
Selasa , 26/09/06 –Meskipun kenyataan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semasa Parhimpunan Agung PBB bahawa kerajaan kesatuan nasional akan mengiktiraf Israel adalah tidak benar menurut pegawai-pegawai Hamas, namun pergerakan itu masih menyokong penubuhan satu kerajaan yang bersepadu dan mahukan dialog penubuhan tersebut diteruskan.
Satu sumber Hamas memberitahu PNN pada Isnin lalu, “ Hamas memang tidak akan mengiktiraf Israel. Rundingan untuk kerajaan campuran yang baru ini adalah berdasarkan kepada dokumen Selarasan Nasional, yang tidak memasukkan pengiktirafan negara Israel.” Jika diambil dari sudut ini, maka Hamas masih berminat untuk menubuhkan sebuah kerajaan kesatuan nasional bersama-sama dengan Fatah.
Kenyataan Abbas Sabtu lalu telah menyampaikan satu mesej yang tidak baik: “rundingan untuk menubuhkan Kerajaan Kesatuan Nasional telah kembali kepada angka sifar.” Abbas mendakwa bahawa Haneyya dan pemimpin-pemimpin Hamas yang lain telah menarik balik janji asal mereka untuk menerima perjanjian damai yang terdahulu yang telah dibuat dengan PLO, sekaligus ‘memusnahkan’ kesemua perjanjian yang telah dicapai.
Kenyataan Hamas, sebaliknya, adalah lebih memberansangkan. Jurucakap parti itu, Ghazi Hamad memberitahu pemberita bahawa peluang untuk menubuhkan kerajaan baru tersebut adalah cerah dan bahawa mereka tidak perlu untuk bermula dari awal semula.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas baru-baru ini, satu peringatan telah diberi kepada Fatah, bahawa mereka semua adalah bersaudara, dan mesti bertindak seiring untuk “memberi peluang kepada dialog ini untuk menubuhkan kerajaan baru itu”, serta tidak mengharapkan kuasa-kuasa dari luar.
Abbas dijangka bertemu dengan ketua-ketua Hamas di Tebing Gaza hari ini untuk menyambung dialog berkenaan penubuhan kerajaan bersepadu tersebut.