum ini bergantung kepada dua kuasa persenjataan utama, iaitu tentera Syria dan juga tentera Hizbullah. Tentera Lubnan amat lemah dan tidak berupaya untuk mempertahankan rakyat mereka. Lihatlah kemusnahan yang mereka hadapi lewat serangan roket-roket tentera Zionis ke atas kem dan juga persenjataan mereka. Jika tidak kerana pertahanan Hizbullah di selatan Lubnan, nescaya Beirut telah lama dapat ditawan oleh tentera Zionis pada peperangan 2006 ini. Sejarah telah membuktikan bagaimana pada tahun-tahun 1978-1982, tentera Zionis dengan mudah memasuki Beirut dan menawan keseluruhan Lubnan.


Resolusi 1701 PBB, walaupun dari satu sudut Baik bagi rakyat Lubnan, namun ianya bukan untuk manfaat jangkamasa panjang mereka.


Pada peperangan 2006, kita telah melihat bagaimana pihak Zionis telah menerima kekalahan teruk di dalam tempoh sebulan peperangan berlangsung. Mereka terpaksa berundur dari Maroun al-Ras dan juga Bint al-Jbeil kerana kemusnahan yang tidak terhingga. Keupayaan Hizbullah yang mereka pandang remeh telah menyebabkan pasukan Komando Golani yang dikatakan keempat terbaik dunia telah menerima malu besar. Pakar strategi ketenteraan mereka tahu akan hal ini, sebab itulah mereka terpaksa memaksa PM Zionis, Ehud Olmert agar menerima gencatan senjata. Tanpa gencatan senjata dan tanpa penerimaan resolusi 1701 PBB, nescaya Selatan Lubnan akan menjadi kubur besar bagi tentera Zionis seperti yang telah diungkapkan oleh Syed Hassan Nasrullah, pemimpin tertinggi Hizbullah. Resolusi 1701 PBB di dalam satu sudut lebih merupakan hadiah dari PBB untuk rejim Zionis. Hal ini telah diakui sendiri oleh Olmert di dalam ucapannya di knesset Zionis pada 14 Ogos 2006 sejurus selepas pengisytiharan penerimaan rejim tersebut terhadap resolusi berkenaan. Olmert berpandangan, penerimaan gencatan senjata itu akan membuka ruang yang lebih besar kepada pihak rejim di masa hadapan. Apabila Hizbullah dilucutkan senjata, maka rejim Zionis akan lebih aman dan tidak akan menghadapi apa-apa halangan di masa hadapan untuk menawan Lubnan jika masa yang sesuai telah tiba. Di atas dasar inilah, Olemrt menyifatkan, peperangan dengan Hizbullah belum selesai dan mereka akan memastikan rejim Zionis akan benar-benar selamat dari sebarang unsur “pengganas” yang akan mengancam kewujudan “Erezt Yizrael” (negara Israel).

Hadiah dari PBB ini walau bagaimanapun bukanlah sesuatu yang diterima baik oleh semua pihak di kalangan rakyat Zionis. Kumpulan berhaluan kanan Zionis, yang diketuai oleh Benjamin Netanyahu secara terang-terang telah mengutuk keputusan Olmert itu. Bagi beliau, gencatan senjata di pihak Zionis menunjukkan kelemahan mereka. Dunia in bukanlah untuk orang-orang yang lemah menurut Netanyahu. Beliau telah mengkritik, mengecam dan juga menyerang cara Olmert dan Perez mengendalikan peperangan tersebut. Kenyataan beliau ini disokong oleh para ekstrimis Yahudi di dalam Knesset rejim.

Kesimpulannya, resolusi 1701 PBB merupakan satu hadiah kepada rejim Zionis untuk jangkamasa panjang dan sebaliknya pula bagi rakyat Lubnan. Ianya merupakan jerat terbuka bagi rakyat Lubnan di masa-masa mendatang. Negara yang tidak mempunyai pertahanan yang kuat hanya akan menjadi hidangan terbuka kepada negara yang ganas seperti “Israel”.


Di atas dasar inilah, Syed Hassan Nasrullah yang muncul di stesen televisyen al-Manar menegaskan, persoalan dalaman Lubnan harus

diselesaikan oleh rakyat Lubnan sendiri.


Selatan Lubnan

Kawasan selatan Lubnan yang menjadi kubu kuat Hizbullah juga kini berada di dalam bahaya melalui resolusi 1701 PBB. Artikel 2, 8, 11, 14 dan 15 resolusi berkenaan dengan jelas ditujukan kepada Hizbullah dan kedudukan mereka di selatan Lubnan. Kerajaan Lubnan dengan bantuan UNIFIL (UN Interim Force in Lebanon) akan diberikan mandat untuk menguasai selatan Lubnan selepas pengunduran tentera-tentera Zionis. Rejim Zionis amat mengalu-alukan keputusan ini yang disifatkan sebagai hadiah buat mereka. Mereka tahu, tentera Lubnan bukanlah kuasa ketenteraan yang kuat, dan UNIFIL pula hanya akan berada di sana sehingga 31 Ogos 2007 menurut artikel 16 resolusi 1701 PBB. Maka, selepas tarikh 31 Ogos 2007, selatan Lubnan akan menjadi hidangan terbuka buat rejim Zionis untuk menyerang kembali.

