Rancangan Keselamatan Palestin Dibincang.


Isnin, 09/04/07 –

Kerajaan Palestin memutuskan untuk tetap membuka perbincangan berhubung pelan keselamatan yang dikemukakan oleh kementerian dalam negeri bagi mengawal keselamatan dalam negeri ketika rundingan mengenai pertukaran seorang tentera Israel, Jilad Shalit dengan tahanan-tahanan Palestin semakin menampakkan kemajuan.

Menteri Penerangan Palestin, Mustafa Al Barghuthi berkata ketika sesi penutup mesyuarat kabinet bagi membincangkan mengenai pelan keselamatan bahawa perbincangan berhubung perkara itu masih lagi dibuka.

Tambahnya, kerajaan telah meminta Menteri Dalam Negeri, Al Qawasimah supaya memajukan lagi pelan damainya yang mana menteri tersebut akan membentangkannya pada Sabtu akan datang.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah mengumumkan bahawa keutamaan kerajaannya termasuk melepasi benteng sekatan antarabangsa, mengembalikan semula keadaan aman dan tenteram serta menamatkan keadaan huru-hara.

Al Barghuthi juga berkata bahawa pihak Palestin telah menyerahkan kepada delegasi keselamatan Mesir senarai tahanan Palestin yang dikehendaki dan akan ditukar dengan tentera Israel tersebut yang mana ia menunjukkan kemajuan dalam rundingan pertukaran tahanan itu.

Mengenai penubuhan Majlis Keselamatan Rakyat Palestin pula, menteri penerangan itu berkata mesyuarat akan diadakan antara Presiden Abbas dan Perdana Menteri, Haniyeh bagi melengkapkan penubuhannya.