Terkini dari Masjid al-Aqsa.


Rabu , 04/10/06 –
Pada Jumaat 29 September 2006 yang lalu, umat Islam di Baitul Maqdis sedikit sebanyak telah dapat bergembira. Bukannya kerana mereka telah berjaya memerdekakan Masjid al-Aqsa. Masjid al-Aqsa masih lagi diancam. Masjid al-Aqsa masih lagi menghadapi bahaya untuk dirobohkan. Lapisan bawah Masjid al-Aqsa masih lagi digali, dan aktiviti penggalian tersebut telah menyebabkan keretakan kepada Masjid berkenaan. Kuil (Sinagogue) Yahudi yang telah dirasmikan pada 3 Januarai 2006 yang lalu masih lagi berada di bawah masjid.

Tentera-tentera Zionis masih lagi berkawal dan menghalang kaum muslimin daripada memasuki masjid. Walau bagaimanapun kesemua ini terubat apabila umat Islam di Baitul Maqdis dan sekitarnya buat pertama kali telah dapat menunaikan solat Jumaat di dalam Masjid buat pertama kalinya semenjak akhir bulan Jun yang lalu. Walaupun undang-undang yang melarang umat Islam di bawah 45 tahun daripada 45 tahun untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa masih lagi berkuat kuasa, namun kaum muslimin dapat mengatasi itu semua. Walaupun tentera-tentera Zionis masih lagi mengawal kota Baitul Maqdis dan pintu-pintu masuk ke dalam Masjid, namun kehadiran ribuan jamaah muslimin pada hari Jumaat tersebut tidak berjaya mereka halang.


Kelihatan muslimin dan muslimat memasuki Masjid Aqsa untuk menunaikan solat .

Kejayaan tersebut kembali kepada kempen “Masirat al-Bayariq” yang telah dilancarkan oleh Syeikh Raed Salah dan rakan-rakannya. Beliau yang terkenal dengan julukan “Syeikh al-Aqsa” telah menginisiatifkan usaha membawa rombongan kaum Muslimin dari sekitar Baitul Maqdis dan kawasan-kawasan berdekatan untuk membanjiri kawasan masjid. Dianggarkan puluhan ribu kaum muslimin telah hadir pada hari Jumaat tersebut. Jika sebelum ini, kaum muslimin terpaksa bersolat di luar kawasan masjid kerana dihalang, kin kehadiran puluhan ribu mereka bukannya lawan bagi para tentera Zionis yang berkawal.

Walaupun panas terik mentari dan juga keadaan para jamaah yang berpuasa, ianya tidak sekali-kali menghalang mereka untuk terus membanjiri Masjid al-Aqsa untuk bersolat Jumaat dan juga mendengar khutbah buat kali pertama semenjak hampir empat bulan yang lalu (Lihat: www.islamic-quds.com). Keadaan tersebut mengingatkan mereka kepada peristiwa 2 Oktober 1187 sewaktu Masjid al-Aqsa telah berjaya dibebaskan oleh Salahudin. Semoga dengan apa yang berlaku pada awal Ramadan ini akan menjadi langkah permulaan untuk kemerdekaan Masjid al-Aqsa di masa hadapan. Jika Hizbullah berjaya mengalahkan tentera Zionis di Lubnan, mengapa tidak umat Islam di seluruh dunia berusaha untuk membebaskan kiblat pertama mereka, masjid ketiga suci dan juga bumi Israk dan Mikraj?

Jika tidak kaum muslimin, maka siapa lagi?, jika bukan sekarang, maka bila lagi? Persoalannya, di manakah Salahudin masa kini?