Wakil Hamas dan kerajaan Palestin berbincang tentang suasana genting di Jeddah


Rabu, 07/02/07 –
Wakil Hamas dan wakil kerajaan Palestin telah bertemu dengan Khadim Haramain, Raja Abdullah bin Abdul Aziz pada petang Selasa 6/2 di Jeddah, untuk merancang pertemuan antara wakil Hamas dan Fatah dalam beberapa jam lagi malam ini atau esok hari, Rabu.


Antara wakil yang hadir adalah Perdana Menteri, Ismail Haniyyah, Menteri Luar, Mahmud Zahar, Ketua Biro Politik Hamas, Khalid Mesy’al, dan naibnya, Musa Abu Marzuq serta Muhammad Hasan Syam’ah.

Pemimpin Arab Saudi meyakinkan kepentingan menghubungkan kedua-dua belah pihak agar mewujudkan kesepakatan dalam perkara yang menjadi titik pertembungan sambil menegaskan bahawa perang dalaman hanya akan memburukkan lagi situasi di Palestin. Beliau memberi isyarat akan membantu segala yang termampu untuk menghentikan pertikaian dan permusuhan.

“Sesungguhnya umat Islam dan Arab menunggu berita baik dari kalian (tentang kesepakatan)”

Ismail meyakinkan bahawa kerajaan Palestin bersungguh-sungguh sedaya upaya untuk mengatasi rintangan dan mencari titik persefahaman demi membawa Palestin keluar dari kemelut genting dan menguatkan barisan dalaman.

Khalid pula menyatakan, Hamas sanggup datang ke tanah Hijaz (Arab Saudi) dengan niat yang ikhlas dan sungguh-sungguh untuk mencari titik persefahaman sambil mengisyaratkan bahawa Hamas akan bekerjasama dengan semua pihak demi membentuk kerajaan campuran Palestin, dan membina semula Palestin dan mengatasi segala masalah yang timbul.