Kunjungan Rice ke Timur Tengah


Khamis , 05/10/06 –
Dalam satu perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice, Menteri Luar Jordan, Abdel Ilah Khatib berkata, “ Jordan dan negara Arab lain akan mendesak supaya keutamaan diberikan kepada menyelesaikan persoalan Palestin, yang buat masa ini berada di tengah-tengah konflik Timur Tengah.” Sebagai sebahagian kepada lawatannya ke Timur Tengah, Rice berjumpa dengan para pemimpin Arab Selasa lalu untuk membincangkan program nuklear Iran dan jalan penyelesaian berkenaan konflik berterusan di Timur Tengah, terutamanya isu Palestin-Israel. Rice telah berjumpa dengan menteri-menteri luar dari Jordan, Arab Saudi, Mesir, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Oman, Qatar dan Kuwait.


Selaku sekutu dan penyokong paling kuat Israel, para pemimpin Arab mengharapkan Amerika Syarikat untuk memulakan kembali rundingan damai untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel ini. Menteri Luar Saudi, Saud Al Faisal, Menteri Luar Jordan, Abdel Ilah Khatib, menegaskan bahawa AS mesti memainkan peranan utama dalam rundingan ke arah keamanan di antara Palestin dan Israel.

“Adalah amat diharapkan agar…Amerika Syarikat…akan memulakan kembali proses keamanan dan mengetuai wilayah ini ke arah kestabilan dan kedamaian,” kata Al faisal.

Rangkaian lawatan Rice ke Timur Tengah memfokuskan kepada memperoleh sokongan Arab untuk usaha-usaha Washington membawa Iran ke Majlis Keselamatn PBB di atas rancangan negara itu membina bom nuklear, satu maklumat yang dinafikan oleh Tehran. Rice juga turut menyeru supaya pertelingkahan di antara Hamas dan Fatah dihentikan, yang telah membunuh lebih dari 12 orang dalam masa 3 hari yang lalu.

Setelah menerima ancaman daripada parti Fatah untuk membunuh pemimpin atasan Hamas, menteri Hamas di Syria, Khaled Mishaal telah memanggil tiga pemimpin Arab pada hari Isnin lepas untuk membincangkan cara-cara untuk mengendalikan keadaan yang semakin tegang ini.
Menurut laman Internet rasmi Hamas, Mishaal telah bercakap dengan para pemimpin dari Qatar, Yaman dan Sudan dan menyeru kesemua negara Arab untuk bersuara mewakili orang-orang Palestin terhadap boikot bantuan antarabangsa yang diketuai oleh Amerika Syarikat itu.

Penyelesaian Rice: Patuh kepada prinsip-prinsip kumpulan Kuartet dan keamanan dalaman akan tercapai, menunjukkan bahawa ianya terserah kepada para penduduk Palestin untuk berdamai. Menurut Rice, sekiranya pemimpin Palestin akur kepada tuntutan Kuartet, maka Israel akan bekerjasama dengan perjanjian itu, yang memerlukannya untuk menerima penubuhan satu negara Palestin yang wujud secara aman dan selamat di samping Israel, dan menghentikan tindakan membina lebih banyak kawasan penempatan haram di tebing Barat.

Rice berkata: “Jawapan kepada para penduduk Palestin ialah untuk mencari satu kerajaan yang akan komited kepada prinsip-prinsip Kuartet.”

Tetapi ahli Majlis Perundangan Palestin dan ketua Inisiatif Nasional Palestin, Moustafa Barghouthi memberitahu Agensi Berita Ma’an bahawa jawapan sebenarnya ialah menghentikan pendudukan Israel ke atas Palestin. Barghouthi berkata, “Kami tidak begitu berharap kepada kunjungannya selagi AS tidak memahami bahawa pendudukan ini adalah masalah yang sebenar, dan satu-satunya penyelasaian kepada masalah ini ialah untuk mengakhiri pendudukan ini.”

Barghouthi menambah, “Kami akan menunggu untuk mendengar dari Rice sesuatu berkenaan dengan kepentingan mendesak Israel untuk mempraktikkan keputusan Kuartet iaitu membayar cukai kepada penduduk Palestin yang kini berjumlah AS$550 juta, dan krisis yang berlaku sekarang adalah berpunca dari itu.”

Kumpulan Kuartet, yang dianggotai oleh AS, EU, Rusia dan PBB berkata para pemimpin Palestin terlebih dahulu mesti menolak keganasan, mengiktiraf Israel dan patuh kepada perjanjian damai yang terdahulu sebelum ,mendapat kebenaran untuk memulakan kembali proses damai dengan Israel.

Kerajaan Palestin pimpinan Hamas enggan mengiktiraf Israel dan enggan menolak penentangan terhadap pendudukan oleh Israel yang mereka alami sekarang. Boikot bantuan antarabangsa kepada penduduk Palestin, yang diketuai oleh AS diteruskan, menyebabkan ratusan ribu dalam kelaparan dan mengakibatkan ketegangan dalaman meningkat, terutamanya di kalangan dua parti politik utama, Hamas dan Fatah.

Rice dijangka bertemu dengan Presiden Mahmoud Abbas di Ramallah pada hari Rabu untuk membincangkan perkembangan terbaru berhubung penubuhan kerajaan kesatuan nasional, diikuti dengan perjumpaan bersama Perdana Menteri Israel Ehud Olmert juga pada hari Rabu berkenaan kebimbangannya terhadap usaha nuklear Iran yang merupakan “satu ancaman terhadap negara Israel.”

Jadual hari Khamis Rice termasuk pertemuan dengan Menteri Luar Israel, Tzipi Livni dan Menteri Pertahanan Amir Peretz. Antara isu utama yang akan dibincangkan ialah tentang ancaman Iran, perlaksanaan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang menyeru agar ketegangan di antara Hizbullah dan Israel dihentikan, dan pertembungan ganas di antara ahli-ahli kerajaan Palestin (PA).