Ahmadinejad dan Asad Berbincang Selaraskan Pendirian.


Isnin, 23/07/07 –
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Syria, Basyar Al Asad dalam lawatan rasminya ke Damsyik. Perbincangan itu tertumpu kepada memperkukuhkan kerjasama antara dua buah negara serta menyelaraskan pendirian terhadap isu-isu di rantau itu yang mempunyai kesan terhadap keadaan di Iraq, bumi Palestin yang dijajah dan Lubnan.

Agensi berita rasmi Syria (Sana) berkata, kedua-dua presiden tersebut telah mengadakan mesyuarat secara berasingan. Kemudian diikuti dengan perbincangan dengan kehadiran delegasi Iran yang dihadiri oleh Menteri Luar, Manucher Mottaki, pegawai-pegawai tinggi Syria antaranya Timbalan Presiden, Farouq Al Syar’, Ketua Majlis Menteri-menteri, Muhammad Najey Itri dan Menteri Luar, Walid Al Muallim.

Agensi berita itu menegaskan tentang perlunya memperkukuhkan hubungan antara dua buah negara “bagi bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau”.

Sebelum berlepas dari Tehran, Presiden Iran berkata, beliau menganggap pendirian yang sama bagi dua negara itu mengenai masalah serantau dan antarabangsa mempunyai kesan yang kuat terhadap isu semasa antarabangsa. Tambahnya, Tehran dan Damsyik berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan mereka terutama dalam bidang ekonomi.

Dalam lawatan itu juga, Ahmadinejad akan bertemu pemimpin briged Palestin yang diketuai oleh Ketua Biro Politik Hamas dan juga anggota Hizbullah. Pertemuan Presiden Iran dengan Khaled Meshal dikira kali pertama sejak Hamas menguasai Ghaza sebelum sebulan yang lalu.