Norway Negara Pertama Jalin Hubungan Dengan Kerajaan Perpaduan.


Selasa, 20/03/07 –

Perkembangan awal mengenai pendirian masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan perpaduan Palestin (PA) yang baru diumumkan telah dimulakan dengan pertemuan Timbalan Menteri Luar Norway, Raymond Johansen bersama Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya, Hamas serta menteri-menteri baru yang lain ini di Gaza. Norway mengisytiharkan bahawa ia akan menjalinkan hubungan dengan kerajaan campuran baru termasuk Hamas dan Fatah dan berkata ia akan menyambung kembali bantuan untuk pihak berkuasa Palestin melalui Menteri Kewangan Palestin, Salam Fayad.


Johansen yang juga bertemu dengan Menteri Luar Negeri Palestin, Ziyad Abu Amr berkata: “Kami berharap semua negara Eropah malah negara-negara lain akan menyokong kerajaan perpaduan ini. Kami berharap kerajaan perpaduan ini bekerja kuat dalam usaha untuk memenuhi harapan masyarakat antarabangsa.”Kesatuan Eropah di mana Norway bukan anggotanya masih belum lagi merumuskan pendirian mereka terhadap kabinet baru, namun beberapa negara anggota EU secara tersirat telah menyatakan kesediaan untuk berurusan dengan kabinet ini.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Isnin lepas berkata negaranya tidak merancang untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap kerajaan Palestin melainkan Hamas mengiktiraf kewujudan hak Israel, menghapuskan keganasan dan menerima perjanjian-perjanjian terdahulu yang ditandatangani dengan Israel. Rakyat Palestin mengumumkan kerajaan perpaduan yang pertama bagi negara mereka Sabtu lepas seterusnya mengukuhkan lagi hak penduduk Palestin untuk mempertahankan diri bagi menentang pendudukan, serta untuk pulang ke tanah air mereka dan juga mendapatkan sebuah negara Palestin yang bebas dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara dengan menggunakan sempadan tahun 1967, semuanya itu selaras dengan perjanjian antarabangsa dan Arab.

Kabinet baru juga menghormati perjanjian-perjanjian lepas yang telah ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel, termasuk Perjanjian Damai Oslo 1993 yang menetapkan saling mengiktiraf antara Israel dan PLO. Israel yang masih meneruskan penguasaan tentera yang ketat ke atas Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur seerta mengawal pintu sempadan utama, laut dan ruang udara Gaza baru-baru ini telah memainkan peranan di bawah inisiatif damai Arab bagi memulihkan hubungan rasmi dengan Israel sebagai balasan terhadap pengunduran penuh daripada tanah Arab yang diduduki sejak 4 Jun 1967.

Negara-negara Arab telah dipilih untuk bertemu Mac ini di bandar Jeddah, Arab Saudi dalam satu sidang kemuncak yang betujuan mengkaji semula cadangan damai mereka yang telah didraf oleh Arab Saudi pada tahun 2002.