
Rabu , 06/09/06 –
Perdana Menteri Palestin Ismail Haneyya menyatakan bahawa penjajahan Israel menjadi punca kepada kesemua penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat Palestin dengan merujuk kepada siri serangan oleh rejim zionis ke kawasan Beit Hanun dan Semenanjung Gaza yang masih lagi berterusan meskipun penggal persekolahan baru akan bermula.
Beliau menyatakan lagi bahawa kerjasama dan rundingan antara kumpulan-kumpulan di Palestin seharusnya dijalankan dengan lebih giat lagi untuk menentang penjajahan rejim zionis yang menjalankan operasi penjajahan mereka tanpa membeza-bezakan status rakyat Palestin.
Dalam mesej kepada guru-guru di Palestin sempena pembukaan semester baru persekolahan, Haneyya memuji semangat guru-guru dan pelajar-pelajar yang terus gigih untuk ke sekolah walaupun berdepan pelbagai ancaman dari pihak penjajah. Beliau menyatakan bahawa guru-guru ini adalah teladan, pendidik dan ada diantara guru-guru ini yang telah terkorban syahid, ditahan tanpa bicara di penjara-penjara kejam zionis dan ada juga antara mereka yang tercedera dalam siri serangan yang dilakukan. Beliau menyeru kepada guru-guru dan seluruh rakyat Palestin agar terus bersabar dan bersatu dalam menentang kekejaman rejim Zionis yang mahukan agar kita melutut dan menyerah kepada mereka.