
Rabu , 27/09/06 –
Utusan khas untuk PBB ke kawasan Palestin yang diduduki, John Dugard (gambar) berkata pada Selasa lalu bahawa tindakan dan serangan Israel di Semenanjung Gaza boleh dikategorikan sebagai pembersihan etnik, berikutan tindakan pihak tentera rejim Zionis menutup Semenanjung Gaza dan membuatkan kehidupan di sana tragis dan sukar.
Satu laporan yang diterbitkan oleh Dugard telah mengutuk sekeras-kerasnya rejim Zionis dan negara-negara Barat di atas keadaan yang teruk dan semakin bertambah buruk di Semenanjung Gaza.
“Israel telah menukarkan Semenanjung Gaza kepada satu penjara besar untuk para penduduk Palestin, dan kunci kepada ‘penjara’ itu dibuang,” kata Dugard, “Jika tindakan sebegini dilakukan oleh mana-mana negara yang lain, ianya akan dianggap sebagai pembersihan kaum”.
Dalam laporannya kepada Majlis Hak-hak Asasi Manusia PBB, Dugard menyatakan bahawa 75% daripada jumlah penduduk di Semenanjung Gaza bergantung kepada bantuan makanan untuk terus hidup, dan kemusnahan yang disebabkan oleh pengeboman dan serangan Israel adalah satu penyeksaan.
Laporan tersebut turut memberi amaran bahawa bahaya krisis kemanusiaan boleh menjalar sehingga ke Tebing Barat disebabkan oleh Tembok Pemisahan Israel yang mengasingkan para penduduk dari sesama mereka dan juga dari kampung halaman mereka.
“Mereka yang tinggal di antara tembok tersebut dan Garis Hijau, tidak dapat ke sekolah, ke tempat kerja dan ke pusat kesihatan,: tambah Dugard,” dalam kebanyakan negara lain, tindakan sebegini dianggap sebagai pembersihan etnik, tetapi jika ia melibatkan Israel, ‘kejujuran politik’ menganggap tindakan ini sebagai satu hal yang lain.”
Dugard, dari Afrika Selatan dan merupakan penyelidik khas PBB sejak 2001, berkata bahawa Israel sekarang berterusan menyalahi Undang-undang Antarabangsa dan mengumpulkan hukuman secara kolektif.
Beliau juga turut mengutuk polisi Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Kanada kerana menghentikan bantuan kewangan kepada PA sebagai hukuman kepada Hamas atas ‘ketidaksetujuan parti itu mengiktiraf Israel’.
“Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Majlis Keselamatan dan Mahkamah Antarabangsa, dan dibiarkan tanpa sebarang hukuman atas tindakan-tindakan sebegitu,” kata Dugard,” Penduduk Palestin sedang ‘dihukum’ kerana mengadakan pilihanraya demokratik yang menaikkan satu rejim yang tidak dapat diterima oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.”
Sementara itu, Israel marah dan mengutuk laporan tersebut. Duta Israel ke PBB di Geneva, Itzhak Leyanon berkata, laporan ini jelas ‘menyalahkan Israel dan bukannya kumpulan pengganas kerana mengambil orang-orang Palestin sebagai tawanan,” ulas Leyanon.