Di atas dasar inilah, Syed Hassan Nasrullah yang muncul di stesen televisyen al-Manar menegaskan, persoalan dalaman Lubnan harus diselesaikan oleh rakyat Lubnan sendiri. Beliau telah menekakan solusi untuk persoalan dalaman Lubnan hendaklah diselesaikan melalui forum kebangsaan dengan semua pihak yang terlibat. Pihak luar, menurut Nasrullah tidak akan dapat memahami struktur dan kompleks struktur masyarakat Lubnan. Di dalam ruangan tersebut, beliau juga mengumumkan kejayaan rakyat Lubnan ke atas penjajahn Zionis. Baginya, pengunduran tentera Zionis melalui resolusi 1701 itu menunjukkan bahawa tentera rejim telah malu dan telah kalah. Kemusnahan yang dihadapi adalah yang paling hebat pernah dialami oleh tentera Zionis (123 kematian, dan 350 kecederaan, sebuah kapal laut, empat helikopter Apache dan 100 buah kereta kebal Merkava musnah dalam tempoh sebulan peperangan berlangsung).

Sehingga hari artikel ini ditulis, tujuh orang menteri kabinet Palestin masih lagi diculik.

Speaker Majlis Legaslatif mereka juga telah diculik. 24 orang ahli parlimen masih lagi diculik.

Seperkara yang pasti, persoalan mengenai penjajahan Zionis ke atas Sheb’a langsung tidak disentuh. Walhal, itulah persoalan utama menurut Hizbullah. Hizbullah yang telah melancarkan serangan ke atas konvoi tentera Zionis pada 12 Juali 2006 adalah disebabkan oleh persoalan tersebut. Konvoi tersebut telah diserang di dalam kawasan Sheb’a , iaitu sebahagian daripada tanah Lubnan yang berdaulat. Walaupun PBB mengiktiraf kawasan ini sebagai kawasan Syrian, namun melalui kenyataan rasmi PBB SC/6878 pada 18 Jun 2000, Syria dengan rasminya mengiktiraf Sheb’a sebagai milik Lubnan. Kawasan yang menjadi sebahagian daripada Lubnan itu tidak pernah ditinggalkan oleh Zionis sehingga hari ini. Tindakan mereka ini bertentangan dengan keputusan General Armistice Agreement (23 March 1949) di antara Lubnan-Zionis yang telah meletakkan sempadan kekal di antara Lubnan dan “Israel”. Tindakan mereka juga bertentangan dengan resolusi 425 PBB yang menyuruh tentera Zionis meninggalkan Lubnan secara keseluruhannya. Malangnya, pihak Zionis berjaya mengaburkan mata dunia berhubung perkara ini.

Palestin?

Walau apapun yang berlaku, sekurang-kurangnya tentera Zionis telah berundur dari bumi Lubnan. Walaupun jalan udara dan jalan laut Lubnan sehingga detik artikel ini dituliskan masih lagi dikawal oleh Zionis, sekurang-kurangnya, rakyat Lubnan boleh kembali ke rumah masing-masing. Mereka juga sudah boleh menikmati tidur malam tanpa takutkan roket-roket yang akan menghentam rumah mereka. Sekurang-kurangnya, rakyat Lubnan juga akan berpeluang untuk meneruskan kehidupan mereka kembali, walaupun tidak seindah dulu lagi. Hizbullah sendiri memberi jaminan untuk memberikan bantuan kewangan dan kebajikan bagi para mangsa. Mereka juga berjanji untuk memlukan pembinaan semula rumah-rumah tersebut di dalam tempoh terdekat selepas gencatan senjata berlaku. Malangnya, nasib yang sama tidak dapat dikecapi oleh rakyat Palestin.

Sehingga hari artikel ini ditulis, tujuh orang menteri kabinet Palestin masih lagi diculik. Speaker Majlis Legaslatif mereka juga telah diculik. 24 orang ahli parlimen masih lagi diculik. 64 pegawai kerajaan termasuk beberapa orang datuk bandar juga masih lagi diculik oleh pihak rejim Zionis. Sebahagian besar Gaza masih lagi bergelap. Ekonomi Gaza masih lagi lumpuh. Jalan laut, jalan darat, dan juga udara kesemuanya telah ditutup dan dikuasai oleh Zionis. Bekalan makanan semakn berkurang. Hospital-hospital masih lagi kekurangan bekalan ubat-ubatan. Malangnya, tiada resolusi pun yang diluluskan untuk membantu rakyat Palestin. Malang lagi, isu Palestin semakin tenggelam oleh peperangan di Lubnan. Bilakah agaknya PBB akan mengeluarkan resolusi terbaru yang akan memaksa rejim Zionis sekurang-kurangnya meninggalkan Gaza dan Tebing Barat seperti resolusi 242 PBB?