
Rabu , 04/10/06 –Briged Syuhada Al Aqsa, iaitu sayap bersenjata Fatah, mengancam untuk membunuh pegawai-pegawai Hamas buat pertama kalinya semenjak pergaduhan tercetus di antara kedua parti politik tersebut. Kumpulan itu telah memberikan sehelai risalah pada pagi Selasa, menyatakan bahawa mereka akan membunuh Khalid Mishaal, ketua politik Hamas yang berpusat di Syria, Said Siyam, Menteri Hal Ehwal Dalaman Palestin, dan Yusuf al-Zahar, ketua tentera Hamas.
Di dalam satu kenyataan kepada Reuters, Briged Syuhada Al Aqsa itu memaklumkan rancangan mereka untuk mrmbunuh pemimpin Hamas dan menyimpulkannya dengan kata-kata, “ dan kami akan menghapuskan pemerintahan ini supaya mereka yang jijik itu boleh dijadikan iktibar.”
Tiada siapa yang mengetahui sama ada kenyataan tersebut mewakili seluruh kumpulan briged itu ataupun hanya sesetengah pihak.
Hamas dan penyokongnya percaya bahawa Fatah dan Briged Syuhada Al Aqsa merancang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Hamas sekarang, dan serangan baru-baru ini merangkap permulaan kepada rancangan tersebut. Ahli majlis undangan Hamas, Mushir Al Masri, menggelarkan Al Aqsa sebagai “ketua rampasan kuasa dalaman.”
Di tengah-tengah kekecohan dalaman di antara Fatah dan Hamas yang telah membunuh 12 orang dan mencederakan lebih 120 sejak Ahad lalu, Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya menyeru para penyokongnya agar berhenti bertelagah.
“Kami menyeru sekali lagi kepada kita semua supaya menjadi bertanggungjawab, untuk tidak menyebarkan ketidaksetujuan dan konflik, dan tidak menyebarkan hal-hal sebegini ke tempat-tempat lain,” kata Haneyya.
Ketidaksetujuan yang dimaksudkan oleh Haneyya bukan sahaja telah bertukar menjadi satu konflik terbuka, tetapi juga telah berubah kepada satu penipuan besar-besaran tentang kebanyakan peristiwa yang berlaku.
Sebaik sahaja kenyataan Haneyya itu dikeluarkan, satu pertempuran bersenjata tercetus di kawasan penyokong kuat Fatah di Gaza, menyebabkan dua orang terbunuh manakala 9 lagi cedera parah. Pegawai Fatah berkata orang Hamas yang bersenjata telah menembak ke arah penyokong Fatah ketika mereka memandu berhampiran dengan satu sekatan jalan, sementara Hamas pula berkata pejuangnya telah melepaskan diri dari keretanya yang terbakar dan membalas serangan tersebut.
Juga semalam (Selasa), ahli bersenjata Fatah memaksa penutupan sekolah-sekolah yang terletak di kawasan tengah Gaza tanpa sebab. Mereka turut menyekat sebuah persimpangan utama di tengah Gaza dengan tayar yang dibakar dan tong-tong sampah, sambil menjerit, “Jatuh, jatuhkan Hamas.”
Menurut Nabil Amar, seorang penasihat senior kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, presiden mungkin akan mengeluarkan satu referendum berkenaan pilihan raya awal dan menubuhkan satu kerajaan sementara untuk mengambil alih pemerintahan sementara piihan raya berlangsung.
Sementara itu, Haneyya dan Abbas masih lagi dalam usaha untuk menubuhkan satu kerajaan kesatuan nasional, menurut Salal Al Bardawil, seorang pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza. Halangan utama yang ada ialah pandangan kedua belah pihak yang amat bertentangan berkenaan dengan asas kepada pembinaan kerajaan baru tersebut. Bagi Hamas, satu kerajaan yang bersepadu ialah berdasarkan kepada menjadikan dokumen yang dikeluarkan oleh para pemimpin Hamas dan Fatah yang dipenjarakan pada bulan Mei tahun ini satu perkara yang boleh diusahakan. Sementara bagi pihak Abbas pula, beliau amat bersetuju dengan tuntutan Amerika Syarikat terhadap Hamas supaya parti itu mengiktiraf kewujudan Israel, menolak penentangan bersenjata dan mengiktiraf perjanjian damai terdahulu yang telah ditandatangani sebagai syarat untuk turut sama dalam kerajaan bersepadu itu.