
Khamis , 13-11-2014 – Beberapa orang penceroboh Israel cuba untuk menduduki sebuah bangunan milik Palestin yang ditinggalkan pada tengah malam Ahad di Silwan, selatan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Pusat Maklumat Wadi Hilweh, Silwan menyatakan bahawa 6-8 orang penceroboh Israel menyerbu kawasan kejiranan itu dan berkumpul di hadapan bangunan kosong itu sebelum cuba merampas bangunan itu sambil melaungkan, “bangunan ini milik kami”.
Penduduk tempatan Palestin terlihat kejadian itu dan menghalang penceroboh itu daripada memasuki bangunan itu; menyebabkan pertempuran berlaku antara mereka sebelum penceroboh itu meninggalkan kawasan itu.
Pusat Maklumat itu juga memaklumkan bahawa penceroboh itu datang semula ke bangunan itu sambil diiringi oleh polis yang berpakaian preman dan tentera Israel, sebelum pertempuran kembali tercetus antara penceroboh dan remaja Palestin. Penceroboh itu kemudiannya meninggalkan tempat itu sekali lagi.
Bangunan itu dimiliki oleh penduduk yang bernama Saleh Shiokh, dan telah kosong sejak beberapa tahun lepas. Bangunan itu terletak berhampiran dengan beberapa bangunan yang telah diceroboh oleh penduduk Israel yang fanatik baru-baru ini. Sebuah kedai yang mempunyai nilai komersial terletak di aras bawah bangunan itu.
sumber : http://www.imemc.org/
penterjemah : redz