
Selasa , 26/09/06 –Akhbar Israel Yediot Aharonot edisi Jumaat, menyiarkan tajuk utama berita hubungan rahsia antara Israel dan Saudi dengan tajuk “Hubungan rahsia antara Israel dan Saudi”.
Menurut akhbar tersebut, hubungan rahsia ini dilakukan sejak perang Lubnan. PM Israel Ehud Olmert tidak menafi atau menegaskan tentang wujudnya perundingan antara negara ‘Israel’ dan kerajaan Arab Saudi untuk membuat hubungan diplomasi antara kedua-dua negara.
Pernyataan Olmert ini disampaikan dalam pertemuan dengan pihak akhbar Yediot Aharonot yang disiarkan pada Jumaat lalu. Dua wartawan, Nahom Narbini dan Simon Shaver bertanyakan rahsia antara Tel Aviv dan Riyadh namun Olmert hanya mengatakan, beliau tidak perlu menjawab semua pertanyaan yang diajukan kepadanya. Walaupun demikian, Olmert memuji Raja Abdullah bin Abdul Aziz dengan mengatakan beliau kagum dengan raja tersebut dan pemikiran politiknya.
Olmert mengatakan, beliau sangat terpengaruh dengan pernyataan terakhir pihak Saudi sama ada di luar laporan atau yang terang-terangan. Beliau juga sangat kagum dengan tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin Saudi. Berkait dengan masalah ini, akhbar Israel ini menegaskan, pemimpin kerajaan Bahrain, Salman bin Hamid bin Isa Al Khalifah mengatakan, hubungan antara kedua-dua negara akan menjadi hangat lebih cepat dari yang dijangkakan.
Harian Israel ini memetik kata-kata pemimpin Bahrain kepada Perez “mari kita membuat Timur Tengah yang berkembang dan bangkit dalam semua bidang.” Beliau menambah, kerajaan Bahrain berniat membuat keputusan perundangan yang mengizinkan Israel melakukan kunjungan rasmi ke Bahrain. Undang-undang ini akan diputuskan segera. Bahkan pemimpin Bahrain sudah membuat undangan rasmi kepada Perez untuk melakukan kunjungan ke negara itu.
Akhbar ini menyebutkan, Perez menyambut baik gagasan pemimpin Bahrain dan mengatakan bahawa Timur Tengah baru adalah impiannya. Akhbar tersebut juga menyiarkan dari sumber-sumber rasmi Israel, Tel Aviv pernah melakukan hubungan rahsia dengan kerajaan Bahrain untuk membentuk hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Mantan duta Israel, Roen Preswara dan ketuannya sekarang, Aharon Abromostav sudah melakukan lawatan ke Bahrain. Menteri Luar Israel, Tsebi Livni juga bertemu dengan beberapa pegawai kerajaan Arab di New York, termasuk Menteri Luar Jordan, Qatar dan Mesir.